Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 26: Sifat Rambut Nabi Dan Etika Tutur Kata Umat Islam

Hadis 26: Sifat Rambut Nabi Dan Etika Tutur Kata Umat Islam

232
0
Iklan

شرح الديارية
لأحاديث الشمائل المحمدية
للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة
(المتوفي سنة 279 هجرية)
Syarhu d-Diyariyyah
Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah
Lil-Imam Abi `Isa Muhammad bin `Isa bin Sawrah

Hadis 26, Dari Kyouto, Jepun

26- حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو قَطَنٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرْبُوعًا، بَعِيدَ مَا بَيْنَ الْمَنْكِبَيْنِ، وَكَانَتْ جُمَّتُهُ تَضْرِبُ شَحْمَةَ أُذُنَيْهِ.

26- Telah bercerita kepada kami Ahmad bin Mani`, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu Qatan, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Syu`bah, daripada Abi Ishaq, daripada Al-Bara’ bin `Azib, dia berkata: Rasulu Llah adalah bersaiz sederhana, jauh jarak dua bahunya, dan rambutnya menyentuh cuping dua telinganya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini telah disebut dalam hadis ketiga, dengan tiga rawi yang sama iaitu Syu`bah, daripada Abi Ishaq, daripada Al-Bara’ bin `Azib, yang menceritakan tentang sifat tubuh Nabi. Namun, kedua-dua lafaz ini berbeza sedikit dengan penambahan dan pengurangan.

Dalam ilmu hadis, terdapat satu bab iaitu tentang meriwayatkan hadis dengan makna. Hal ini tiada masalah kerana hadis ini bukanlah ucapan Nabi atau lafaz doa yang memerlukan periwayatan lafaz dengan tepat, sebaliknya hanya penceritaan tentang sifat Nabi. Justeru, dua lafaz hadis ini sebenarnya saling menerangkan antara satu lafaz dengan satu lafaz yang lain.

Kadangkala, lafaz sesuatu hadis itu adalah panjang atau sangat panjang, justeru, para rawi hanya menyebut lafaz yang sesuai mengikut konteks semasa, dan ini menyebabkan hadis itu diringkaskan atau dipendekkan.

Contoh mudah ialah apabila seseorang memetik kata-kata, ucapan, atau penulisan orang lain, sudah tentu dia akan memetik bahagian yang diperlukan sahaja tanpa menyertakan keseluruhan kata-kata, ucapan, atau penulisan tersebut. Hal ini mudah difahami bagi mereka yang terlibat dengan penulisan ilmiah, atau para wartawan yang menulis berita.

Namun, satu isu yang penting ialah adakah petikan itu dipetik dengan benar, atau dipetik dengan hawa nafsu? Seringkali kita melihat, mendengar dan membaca tentang ucapan seseorang yang dilaporkan dalam berita atau akhbar, tetapi kemudian orang itu sendiri menafikan laporan tersebut dengan mendakwa bahawa ucapannya diselewengkan makna atau disalah petik. Kerana itu, dalam ilmu hadis, seseorang akan mengulang apa yang ingin diriwayatkan di hadapan gurunya, agar riwayatnya dapat disemak oleh guru tersebut.

Selain itu, kerana itu disyaratkan bahawa ilmu hadis dan agama ini tidak diambil dari tepi jalan atau kedai kopi, melainkan ia diambil daripada perawi yang `adil, yang siqah, yang kuat hafazan, dengan sanad yang bersambung, serta tidak ganjil, dan tidak mempunyaï kecacatan.

Perawi yang `adil ialah yang ta`at dalam beragama, yang sentiasa bertaqwa iaitu menjauhi amalan yang buruk termasuk syirik, fasiq atau bid`ah. Dia hendaklah sentiasa melakukan segala kewajiban agama seperti salat, puasa, dan zakat, serta menjauhi akhlaq yang buruk.

Rawi yang siqah ialah yang dipercayaï dalam agamanya, tidak menipu serta tidak melakukan penyelewengan sesuka hatinya.

Rawi yang kuat hafazan ialah rawi yang dapat mengingati apa yang diriwayatkan dengan tepat, dan riwayatnya sentiasa sama tanpa kesilapan atau campur aduk.

Sanad yang bersambung bermakna rawi itu pernah berguru, atau mendengar kata-kata gurunya, atau menerima ijazah hadis daripada gurunya, sehingga apa yang diriwayatkan itu seolah-olah kata-kata gurunya yang sedang bercakap.

Tidak ganjil bermakna hadis yang diriwayatkannya tidak menyalahi apa yang datang dalam Al-Qur’an atau Sunnah, atau apa yang diriwayatkan oleh rawi yang lain.

Tidak mempunyaï kecacatan bermakna tiada kelemahan dalam apa yang diriwayatkan, atau pada diri rawi itu sendiri, seperti menyembunyikan nama gurunya, salah susunan nama perawi, serta tiada kekeliruan antara rawi yang sama nama atau laqab.

Dewasa ini, dengan perkembangan teknologi komputer, internet serta media sosial, ramai orang yang memetik kata-kata orang lain dengan tidak amanah, kerana mempunyaï niat jahat untuk memalukan atau menjatuhkan maruah orang yang dipetik kata-katanya itu. Justeru, dalam ilmu hadis, orang ini adalah tidak `adil dan tidak siqah. Orang-orang seperti ini hendaklah dijauhi, agar kita kita terselamata daripada fitnah mereka.

Sesetengah orang pula suka memetik dan menyebarkan sesuatu – berita, petikan kata, dan sebagainya – daripada orang yang tidak dikenali. Dalam ilmu hadis, perbuatan sebegini adalah salah kerana menyebarkan sesuatu daripada orang yang majhul – yang tidak dikenali – adalah salah dan tidak bertanggungjawab. Ini disebabkan asas penting dalam ilmu ialah ia hanya boleh disebarkan sekiranya bersumber daripada orang yang `adil dan siqah. Justeru, seseorang yang tidak diketahuï `adalahnya dan siqahnya, kata-kata atau apa-apa yang datang daripada mereka adalah tidak berguna dan terbatal, seperti debu yang berterbangan.

Dan lebih teruk, terdapat sebahagian manusia yang jahil, yang suka menyebarkan khabar, atau berita, atau cerita daripada orang yang dia sendiri tidak kenal, lalu dia menyebut satu kata-kata yang jelas menunjukkan kejahilannya iaitu, “Saya dengar orang ini cakap begitu. Kalau dia bohong, bohonglah saya.”

WaLlahi, ini ialah ucapan orang yang sangat bodoh, yang tidak tahu qadar dirinya yang jahil. Sekiranya dia tahu iaitu apabila dia tidak tahu kebenaran, dia pastinya akan senyap, dan menyelamatkan dirinya di akhirat daripada dosa yang berganda-ganda. Ini ialah contoh seorang perawi yang tertolak kata-kata dan riwayatnya, kerana dia hanya mengutip cerita dan kisah, tanpa memastikan siapa yang menyampaikan, atau kesahihan berita yang didengar. Justeru, kata-katanya tiada nilai dan tidak layak disebarkan.

Sungguh, pengetahuan tentang rawi ini akan menyelamatkan kita dan agama kita dalam zaman teknologi ini. Seseorang yang dikenal selalu mengutip kata-kata orang yang majhul – iaitu tidak dikenal agama, `adil dan siqahnya – maka setiap apa yang datang daripadanya hendaklah diabaikan, dipadam dan tidak disebarkan, walaupun ia mungkin benar. Sebaliknya, seseorang ilmuwan, yang dikenal agama, `adil dan siqahnya, maka baharulah apa yang disampaikan olehnya boleh diambil faedah, atau disebarkan kepada orang lain.

Justeru, tersilaplah orang yang mengutip sampah di jalanan, lalu dia membawakan sampah itu kepada seseorang ilmuwan dan bertanya, adakah antara sampah itu yang sahih dan betul? Sungguh dia tersilap, kerana orang itu harus mengenal bahawa sampah dalam agama, ia tiada nilai langsung, walaupun ia mungkin betul! Seharusnya, dia berpada – iaitu berasa cukup – dengan yang sahih, daripada orang yang betul, barulah dia akan selamat daripada sampah dan kebusukannya.

Maka setiap kita hendaklah tahu di mana dia harus berhenti bercakap dan berhenti menyampaikan, agar kita tidak menyebarkan penipuan dan menjadi penipu dalam agama.

ترجمة وشرح باللغة الماليزية
Terjemahan dan Syarah oleh
محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري
ADÖULINÉ Lacharouphe
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin

Komen dan Soalan