Utama Kursus (01) Sijil Ulum Hadith UiTO Usul Hadis Siri 4 : Kursus (01) Sijil Ulum Hadith UiTO

Usul Hadis Siri 4 : Kursus (01) Sijil Ulum Hadith UiTO

429
0
Iklan

Assalamualaikum

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله على نعمه والصلوة والسلام على رسوله الكريم
اللهم انفعنا بما علمتنا و علمنا ما ينفعنا و زدنا علما

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
أما بعد،

Usul hadis siri 4

Penjelasan tentang maksud hadis.

Seperti pengajian kita tempohari ada terangkan tentang ta’rif hadis.
———–
Hadis : Apa saja kesan peninggalan hidup Nabi صلى الله عليه وسلم berupa;
1- percakapannya
2- perbuatannya
3- penetapannya
4- sifat dan akhlaknya
5- perjalanan hidupnya, samada sebelum atau selepas diutusnya dia menjadi Nabi.
———-

Hari ni pula kita belajar apa yang jelaskan oleh penulis tentang penjelasan dari ta’rif hadis.

Beliau menulis:

Contoh qauli (perkataan):
Qauli ialah apa yang diberitahu oleh Nabi صلى الله عليه وسلم dalam setiap aspek perkara yang bersesuaian dengan hukum syariat.

1- Seperti contoh perkataan Nabi صلى الله عليه وسلم

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Semua perbuatan bergantung dengan niat, dan (balasan) bagi setiap orang (bergantung) apa yang diniatkan.
HR Al Bukhari dan Muslim

2- Dan beliau صلى الله عليه وسلم berkata;

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَار
َ

“tidak boleh berbuat mudharat dan tidak boleh hal yang menimbulkan mudharat.”

HR ibn Majah, Ahmad

3- Dan beliau صلى الله عليه وسلم berkata;

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الْحِلُّ مَيْتَتُه
ُ

“Ia (laut) adalah suci airnya dan halal bangkainya.”
HR Abu Daud dan lain-lain.

Penjelasan,

Setiap apa yang dipertuturkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم dengan perkataan adalah hadis. Hadis qauliy ini lebih jelas makna dan hukumnya berbanding hadis-hadis lain seperti hadis fi’liy atau taqriri. Kerana lebih aman dari sangkaan atau takwilan atau tafsiran maknanya.

Penulis berkata:

Contoh fi’liy (perbuatan).

Fi’liy adalah perbuatan-perbuatan Nabi yang dinukil kepada kita seperti hal wudhu Nabi صلى الله عليه وسلم , tata cara solatnya, manasik hajinya, tetapan hukumnya melalui sumpah dan saksi,dan lain-lain.

Contoh taqriri (penetapan) Nabi صلى الله عليه وسلم ;
Taqriri adalah sesuatu yang ditetapkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم dari perkataan atau perbuatan sahabat melalui cara diamnya Nabi صلى الله عليه وسلم atau beliau tidak mengingkari hal sahabat itu.

Atau persetujuan beliau atau beliau zahirkan sikap menyukai hal itu.

Antara contohnya seperti,

1- Di riwayat dari Abi Said al khudri رضي الله عنه dia berkata;

خَرَجَ رَجُلَانِ فِي سَفَرٍ فَحَضَرَتْ الصَّلَاةُ وَلَيْسَ مَعَهُمَا مَاءٌ فَتَيَمَّمَا صَعِيدًا طَيِّبًا فَصَلَّيَا ثُمَّ وَجَدَا الْمَاءَ فِي الْوَقْتِ فَأَعَادَ أَحَدُهُمَا الصَّلَاةَ وَالْوُضُوءَ وَلَمْ يُعِدْ الْآخَرُ ثُمَّ أَتَيَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ لِلَّذِي لَمْ يُعِدْ أَصَبْتَ السُّنَّةَ وَأَجْزَأَتْكَ صَلَاتُكَ وَقَالَ لِلَّذِي تَوَضَّأَ وَأَعَادَ لَكَ الْأَجْرُ مَرَّتَيْنِ

Ada dua orang mengadakan perjalanan jauh, lalu waktu solat tiba sementara mereka tidak mempunyai air, maka keduanya bertayammum dengan menggunakan tanah yang bersih dan keduanya solat, kemudian mereka terjumpa air ketika masih dalam masa waktu shalat tersebut, maka salah seorang dari keduanya mengulangi solat dengan berwudhu dan yang seorang lagi pula tidak, kemudian mereka berdua pergi berjumpa Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan menceritakan hal itu, lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda kepada yang tidak mengulang solat: Kamu telah melaksanakan sunnah dan solat kamu sudah sempurna (tidak perlu diulang) , dan beliau bersabda kepada yang berwudhu dan mengulangi solat: Kamu mendapatkan pahala dua kali.(kerana mendapat tambahan pahala ber ijtihad)
HR Abu Daud

2- Dari Mu’az bin Jabal رضي الله عنه sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah berkata kepadanya ketika beliau mengutusnya ke Yaman;

قَالَ كَيْفَ تَقْضِي إِذَا عَرَضَ لَكَ قَضَاءٌ قَالَ أَقْضِي بِكِتَابِ اللَّهِ قَالَ فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي كِتَابِ اللَّهِ قَالَ فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا فِى كِتَابِ اللَّهِ قَالَ أَجْتَهِدُ رَأْيِي وَلَا آلُو فَضَرَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدْرَهُ وَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ لِمَا يُرْضِي رَسُولَ اللَّه
ِ

Bagaimana engkau memberikan keputusan apabila ada penetapan hukum yang dihadapkan kepadamu? Mu’adz menjawab, Saya akan memutuskan menggunakan Kitab Allah. Beliau bersabda: Seandainya engkau tidak mendapatkan dalam Kitab Allah? Mu’adz menjawab, Saya akan kembali kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau bersabda lagi: Seandainya engkau tidak mendapati di dalam Sunnah Rasulullah serta dalam Kitab Allah? Mu’adz menjawab, Saya akan berijtihad menggunakan pendapat saya, dan saya tidak akan mengurangi. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menepuk dadanya dan berkata: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan petunjuk kepada utusan Rasulullah untuk melakukan apa yang membuat Rasulullah redhainya.
HR Abu Daud

3- Dan seperti diriwayatkan Khalid bin al walid رضي الله عنه pernah makan biawak dhob yang di beri kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tapi beliau tidak memakannya. Lalu dikalangan sahabat bertanya “adakah di haramkan makan ia wahai Rasulullah صلى الله عليه وسلم? Lalu Nabi صلى الله عليه وسلم berkata;

لَا وَلَكِنْ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي فَأَجِدُنِي أَعَافُه
ُ

Tidak, kerana ia (biawak dhob itu) tidak ada di kawasan kaumku, maka aku jadi tidak menyukainya (memakannya).
HR Al Bukhari

Penerangan,

1- Melalui hadis-hadis di atas membawa maksud persetujuan Nabi صلى الله عليه وسلم ketika berlaku satu-satu masalah yang di lalui oleh para sahabat. Semua ini boleh menjadi hukum syariat setelah ada persetujuan dari Nabi صلى الله عليه وسلم . Bahkan hal ini lebih luas ertinya jika sabit sesuatu perkara yang sampai kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Sehinggakan hal makan biawak dhobb pun menjadi halal bukan kerana Nabi tak suka makan bahkan kerana ada penetapan hukum serta persetujuan dari Nabi صلى الله عليه وسلم tentang halalnya itu. Oleh itu sahabat segera bertanya Nabi صلى الله عليه وسلم kerana khuatir binatang itu diharamkan makan. Lalu Nabi akui perkara itu dibolehkan.

2- Dan begitu juga hal ambil ulangi wudhu dan solat. Berlaku ijtihad masa itu. Dan sah nya berijtihad ketika Nabi صلى الله عليه وسلم masih hidup. Cumanya hal itu di minta kepastian dari Nabi صلى الله عليه وسلم . Maka Nabi jawab seperti hadis di atas. Maksudnya Nabi membenarkan serta memperakui perkara ijtihad yang dilakukan oleh sahabat-sahabat itu. Cuma saja hal ijtihad ada yang tepat ada juga yang tidak tepat. Lalu Nabi صلى الله عليه وسلم memberi ulasan dan jawapan siapakah yang tepati sunnah dalam hal ijtihad itu.

Penulis berkata;

Contoh sifatnya dan sejarahnya;
Seperti yang banyak di riwayatkan tentang sifat-sifat Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan tabiat-tabiat beliau.

Contohnya,

1- Seperti di riwayat dari Abi Ishaq dia berkata “ada seorang lelaki bertanya Al Barra’ ” ; Adakah wajah Rasulullah صلى الله عليه وسلم seperti pedang? Dia kata; tidak, (bahkan) seperti bulan.
HR At Tirmidzi

2- Dari Al Barra’ dalam hadisnya yang lain: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak berkeadaan rendah (tubuhnya) dan beliau tidak juga terlalu tinggi.
HR At Tirmidzi

3- Dari Jarir bin Abdillah Al Bajali berkata; tidak pernah aku melihat Rasulullah صلى الله عليه وسلم semenjak aku islam melainkan tersenyum wajahnya.
HR At Tirmidzi

Penerangan,

1- Zahirnya hadis-hadis di atas berita yang disampaikan oleh sahabat kepada kita. Bukan Nabi yang kata, bukan perbuatan Nabi, bukan penetapan dari Nabi. Bahkan satu cerita hal keadaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Perkara sebegini di panggil hadis sifati atau syamail Nabi صلى الله عليه وسلم . Hadis-hadis sebegini banyak dalam kitab-kitab hadis.

Pengajian malam ini habis di sini..
Jika ada soalan boleh tanya.

Soalan:
Ustaz…cara perjalanan hidup nabi sebagai seorang arab dari segi pemakaian, pemakanan dan sebagainya dikira sebagai sunnah apa?

Jawapan:
Sunnat adat

? Salam, ustaz Solah. Saya nak tanya tentang pelajaran yang lepas. Ahli hadis tu adakah maksudnya dari kelompok mutaqaddimin dan sesiapa yang mengikuti kaedah mereka? atau sesiapa sahaja yang mempelajari dan mendalami hadis?

Jawapan:

Semua di kalangan yang alim ulum hadis..dulu atau kini.

?Satu lagi ustaz. Berkaitan istilah hadis menurut ahli hadis. Macamana sirah sebelum Nabi SAW dilantik menjadi Nabi, tetap dikira sebagai hadis sedangkan sebelum kenabian, siapa yang nak riwayatkan hadis kerana belum adanya para sahabat?

Jawapan:

Kenapa pula takde sahabat? Sahabat sudah ada cuma masih tak jadi sahabat.. Islam je takde tapi sahabat sudah ada..begitu juga keluarga Nabi,kaum quraisy dan sebagainya,semuanya ada.

Lalu setelah di lantik Nabi,yg beriman di panggil sahabat.orang yang sama saja..jadi berita dari mereka boleh di terima.

?Ustaz, kalau ada 2 hadith sahih yg dilihat seperti bercanggah, adakah akan didahulukan hadith qauliy berbanding fi’liy atau takriri?

Jawapan:

Dua-dua di terima..hukum 2 boleh di satukan..

Komen dan Soalan