Tajuk: Haram melakukan “prank” terhadap muslim lain
Susunan: Ustaz Adli Khalim
= = = = = = = = = =
Daripada `Abd Ar-Rahman bin Abi Laila:
حَدَّثَنَا أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ ﷺ أَنَّهُمْ كَانُوا يَسِيرُونَ مَعَ النَّبِيِّ ﷺ، فَنَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ، فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إِلَى حَبْلٍ مَعَهُ، فَأَخَذَهُ فَفَزِعَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا”
Sahabat-sahabat Muhammad ﷺ pernah menceritakan kepada kami bahawa mereka pernah berjalan jauh bersama Nabi ﷺ, lalu salah seorang antara mereka tidur. Sebahagian sahabat telah mengambil tali yang ada padanya, menyebabkan lelaki yang tidur tersebut terkejut. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak halal bagi seorang muslim untuk menakutkan muslim yang lain.”
[HR Abu Dawud, no 5004, shahih menurut Syu`aib Al-Arna’uth]
= = = = = = = = = =
Ulasan:
1. Seorang muslim dilarang daripada menakut-nakutkan muslim yang lain, sama ada dalam keadaan bergurau atau serius. Oleh itu, tidak sepatutnya seorang muslim terikut-ikut dengan budaya jahiliyyah, seperti merayakan April Fool’s Day, melakukan panggilan hangit, membuat “prank”, dan sebagainya.
2. Ini bukanlah bererti gurauan tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam, bahkan telah diriwayatkan beberapa hadits yang menunjukkan Rasulullah ﷺ juga pernah bergurau, namun gurauan baginda ﷺ tetap dalam batasan. Antara hadits yang dimaksudkan:
(a) Seorang lelaki datang berjumpa Nabi ﷺ, lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Berilah aku tunggangan.” Lalu Nabi ﷺ menjawab: “Kami akan memberimu anak unta.” Lelaki itu berkata: “Apa yang boleh aku lakukan dengan anak unta?” Lalu Nabi ﷺ menjawab: “Bukankah ibu-ibu unta melahirkan anak-anak unta?” [HR Abu Dawud, no 4998 / At-Tirmidzi, no 1991]. Yakni unta-unta dewasa pun dilahirkan oleh ibunya sebagai anak unta.
(b) Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Engkau bergurau dengan kami.” Baginda menjawab: “Sesungguhnya tidak aku katakan melainkan haq (kebenaran).” [HR At-Tirmidzi, no 1990].
= = = = = = = = = =
Hashtag: #kenalquransunnah