Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.08.08#220915: SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 05)

02.08.08#220915: SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 05)

204
0
Iklan

Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.08.08 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي)

Susunan: BroSyarief

SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 05)

05. Sikap ‘Asobiyyah kepada Qabilah, Bangsa dan Negara!

Bermulanya bibit-bibit sikap sebegini pada kurun ke-2 Hijrah, apabila orang-orang arab mula menetap di negeri-negeri yang telah dibuka dan mereka mula bercampur dan bergaul dengan golongan bukan arab.

Mereka pun mengutamakan pemimpin-pemimpin qabilah dan kaum tertentu, dan kelebihan sebahagian bangsa berbanding yang lain, lalu mereka mencipta hadits-hadits menceritakan kehebatan qabilah atau kaum tertentu berbanding yang lain.

Antaranya, Hilal bin Abdul Rahman al-Hanafi telah mencipta hadits memuji bangsa Quraisy yang disandarkan kepada Jabir bin Abdullah.

Dia menceritakan bahawa terdapat seorang lelaki yang dibunuh di Madinah dan tidak diketahui siapa yang membunuhnya, maka Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda:

أَبْعَدَهُ اللَّهُ ، إِنَّهُ كَانَ يُبْغِضُ قُرَيْشًا

“Semoga Allah menjauhkan dia, dia dahulunya membenci Quraisy”

[al-Maudhu’aat]

Walaupun terdapat hadits-hadits yang Sahih yang memuji Quraisy, tetapi tetap ianya tidak menjadi alasan untuk menerima hadits-hadits yang direka sebegini.

Selain itu, seorang lagi pemalsu hadits, Yahya bin Burayyid bin Abu Bardah telah mencipta hadits tentang kelebihan bangsa ‘Arab. Dikatakan bahawa Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, bersabda:

أَحِبُّوا الْعَرَبَ لِثَلاثٍ : لأَنِّي عَرَبِيٌّ ، وَالْقُرْآنُ عَرَبِيٌّ ، وَكَلامُ أَهْلِ الْجَنَّةِ عَرَبِيٌّ

“Cintailah Arab kerana 3 perkara: Aku adalah ‘Arab, alQuran itu dalam bahasa ‘Arab dan bahasa penduduk Syurga adalah bahasa ‘Arab.”

[Silsilah al-Ahaadits al-Dha’ifah]

Umar bin Musa bin Wajih al-Ansoriy pula mencipta hadits memuji bangsa Parsi,

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا غَضِبَ أنزل الْوَحْيَ بِالْعَرَبِيَّةِ ، وَإِذَا رَضِيَ أنزل الْوَحْيَ بِالْفَارِسِ

“Sesungguhnya Allah, ketika Marah, menurunkan wahyu dalam bahasa ‘Arab dan ketika Dia redha, menurunkan wahyu dalam bahasa Parsi”

[al-Maudhu’aat]

Begitu juga hadits-hadits yang direka tentang kelebihan negeri atau daerah tertentu juga sangat banyak:

Antaranya adalah hadits berikut yang dicipta oleh Muhammad bin Yunus al-Basri,

إني لا أعرف أرضا يقال لها البصرة أقوامها قبلة وأكثرها مساجد ومؤذنين يدفع عنها من البلاء ما لا يدفع عن سائر البلاد

“Aku tidaklah mengenal satu daerah sepertimana daerah yang dipanggil Basrah, di mana qiblatnya paling tegak, masjid-masjidnya paling banyak dan muazzinnya paling ramai, diselamatkan ia dari mala petaka yang mana tidak dijaga pada daerah-daerah lain”

[al-‘Ilal al-Mutanahiah]

Dan hadits berikut,

إِذَا ذَهَبَ الْإِيمَانُ مِنَ الأَرْضِ وُجِدَ بِبَطْنِ الأُرْدُنِّ

“Apabila telah hilang iman dari muka bumi, ia akan ditemui di tengah-tengah Jordan”

Hadits ini telah direka oleh Ahmad bin Kinanah asy-Syaami.

[al-Mizan]

Dan banyak lagi hadits-hadits yang direka dan dicipta menceritakan kelebihan bangsa tertentu, negeri-negeri dan daerah-daerah tertentu dan dibandingkan dengan yang lain dalam keadaan melampau.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan