Utama Bilik (08) Riyadhus Solihin 02.08.06#140815: SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 03)

02.08.06#140815: SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 03)

257
0
Iklan

Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.08.06 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي)

Susunan: BroSyarief

SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG DISENGAJAKAN (Bhg. 03)

03. Memenangkan Kecenderungan Mazhab-mazhab Akidah

Pada suku akhir kurun pertama Hijrah, telah mula muncul kelompok-kelompok seperti Qadariyyah, Jabbariyyah, Murjiah dan Jahmiyyah dengan pemikiran-pemikiran yang asing dalam bab akidah.

Lalu mereka mereka hadits-hadits untuk menyebarkan mazhab keyakinan mereka dan pendapat-pendapat mereka yang merosakkan.

Dalam masa yang sama, terdapat dari kalangan ahlus sunnah yang menentang mereka, dalam keadaan bangga tetapi berbuat dosa, mereka pun mencipta pula hadits-hadits mencela kelompok-kelompok di atas.

Antara contoh kelompok Qadariyyah mencipta hadits,

إذا كان يوم القيامة وجمع الله الأولين والآخرين فالسعيد من وجد لقدمه موضعا فينادي مناد من تحت العرش ألا من برأ ربه من ذنبه وألزمه نفسه فليدخل الجنة

“Di hari kiamat, Allah himpunkan semua dari generasi yang terawal sehingga yang terakhir. Maka bergembiralah mereka yang tetap dengan prinsipnya. Lalu, pemanggil dari bawah ‘arasy pun berkata: Ketahuilah bagi sesiapa yang melazimi dirinya tidak melakukan sebarang dosa, masuklah dia ke dalam syurga”

Dan penentang-penentang mereka pula mencipta hadits lain di mana sebahagian sahabat (wal ‘iyadzu bilLah) membantah alQadr.

Sementara golongan Murjiah pula mereka hadits,

قدم وفد ثقيف على رسول الله ﷺ فقالوا: جئناك نسألك عن الإيمان أيزيد أو ينقص قال: الإيمان مثبت في القلوب كالجبال الرواسي وزيادته ونقصانه كفر

“Telah datang utusan dari Bani Tsaqif menemui RasululLah salLaahu ‘alaihi wa sallam, lalu mereka bertanya: Kami menemuimu untuk bertanya tentang Iman. Adakah ia naik dan turun? (Dikatakan) Nabi sallaLaahu ‘alaihi wa sallam menjawab: Iman itu tetap di dalam hati bagaikan gunung yang teguh, peningkatannya membawa kepada kufur, pengurangannya juga membawa kepada kufur”

Maka ia dijawab pula oleh penentang mereka dengan mencipta pula hadits lain.

الإيمانُ قولٌ وعملٌ يزيدُ وينقصُ

“Iman itu adalah pada kata-kata dan perbuatan, dan ada masanya ia meningkat dan ada masanya ia menurun”

Nota tambahan: Kata-kata di atas adalah benar dari sudut makna dan disebutkan oleh ramai di kalangan ulama Salaf, cuma yang jadi perhatian adalah penisbahan kata-kata ini kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam secara dusta, sedangkan baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam tak pernah menyebutkannya.

Dan banyak lagi contoh-contoh hadits-hadits palsu yang direka dengan sebab menzahirkan dan mendokong mazhab keyakinan akidah.

Semoga Allah jauhkan kita dari akhlaq yang sangat buruk ini, iaitu memalsukan hadits di atas nama Nabi sallalLahau ‘alaihi wa sallam.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan