Utama Bilik (78) Bulughul Maram & Fathul Bari Bulughul Maram : Hadis ke 72 – 74

Bulughul Maram : Hadis ke 72 – 74

516
0
Iklan

بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله على نعمه والصلوة والسلام على رسوله الكريم. اللهم انفعنا بما علمتنا و علمنا ما ينفعنا و زدنا علما. رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي. أما بعد،

بَابُ نَوَاقِضِ الْوُضُوءِ

Bab sebab-sebab terbatal wudhu

Hadis 72

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ – رضي الله عنه – قَالَ: كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ الله – صلى الله عليه وسلم – عَلَى عَهْدِهِ – يَنْتَظِرُونَ الْعِشَاءَ حَتَّى تَخْفِقَ رُؤُوسُهُمْ, ثُمَّ يُصَلُّونَ وَلَا يَتَوَضَّئُونَ. أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُدَ, وَصَحَّحَهُ الدَّارَقُطْنِيُّ. وَأَصْلُهُ فِي مُسْلِمٍ.

Anas Ibnu Malik رضي الله عنه berkata: pernah para sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم semasa zaman hidupnya, mereka menunggu waktu isya’ sehingga kepala mereka tersengguk-sengguk kemudian mereka solat dalam keadaan tidak berwudhu (baru).

Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Dawud. Dan disohihkan oleh ad Daruquthni dan asalnya (hadis) ada dalam sohih muslim.

Darjat hadis

Hadis ini sohih. Asalnya ada dalam Sohih Muslim.

Penerangan

1- maksud asalnya ada dalam Sohih Muslim iaitu asal kisah hadis ini ada diceritakan dalam sohih muslim seperti berikut:

“كانُوا يتنظرون العشاء فينامون ثمَّ يصلون ولا يتوضؤون”

Mereka (sahabat2) menanti solat isya’ lalu mereka tertidur kemudian mereka solat tanpa berwudhu (baru).

2- hadis ini dalil bahawa tidur ringan tidak membatalkan wudhu. Manakala tidur berat sehingga lenyap tidurannya yang tidak sedar diri membatalkan wudhu.

3- hadis ini menunjukkan kesungguhan para sahabat رضي الله عنهم menanti waktu solat di masjid. Dalam hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah رضي الله عنه :

أنَّ النَّبي -صلى الله عليه وسلم- قال: “لا يزال أحدكم في صلاةٍ ما دامت الصلاة تحبسه

“Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم berkata: setiap kalangan kamu sentiasa berada dalam (mendapat pahala) solat selama-mana (penantian) solat itu lah menyebabkannya tertahan (di dalam masjid kerana hendak berjemaah)

4- boleh tidur ringan atau tidur berat di dalam masjid lebih2 lagi kerana menanti solat berjemaah.

5- khilaf ulama tentang terbatal wudhu kerana tidur:

  1. ada mengatakan tidur ringan atau tidur berat hukumnya terbatal wudhu secara mutlak. Ini seperti hadis riwayat sofwan sebelum ini menyebut tentang sapuan khuff dibenarkan kerana berak,kencing dan tidur.
  2. ada mengatakan tidak batal secara mutlak.ini kerana bagi pendapat ini tidur adalah bentuk disangka datang hadas (terkeluar sesuatu dari qubul atau dubur).
  3. jumhur mengatakan terbatal jika tidur berat sehingga lenyap.manakala tidur sedikit serta ringan tidurnya maka tidak membatalkan wudhu.ini sesuai dengan hadis bab di atas. Ini lah yang sohih.

Habis di sini.. Ada soalan boleh tanya sebentar.

 


 

 

 

Soalan saya mazhab Syafie menganggap tidur posisi tidak menetap menetap sahaja membatalkan wuduk. Apa pandangan Ustaz?

Kalau mazhab syafie yang muktamad dalam hal ini tidak batal wudhu tidur sedikit atau tidur berat. Ini seperti di dalam majmu’ syarah muhazzab.

Pandangan saya sudah diberitahu di atas yang saya isyaratkannya yang sohih.

 


 

Sambung hadis

Hadis 73

وَعَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ الله عَنْهَا قَالَتْ: جَاءَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِيِّ – صلى الله عليه وسلم – فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ الله، إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلَا أَطْهُرُ, أَفَأَدَعُ الصَّلَاةَ? قَالَ: «لَا. إِنَّمَا ذَلِكَ عِرْقٌ, وَلَيْسَ بِحَيْضٍ, فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلَاةَ, وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ, ثُمَّ صَلِّي». مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

Aisyah رضي الله عنها berkata: Fathimah binti Abu Hubaisy datang ke hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم lalu berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya aku ini perempuan yang selalu keluar darah (istihadhah) dan aku tidak bersuci,bolehkah aku meninggalkan solat? Rasul menjawab: “Tidak boleh itu hanya lah penyakit urat dan bukan darah haid. Bila (istihadhah itu datang ketika waktu biasa) haidmu datang maka tinggalkanlah solat dan apabila (istihadhah itu datang ketika waktu biasa) terkebelakang waktu haidhmu maka bersihkanlah dirimu dari darah itu kemudian solat lah” Muttafaq ‘alaihi

Hadis 74

وَلِلْبُخَارِيِّ: «ثُمَّ تَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلَاةٍ» وَأَشَارَ مُسْلِمٌ إِلَى أَنَّهُ حَذَفَهَا عَمْدًا

Menurut Riwayat Bukhari: “Kemudian kamu berwudhu lah ketika setiap kali hendak solat” Imam Muslim memberikan isyarat bahawa kalimat tersebut sengaja dibuangnya.

Penerangan

1- dalam riwayat Al Bukhari ada menyebut:
“Kemudian kamu berwudhu lah ketika setiap kali hendak solat” manakala Muslim memberi isyarat bahawa dia sengaja buang lafaz seperti Al Bukhari. Ini kerana anggapan Muslim hadis tambahan itu hanya dari seorang perawi sahaja iaitu Hammad bin Zaid. Baki perawi lain tidak menyebutnya. Bahkan sebenarnya dia tidak menyendiri dengan satu perawi kerana datangnya hadis itu dari ramai perawi serta pelbagai jalur hadis. Dan lebih2 lagi Al Bukhari menyebutkan lafaz ini. Sebab itu Al Bukhari menetapkan ada tambahan dari hadis di atas.

2- hadis ini menerangkan bahawa wajib bertanya orang lebih tahu bila ada kemusykilan. Tidak boleh menyerahkan hal kejahilan pada adat istiadat masyarakat. Tidak boleh jadi pak turut tanpa mengetahui ilmu tentangnya. Kerananya melalui hadis ini Fatimah bint Hubaisy terus bertanya Nabi صلى الله عليه وسلم .

3- hadis ini menerangkan perbezaan darah haidh dengan darah istihadhah. Darah haidh datang mengikut kesesuaian kejadian asal diciptanya perempuan. Manakala darah istihadhah adalah darah yang di luar waktu haidh. Datangnya tanpa batasan waktu serta bahkan bentuk penyakit urat darah atau sejenis gangguan dari syaitan.

4- hukum najis darah istihadhah sama dengan darah haidh. Maka wajib bersihkannya.

5- hadis ini dalil bagi perempuan datang haidh mesti meninggalkan solat dan tidak menggantikannya. Ini sesuai dengan lafaz hadis dia atas أفأدع الصلاة (apakah aku kena tinggalkan solat) iaitu seperti biasanya keadaan haidh. Dalam riwayat Al Bukhari ada menyebut:

أَنَّ امْرَأَةً قَالَتْ لِعَائِشَةَ أَتَجْزِي إِحْدَانَا صَلَاتَهَا إِذَا طَهُرَتْ فَقَالَتْ أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ كُنَّا نَحِيضُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَا يَأْمُرُنَا بِهِ أَوْ قَالَتْ فَلَا نَفْعَلُهُ

Sungguhnya ada seorang wanita bertanya kepada ‘Aisyah, Apakah seorang dari kita harus melaksanakan solat yang ditinggalkannya bila sudah suci?’Aisyah menjawab, Apakah kamu dari kelompok haruriyyah! Sungguh kami pernah mengalami haid di sisi Nabi صلى الله عليه وسلم , dan beliau tidak memerintahkan kami untuk itu.Atau Aisyah mengatakan, Kami tidak melakukannya (qadhakannya).

6- hadis ini juga mengajar kaedah menghitung waktu sebenar kedatangan darah istihadhah dengan mengetahui adat kebiasaan kedatangan darah haidh. Ini sesuai bagi perempuan sudah pandai menilai keadaan biasa kedatangan waktu haidhnya.

Manakala bagi perempuan yang masih baru akil baligh biasanya tidak mengetahui waktu kebiasaaan haidhnya. Maka dia kena bezakan darah iaitu darah haidh biasanya merah gelap kehitaman,pekat serta berbau kurang enak dan darah istihadhah pula tidak. Hal ini dikalangan perempuan lebih arif dari lelaki.

7- hadis di atas tidak menyebut tambahan kena mandi setelah berlalu waktu haidh. Iaitu lafaz dalam bukhari ada sebut واغتسلي maksudnya hendak lah kamu mandi (setelah berlalu waktu haidhmu).

Maka kena mandi lah. Bukan sekadar berwudhu.

والله أعلم. وآخر دعوانا ان الحمد لله رب العالمين. السلام عليكم ورحمة الله

Komen dan Soalan