Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #16 – Ulum Hadith

Kelas #16 – Ulum Hadith

523
0
Iklan

Kelas #16: 27 September 2015 @ 13 Zulhijjah 1436

 

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas manhaj baginda hingga kini, wa ba’d.

Kita berdoa agar ditetapkan atas manhaj salaf, mengikuti tauladan para salaf. Manhaj salaf adalah bagi semua yang mengikut tauladan para Salaf. Moga kita dijauhkan dari sifat perasan diri mengikuti salaf serta memberi cop kepada orang lain sebagai tidak mengikut salaf hanya kerana orang itu tidak mengikut pendapat gurunya atau tidak mengekor pendapat syaikh yang disanjungnya.

Syukur kepada Allah yang telah memberikan kita rezqi untuk meneruskan kelas ulum
hadith kita pada malam ini insyaAllah.

Pada kelas yang lalu kita telah berdiskusi berkenaan definisi hadith Sahih, dan telah berbincang berkenaan syarat-syaratnya iaitu bersambungnya sanad, perawi yang thiqah (iaitu adil dan dhabit). InsyaAllah pada malam ini kita akan melihat syarat seterusnya bagi hadith Sahih iaitu bebas daripada syaz dan tiada ‘illah.

 

• Al-Syaz:

 

Apakah yang dimaksudkan dengan al-Syaz? Syaz dari segi bahasa bermaksud pelik, ganjil. Menurut kitab Lisan al-‘Arab, maksud Syaz adalah al-Tafarrud iaitu bersendirian atau yang sendiri. Baik, itu definisi bahasa, mudah. Definisi istilah yang susah sedikit kerana banyak definisi.

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa ta’rif di sisi ahli hadith, guru saya al-Syaikh al-Muhaddith ‘Abdullah al-Sa’d menyatakan terdapat lebih kurang 8 definisi Syaz, akan tetapi kebanyakannya saling bertindih dan mempunyai persamaan antara satu dengan lain, maka secara hakikatnya terdapat hanya 4 definisi dan sebahagian ulama menjadikannya 3 definisi sahaja.

Saya ringkaskan 4 definisi yang masyhur seperti di bawah:

1- Menurut Imam al-Syafi‘i: Hadith Syaz ialah yang diriwayatkan oleh seorang “thiqah” yang bercanggah iaitu menyelisih (mukhalafah) dengan hadith yang diriwayatkan oleh orang ramai iaitu sekumpulan perawi yang thiqah dan bukan apa yang diriwayatkannya tidak diriwayatkan oleh orang lain. Dengan kata lain, meriwayatkan seorang rawi yang thiqah yang menyelisihi (mukhalafah) rawi-rawi thiqah yang lain.

Contohnya ialah hadith berkenaan fadhilat membaca surah al-Kahfi pada malam atau hari Jumaat, pada jalur Husyaim. Pada jalur Husyaim telah berlaku ikhtilaf (percanggahan) pada matan hadith, iaitu anak-anak muridnya meriwayatkan dengan lafaz yang berbeza. Hadith ini diriwayatkan oleh majoriti murid-murid Husyaim dengan lafaz:

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Juma‘at dia akan disinari cahaya antara tempatnya dan al-Bait al-‘Atiq (iaitu Ka‘bah)”

atau dengan lafaz yang semakna dengannya, kecuali:

1- Abi al-Nu‘man Muhammad bin al-Fadhl al-Sadusi:

Beliau meriwayatkan dengan lafaz: “malam Juma‘at” menggantikan lafaz: “hari Juma‘at”. Abu al-Nu‘man al-Sadusi adalah seorang yang Thiqah al-Tsabt tetapi mengalami kecelaruan pada akhir hayatnya dan banyak meriwayatkan hadith dengan silap.

Saya katakan: Ini adalah salah satu riwayat yang beliau telah celaru dan silap! Qara’innya ialah beliau telah menyelisihi sejumlah ramai perawi lain yang lebih jitu ingatannya berbanding beliau. Dengan kata lain lafaz “malam Juma‘at” adalah Syaz.

Maksudnya al-Sadusi seorang yang thiqah, namun meriwayatkan hadith dengan menyelisihi sejumlah perawi thiqah lain, maka riwayatnya itu disebut sebagai Syaz. Lafaz yang mahfuz (terpelihara, betul) bagi hadith Husyaim ini ialah “hari Jumaat” bukannya “malam Jumaat”, al-Sadusi telah silap meriwayatkannya dengan menyebut “malam Jumaat”.

Walaubagaimanapun, hadith Husyaim ini secara keseluruhannya adalah Dhaif! Kerana putus sanadnya, Husyaim tidak pernah mendengar dari Abi Hasyim al-Rummani, maka hadith ini Dhaif secara keseluruhannya juga.

2- Menurut Imam al-Hakim: Hadith Syaz ialah apa yang bersendiriannya (tafarrud) seorang rawi yang thiqah dan tiada padanya asal yang mengikuti padanya, tidak disyaratkan menyelisih (mukhalafah).
Iaitu semata-mata tafarrud, walau tanpa mukhalafah, di namakan Syaz. Iaitu seorang perawi thiqah telah melakukan kesilapan.

3- Menurut Imam Abu Ya‘la al-Khalili: Yang dipegang oleh Huffaz al-Hadith ialah hadith Syaz itu adalah hadith yang mempunyai hanya satu sanad dan hadith itu hanya diriwayatkan oleh seorang thiqah atau tidak thiqah, maka riwayat oleh seorang yang “tidak thiqah” adalah ditinggalkan (Matruk), manakala riwayat oleh seorang yang “thiqah” pula “diberhentikan padanya (tuwuqqifa fihi)” dan tidak dijadikan hujah.

4- Menurut Imam Solah bin Muhammad al-Asdi: Hadith Syaz ialah hadith Munkar, iaitu tidak diketahui (dari mana datangnya).

Guru saya al-Syaikh Dr. Hamzah al-Malibari dalam kitab beliau ‘Ulum al-Hadith, hal. 102, setelah beliau membentangkan dan membincangkan definisi-definisi “Syaz” yang secara zahirnya seolah-oleh kelihatan bercanggah, beliau menyimpulkan dan meringkaskan maksud “Syaz” kepada dua poin iaitu:

i- Hadith gharib (ganjil) yang tiada padanya asal, dan tidak diriwayatkan oleh wajah yang lain
ii- Hadith yang menyelisihi apa yang terpelihara Iaitu kedua-dua poin di atas berlegar sekitar al-Gharabah (keganjilan) yang menafikan al-Sowab (keterpeliharaan).

Dengan kata lain kesemua definisi ini berlegar sekitar satu perkara, iaitu wujudnya kesilapan dalam riwayat. Kebanyakan para Ahli Hadith al-Muta’akhkhirin membezakan antara “Syaz” dan “Munkar”, iaitu “Syaz” ialah khusus untuk apa yang menyelisihinya rawi yang thiqah, manakala “Munkar” ialah khusus untuk apa yang menyelisihinya rawi yang dha‘if. Akan tetapi bagi para Ahli Hadith alMutaqaddimin mereka tidak membezakan antara “Syaz” dan “Munkar”. Asalkan sesuatu hadith itu terdapat kesilapan padanya, baik kesilapan itu pada sanad atau matan, baik perawi yang melakukan kesilapan itu thiqah atau tidak, baik yang berbuat silap itu dengan mukhalafah atau tidak, mereka akan menyebutnya sebagai Syaz ataupun Munkar, iaitu sama saja. Sebahagian semisal al-Syafie gemar menggunakan istilah Syaz, sebahagian semisal al-Bukhari gemar menggunakan istilah Munkar.

 

Soalan : Dr, adakah ia (hadith Syaz) sama seperti definisi hadith Munkar?

Jawapan : Maka jawapan untuk soalan yang ditanya tadi, ya Syaz dan Munkar adalah sama di sisi huffaz Mutaqaddimin, iaitu sesuatu hadith itu terdapat silap padanya.

 

Baik, alang-alang berbicara berkenaan istilah Syaz dan kita telah simpulkan Syaz dan Munkar itu sama, ada baiknya kita berdiskusi pula berkenaan istilah Munkar.

 

• Hadith Munkar:

 

Munkar di sini bukan bermaksud maksiat ya. Maksud hadith Munkar di sisi ahli hadith terkemudian (al-Muta’akhkhirin) ialah: “Apa yang diriwayatkan rawi yang dha‘if yang menyanggahi dan menyalahi yang thiqat”, ini adalah definisi hadith Munkar di sisi al-Muta’akhkhirin.

Bagi para imam dan ahli hadith yang awal (alMutaqaddimin) pula, mereka tidak mengehadkan maksud hadith Munkar seperti al-Muta’akhkhirin, akan tetapi bagi al-Mutaqaddimin ia adalah lebih luas, iaitu setiap hadith yang tidak diketahui akan sumbernya, tidak kira sama ada rawi yang tafarrud (bersendirian) itu thiqah atau soduq atau dha‘if, sama ada tafarrudnya rawi itu bersama-sama mukhalafah atau tidak, iaitu dengan kata lain maksudnya sesungguhnya pada hadith itu berlaku kesilapan atau tidak terpelihara atau tidak diikuti (khata’, waham, ghayr mahfuz, gharib, la yutaba‘ahu ‘alayhi ahad), seperti kata Imam Ahmad

“yuhdath bi ahadith manakir laysa lahu asl”

kata Imam al-Bukhari

“hadith laysa bi ma‘ruf Munkar al-hadith”

dan antara ibarat-ibarat lain yang digunakan oleh al-Mutaqaddimin untuk Munkar adalah seperti “haza khata’”, “haza waham”, “haza ghayr mahfuz”, “haza ghayr sahih”, “gharib”, “wa la yasybih”, “la yathbut”, “la yasih”, dengan itu Munkar pada al-Mutaqaddimin adalah lebih umum daripada alMuta’akhkhirin, dan ia lebih dekat kepada makna al-lughawi iaitu “ghayr ma‘ruf/ tidak diketahui”, iaitu padanya ada berlaku kesilapan.

 

Keywordnya berlaku silap.

 

Contohnya kata Imam Ibn ‘Adi dalam al-Kamil: “Dan hadith ini bersendirian padanya Isma‘il bin ‘Ayyasy daripada al-Zubaidi, dan ia hadith Munkar daripada hadith al-Zubaidi, Ibn ‘Ayyasy telah mengambil hadith al-Zubaidi ke atas hadith Ibn Sam‘an dan dia telah tersilap, al-Zubaidi thiqah dan Ibn Sam‘an pula dha‘if”.
Jika dilihat pada kata-kata Ibn ‘Adi ini dapat diketahui bahawa beliau menggunakan istilah “Munkar” ke atas apa yang telah bersendirian padanya Ibn ‘Ayyasy daripada al-Zubaidi, kerana tidak diketahui hadith ini daripada hadith-hadith al-Zubaidi, rawi yang meriwayatkannya daripadanya telah silap kerana telah memasukkannya hadith Ibn Sam‘an.

Contoh lain pula ialah kata Imam al-Nasa’i:

“Hadith ini Munkar, telah silap padanya Abu alAhwas Salam bin Sulaym, sesungguhnya tidak diketahui seorang pun yang mengikutinya padanya alAhwas daripada kalangan ashab Simak bin Harb… dan kata Ahmad bin Hanbal: “Abu al-Ahwas telah silap pada hadith ini”.

Jika kita lihat di sini Abu al-Ahwas adalah seorang yang thiqah mutqin!

Akan tetapi Imam al-Nasa’i tetap menggunakan istilah “Munkar” ke atas hadithnya yang ada silap padanya. Dan contoh-contoh lain semisal ini sangat banyak. Iaitu asalkan berlaku kesilapan pada riwayat, maka ia dinamakan Munkar, tidak kira perawi yang berbuat silap itu thiqah atau tidak, berlaku mukhalafah atau tidak.

Mudahnya, kesimpulan keseluruhannya ialah:

Hadith Syaz ataupun Munkar adalah satu hadith yang terdapat kesilapan padanya, baik kesilapan itu berlaku pada matan atau sanad, baik perawi yang berbuat silap itu seorang yang thiqah atau tidak, baik kesilapan itu bersama mukhalafah atau tidak. Hadith Syaz dan Munkar adalah hadith yang sama, kedua istilah ini digunakan oleh para huffaz Mutaqaddimin secara “interchangeable”, sebahagian gemar menggunakan istilah Syaz melebihi istilah Munkar, sebahagian lain lebih gemar menggunakan istilah Munkar melebihi istilah Syaz.

Sebahagian Mutaakhkhirin dalam buku ulum hadith mereka, mendakwa sesiapa yang menyamakan hadith Syaz dan Munkar telah melakukan kesilapan, jawab guru saya al-Syaikh Dr. Maher Yasin al-Fahl “sesungguhya dialah yang silap!” (Iaitu mereka yang membezakan itulah silap).

InsyaAllah pada kelas seterusnya kita akan melihat contoh-contoh hadith Munkar (iaitu Syaz). Saya bawakan satu malam ini, iaitu hadith fadhilat al-Kahfi pada malam Jumaat, kita akan lihat lagi contoh-contoh lain dalam kelas akan datang insyaAllah.

Kita berhenti di sini malam ini. Dan moga diberi rezqi ada masa akan datang insyaAllah. Akhiri dengan tasbih kaffarah, dan saya berpesan kepada semua penuntut hadith sebagaimana pesan guru saya al-Syaikh Maher Yasin al-Fahl “jangan lupa menela’ah dan mentadabbur al-Quran”.

Komen dan Soalan