Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.08.10#051015 : SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 07)

02.08.10#051015 : SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 07)

220
0
Iklan

Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.08.10 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي)

Susunan: BroSyarief

SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 07)

07. Mendokong Mazhab-mazhab Fiqh

Antara perkara yang tak dapat dinafikan dengan berlakunya perbezaan pendapat di antara imam-imam mujtahid pada sebahagian persoalan-persoalan cabang fiqh adalah perkara biasa.

Semua perbezaan di kalangan mereka berdiri di atas dalil-dalil dan ia adalah perkara yang diizinkan dalam syara’ untuk menghalang kesempitan dan mengangkat kesulitan. Malah dijanjikan ganjaran bagi para mujtahid dengan ganjaran dan pahala.

Kita juga tidak pernah melihat seorangpun dari kalangan ulama mujtahid yang mencela sesiapa yang menyelisihinya pada pendapat yang telah dipilihnya, malah setiap mereka saling memuliakan dan menghormati pendapat-pendapat. Barangkali, pendapat itu kelak diambilnya menjadi pendapat dia sendiri.

Tetapi, segelintir pengikut mereka yang menghadapi masalah memahami dengan baik ajaran mereka, menggunakan perbezaan-perbezaan pendapat ini sebagai jalan ke arah perdebatan yang sia-sia, dan saling melemparkan tohmahan sesama mereka.

Setiap mereka pula mengangkat tinggi kadar martabat imam mereka sehingga sehingga mencecah bintang-bintang, dan merendahkan mereka yang tidak mengikuti pendapat mazhab mereka sehingga terperuk ke dalam lumpur.

Aku (penulis) melihat sikap taksub mazhab ini mula muncul selepas kematian al-Imam asy-Syafi’e (w.204H) dan berterusan menjadi parah sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja kerana hasad dan benci.

Lalu ini mendorong mereka mencipta hadits-hadits menyebutkan kelebihan imam-imam mereka, dan hadits-hadits yang mendokong pendapat dan kata-kata mereka sebagai bentuk penyucian terhadap mazhab mereka.

Di antaranya, Makmun bin Ahmad, meriwayatkan juga dari pemalsu hadits Ibn Abdullah al-Juwaybaari,

يَكُونُ فِي أُمَّتِي رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ : مُحَمَّدُ بْنُ إِدْرِيسَ , أَضَرُّ أَحَدُّ عَلَى أُمَّتِي مِنْ إِبْلِيسَ , وَيَكُونُ فِي أُمَّتِي رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ : أَبُو حَنِيفَةَ , هُوَ سِرَاجُ أُمَّتِي

“Akan ada dari kalangan umatku seseorang yang dipanggil Muhammad ibn Idris, dia lebih berbahaya kepada umatku berbanding Iblis; dan akan ada dari kalangan umatku seseorang yang dipanggil Abu Hanifah, dia akan penyuluh kepada umatku”

[al-Maudhu’aat]

Di antara pemalsuan yang dibuat juga melibatkan persoalan-persoalan fiqh. Antaranya hadits yang menyebut,

جَعَلَ الْمَضْمَضَةَ وَالاسْتِنْشَاقَ لِلْجُنُبِ ثَلاثًا فَرِيضَةً

Allah jadikan kumur-kumur dan membersihkan hidung bagi orang yang junub sebanyak tiga kali, fardhu!

[al-Maudhu’aat]

Begitu juga hadits,

مَنْ رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الرُّكُوعِ فَلا صَلاةَ لَهُ

Sesiapa yang mengangkat kedua-dua tangannya ketika hendak rukuk, maka tiada solat baginya

[Tanzih asy-Syari’ah]

Dan banyak lagi hadits-hadits palsu yang dicipta dalam bentuk mendokong imam-imam mazhab atau mazhab-mazhab tertentu.

Semoga kita semua diberi petunjukNya dan dijauhkan dari jenayah pemalsuan hadits.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan