بَابُ مَا جَاءَ فِي شَعْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Bab 3: Apa yang datang berkenaan rambut Rasuli Llah
Hadis 24, Dari Saitama, Jepun
24- حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ، قَالَ: أَخْبَرَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ حُمَيْدٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: كَانَ شَعْرُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى نِصْفِ أُذُنَيْهِ.
24- Telah bercerita kepada kami `Aliy bin Hujr, dia berkata: Telah memberitahu kami Isma`il bin Ibrahim, daripada Humayd, daripada Anas bin Malik, dia berkata: Rambut Rasuli Llah adalah hingga separuh dua telinganya.
Syarah Adou_Fr:
Hadis ini ialah ulangan bagi maksud yang telah dijelaskan dalam hadis kelapan, tentang panjang rambut Nabi. Anas bin Malik, yang hidup dalam budaya `Arab, menceritakan tentang rambut Nabi, dan ia sesuai dengan budaya dan adat orang `Arab.
Apabila Islam mula berkembang kepada orang `Ajam – iaitu orang-orang bukan `Arab – pada zaman `Umar dan selepasnya, maka umat Islam ketika itu mempunyaï pelbagai fesyen dan gaya potongan rambut, yang sebahagiannya berbeza dengan budaya `Arab. Begitu juga dengan makanan, pakaian, dan gaya hidup mereka yang berbeza dengan budaya `Arab. Namun, tidak diberitakan bahawa ketika itu, `Umar – yang menjadi khalifah dan Amiru l-Mu’minin – atau mana-mana sahabat, menggesa dan menyuruh orang-orang `Ajam ini untuk menukar hidup mereka mengikut budaya `Arab. Para sahabat ini tidak menyeru mereka menukar gaya potongan rambut, pakaian, makanan atau gaya hidup mereka!
Bahkan Islam datang untuk menegakkan tawhid. Islam datang untuk menyempurnakan kemuliaan akhlaq manusia. Islam tidak datang untuk menyeragamkan gaya rambut umatnya, atau untuk menyeragamkan pakaian mereka, tidak juga untuk menyeragamkan makanan atau gaya hidup manusia. Yang disebarkan oleh Nabi ialah risalah tawhid dan cara ber`ibadah yang betul kepada Tuhan. Selain itu, manusia berbeza mengikut budaya setempat masing-masing.
Justeru, apabila terdapat beberapa pihak yang menyeru mengikut perkara yang bukan pokok agama, seperti potongan rambut, atau pakaian, atau makanan, atau cara hidup `Arab, ia ialah satu seruan yang janggal, yang tidak dibuat pun oleh para sahabat terdahulu terhadap orang-orang `Ajam.
Benar, disebutkan dalam hadis tentang Nabi begitu dan begini, tetapi itu ialah satu penceritaan sahaja, yang tidak datang arahan untuk mengikutinya. Rambut Nabi seperti dalam hadis ini, tidak datang sebarang riwayat agar memelihara rambut sehingga sebegini, atau agar memotongnya jika lebih panjang, atau agar menggunakan ubat-ubatan untuk menumbuhkan atau memanjangkan rambut yang botak atau pendek. Bahkan tidak diriwayatkan bahawa memotong rambut seperti potongan Nabi, ia menjadi bukti cinta kepada Nabi, atau menurut sunnahnya.
Di Malaysia, apabila budaya hidup dan budaya kerja kita mengenakan syarat gaya rambut tertentu, ia tidaklah menyalahi sunnah Nabi, atau mencalarkan apa-apa ajaran Islam. Ini kerana pada zaman kita, rambut yang kemas, ia menandakan disiplin dan keperibadian yang baik pada seseorang lelaki. Berambut panjang, secara kasarnya, dianggap sebagai golongan yang memberontak, tidak bertamaddun, tidak berakhlaq dan sebagainya yang membawa imej negatif. Perbezaan seperti ini, ada kalanya menjadi masalah bagi sesetengah pihak, sama ada mahu mengikut undang-undang setempat, atau untuk mengikut gaya rambut Nabi?
Bahkan penyelesaiannya tidaklah serumit itu. Mulakan dengan apa yang Islam datang dengannya, iaitu tawhid dan iman. Kemudian, mulakan dengan hal yang jelas dalam agama, iaitu dengan mematuhi perintah dan menjauhi larangan. Dua perkara ini, walaupun kedengaran ringan, tetapi ia sebenarnya adalah dua pertiga daripada agama.
Iman, al-hamdu liLlah kerana kerana kita sudah dikurniakan iman, apabila kita mengucap “la ilaha illa Llah” tiada Tuhan melainkan Allah. Namun, hal iman jauh ini lebih besar daripada hanya ucapan itu sahaja, kerana kita perlu merealisasikan iman itu dalam kehidupan, sehingga tiada yang lebih besar dalam hidup kita melainkan Allah, taqdir Allah, ujian Allah, rezeki Allah, dan segala-galanya kembali kepada Allah.
Hal yang jelas dalam agama, ia ialah apa yang jelas dalam nas, sama ada suruhan atau larangan. Haqiqat yang pahit, masih ramai umat Islam yang bergelumang dengan dosa, akibat tidak mengendahkan hal yang jelas dalam agama ini. Contohnya salat, ia perintah yang tetap dan jelas, sehingga menjadi kafir orang yang enggan bersalat. Namun, ramai yang mengabaikannya. Menta`ati dan berbuat baik kepada ibu bapa, ia perintah yang tetap dalam Islam, walaupun ibu bapa itu bukan beragama Islam. Namun, ramai orang yang mengutamakan dunia, atau harta, atau isteri berbanding ibu bapanya.
Menipu dan mengumpat, ia adalah larangan yang tetap dalam agama, dan lebih awla untuk didahulukan. Masih banyak lidah yang menipu, masih banyak lidah yang mengumpat, dan hal ini terlepas pandang daripada ramai orang. Mencampakkan diri ke dalam kebinasaan, ia adalah larangan yang tetap dalam agama, dan pelbagai kebinasaan perlu dijauhi dan dihindari. Bahkan hal ini lebih awla untuk diutamakan.
Benar, perihal Nabi bukanlah perkara kecil. Namun, Muhammad ialah manusia yang rambutnya memanjang apabila dibiarkan, memendek apabila dipotong atau dicukur. Ramai yang terlupa tentang kemanusiaan Muhammad, sehingga mereka lupa, bahawa ajaran Nabi yang utama perlu diutamakan.