شرح الديارية
لأحاديث الشمائل المحمدية
للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة
(المتوفي سنة 279 هجرية)
Hadis 25, Dari Saitama, Jepun
25- حَدَّثَنَا هَنَّادُ بْنُ السَّرِيِّ، قَالَ: أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي الزِّنَادِ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ، وَكَانَ لَهُ شَعْرٌ فَوْقَ الْجُمَّةِ وَدُونَ الْوَفْرَةِ.
25- Telah bercerita kepada kami Hannad bin As-Sariy, dia berkata: Telah memberitahu kami `Abdu r-Rahman bin Abi z-Zinad, daripada Hisyam bin `Urwah, daripada bapanya, daripada `A’isyah, dia berkata:
Saya telah mandi, saya dan Rasulu Llah daripada bekas yang satu. Dan dia mempunyaï rambut di atas bahu, dan di bawah telinga.
Ulasan Adou_Fr:
Hadis ini diriwayatkan oleh `A’isyah, dan dia ialah isteri Nabi. Dalam hadis ini, `A’isyah menceritakan tentang apa yang berlaku di dalam rumah tangganya, iaitu dia dan Nabi telah mandi daripada bekas yang satu. Hal yang sama juga diceritakan oleh isteri Nabi yang lain, iaitu Maymumah, bahawa dia telah mandi, dia dan Rasulu Llah daripada bekas yang satu, disebabkan janabah – iaitu hubungan seks –.
Penceritaan tentang mandi bersama ini sangat indah, jika ia dijadikan petunjuk hidup kita. Sebagai suami isteri, mandi bersama sebegini adalah satu cara hidup berkeluarga. Sama seperti hubungan kelamin sebagai cara hidup berkeluarga, mandi bersama juga harus menjadi imej dan bayangan hidup berkeluarga. Sama ada ia ialah mandi selepas bersetubuh dan melakukan hubungan seks, atau ia mandi yang biasa.
Namun, hal ini bukanlah untuk setiap mandi, dan bukanlah setiap hari. Ini disebabkan bangsa `Arab tidak dikenal sebagai bangsa yang mandi setiap hari. Berbeza dengan budaya Melayu yang mandi setiap hari beberapa kali, maka tidaklah perlu setiap kali mandi, suami dan isteri bersama-sama. Cukuplah apabila ia dilaksanakan secara berkala, mengikut keperluan dan kesesuaian, atau apabila ada keinginan untuk melakukannya.
Dalam hal mandi ini, bangsa Melayu sebenarnya mula melampaui batas dalam mandi, sehingga mereka tidak sedar bahawa mereka melakukan pembaziran ketika mereka mandi. Dalam hadis setara yang menceritakan tentang `A’isyah dan Nabi mandi bersama, mereka berdua mandi dari bekas – besen atau tempayan – yang berisi 3 (آصع) asu` air. 1 (صاع) sa` air ialah 2.512 liter. Justeru, mereka berdua mandi dengan air sebanyak 7.536 liter. Supaya mudah dibayangkan, ia bersamaan dengan 5 botol air botol 1.5 liter. Dengan perkiraan matematik, kita dapat mengira bahawa secara purata, setiap seorang – Nabi dan `A’isyah – mandi menggunakan kurang 3 botol air botol 1.5 liter.
Apabila kita kembali kepada kehidupan kita, kita dapati bahawa sebahagian daripada kita sangat melampau dan membazir ketika mandi. Ramai yang mandi bukan untuk keperluan, tetapi untuk bermewah-mewahan. Sebahagian mandi dengan begitu lama dan menggunakan sangat banyak air, yang tanpa mereka sedari, ia menyalahi sunnah Nabi. Sebahagian menolak terus petunjuk Nabi dalam hal mandi ini, kerana bagi mereka, mandi ialah hak peribadi, dan mereka berhak untuk mandi sesuka hatinya.
Mandi ialah keperluan, dan Islam tidak mengehadkan seseorang untuk mandi hanya sekian sekian kali. Namun, ajaran Islam yang tetap ialah arahan Nabi agar tidak membazir. Nabi menyebut suatu hadis:
إِنَّهُ سَيَكُونُ فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ
«Sesungguhnya akan ada dalam umat ini, suatu golongan yang melampau ketika bersuci dan berdoa» [Abi Dawud/ 96, disahihkan oleh Al-Albaniy]
Sangatlah rugi jika kita termasuk dalam golongan yang disebut di dalam hadis ini, iaitu golongan yang melampau ketika bersuci dan berdoa. Bersuci adalah ketika berwudhu’ dan mandi, manakala berdoa adalah pada teks dan lafaz doa yang melampau.
Lebih membazir apabila seseorang menghabiskan masa yang sangat lama, sehingga ada yang melebihi setengah jam di dalam bilik mandi, lalu mereka merungut tidak sempat dan tidak cukup masa. Mereka bukan sahaja tidak menurut sunnah dalam mandi, tetapi telah melanggar larangan membazir, serta telah membazirkan masa. Sangat indah pepatah Melayu, buat baik berpada-pada. Berpada-padalah pada melakukan sesuatu, termasuk dalam hal mandi!
Seterusnya, `A’isyah menyebut sifat rambut Rasuli Llah, dan dia menceritakan dengan ringkas tentang rambut Nabi. Haruslah diketahuï bahawa `A’isyah ialah seorang wanita, dan dia masih muda ketika Nabi mati, sehingga diriwayatkan bahawa ketika Nabi mati, dia berusia 18 tahun. Namun, sebagai seorang perempuan, sebagai seorang yang muda, sebagai seorang isteri, dia hanya menyebut sebaris ayat sahaja tentang rambut Nabi.
Secara logik, sebagai seorang perempuan, sebagai seorang muda, sebagai seorang isteri, dia pasti mempunyaï sangat banyak kata dan cerita tentang Nabi. Andai seorang perempuan Melayu zaman ini berada di tempat `A’isyah, pasti hadis ini akan menjadi sepanjang sebuah ensiklopedia! Namun, `A’isyah yang dididik oleh Nabi, dia hanya bercakap apabila perlu, dan dia hanya bercakap apabila perkataan itu baik. Tidak seperti ramai wanita dewasa ini, mereka – atas nama kebebasan bersuara, atas nama hati dan perasaan – akan bercakap seperti orang gila – tanpa henti, tanpa difahami apakah yang ingin disampaikan!
Ini ialah sesuatu yang harus dipelajari oleh wanita zaman ini daripada `A’isyah – sedikit bicaranya, namun tinggi taqwanya! Berapa ramai wanita zaman ini yang panjang lidahnya, tetapi imannya senipis rambutnya! Wahai wanita, tahanlah lidah dan emosi anda, dan itulah tanda iman. Wahai wanita, tahanlah bicara dan umpatan anda, dan itu adalah tanda iman. Wahai wanita, tahanlah leteran dan bebelan anda, dan itulah tanda iman. Bercakaplah dengan `aqal, dan berbicaralah dengan penuh keimanan. Elakkan daripada syaytan dan godaannya. Elakkan daripada nafsu dan emosinya. Elakkan daripada neraka dan bahangnya. Contohilah `A’isyah yang digelar Ummu l-Mu’minin.
ترجمة وشرح باللغة الماليزية
Terjemahan dan Syarah oleh
محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري
ADÖULINÉ Lacharouphe
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin