Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 22: Cop Kenabian Berada Di Belakang Rasulullah

Hadis 22: Cop Kenabian Berada Di Belakang Rasulullah

428
0
Iklan

Hadis 22, Dari Saitama, Jepun

22- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ الْوَضَّاحِ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو عَقِيلٍ الدَّوْرَقِيُّ، عَنْ أَبِي نَضْرَةَ الْعَوَقِيِّ، قَالَ: سَأَلْتُ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ عَنْ خَاتَمِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَعْنِي خَاتَمَ النُّبُوَّةِ – فَقَالَ: كَانَ فِي ظَهْرِهِ بَضْعَةٌ نَاشِزَةٌ.

22- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Basysyar, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Bisyr bin Al-Wadhdhah, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu `Aqil Ad-Dawraqiy, daripada Abi Nadhrah Al-`Awaqiy, dia berkata: Saya telah menyoal Aba Sa`id Al-Khudriy tentang cop Rasuli Llah – iaitu cop kenabian – maka dia telah berkata: Ia berada di belakangnya, daging yang timbul.

Syarah Adou_Fr:

Di dalam hadis ini, terdapat seorang rawi yang bernama Abu Nadhrah. Dia memakai nisbah (الْعَوَقِيُّ) Al-`Awaqiy yang dinisbahkan kepada (الْعَوَقَةُ) keturunan daripada `Abdu l-Qays. Sesetengah kitab menuliskan nisbah ini sebagai (الْعُوفِيُّ) Al-`Ufiy, iaitu dengan menggunakan huruf (ف) fa sebagai ganti (ق) qaf. (الْعُوفَةُ) Al-`Ufah ialah nama tempat di Basrah. Walau bagaimanapun, Al-`Ufiy ialah nisbah yang digunakan oleh rawi bernama `Atiyyah.

Ini ialah satu masalah yang sangat ketara dalam ilmu hadis, apabila sesuatu huruf atau perkataan perlu kepada pentahqiqan, sama ada ia huruf (ـفـ) fa atau (ـقـ) qaf, (تـ) ta atau ya (يـ), (ـر) ra atau (ـل) lam dan sebagainya, apabila ia ditulis dengan tulisan tangan. Justeru, hal ini memerlukan pembacaan yang lebih luas dan perkongsian daripada lebih ramai guru.

Masalah ini juga membezakan antara seseorang penuntut ilmu hadis dengan penuntut yang lain, walaupun mereka menghadiri majlis yang sama, kerana ia memerlukan penelitian, dan iltizam yang tinggi daripada seseorang penuntut ilmu hadis. Justeru, menjadi seorang penuntut hadis bukanlah suatu kebanggaan, sebaliknya ia menuntut dan memerlukan himmah (komitmen) yang lebih. Ini kerana, satu majlis hadis yang dihadiri oleh seribu orang, belum tentu seribu orang itu akan mewarisi gurunya – dari segi ilmu, atau akhlaq, atau kemahiran. Sebaliknya, dalam seribu itu mungkin hanya beberapa – yang tidak lebih bilangan jari – yang boleh diharap untuk mewarisi dan menyampaikan ilmu tersebut.

Hal ini, walaupun ia mengejutkan dan mengetuk minda kita seolah-olah ia mustahil, tetapi ia dibuktikan dengan melihat sanad periwayatan kitab-kitab hadis. Diriwayatkan bahawa yang mendengar Sahih Al-Bukhariy daripada Imam Al-Bukhariy ialah sebanyak tujuh puluh ribu orang. Namun, yang sampai kepada kita, hanyalah riwayat yang disampaikan melaluï beberapa jalan yang boleh dibilang dengan jari sahaja, terutama melaluï jalan (الْفَرَبْرِيُّ) Al-Farabriy.

Antara sebab seseorang murid mengatasi murid-murid yang lain dalam ilmu hadis ialah (عدالة) `adalah dan ingatan, naskhah yang lengkap tanpa kekurangan, kesahihan naskhah, panjang hayat, serta ulang dengar.

Sebab yang pertama iaitu (عدالة) `adalah dan ingatan ialah dua ciri insan yang berbeza-beza, yang tidak mungkin sama. Justeru, akan ada insan yang lebih `adil berbanding yang lain, dan ada yang mempunyaï ingatan yang lebih kuat. `Adil di sini bermakna istiqamah dalam urusan agama, selamat daripada kefasiqan, menunaikan haq dan kewajiban dalam perbuatan dan pergaulan, dan berhati-hati dalam percakapannya daripada apa-apa yang boleh mencacatkan agamanya dan kehormatannya. Ingatan pula ialah dapat mengulangi semula apa yang didengar atau yang dipelajari sama seperti yang didengar atau yang dipelajari tanpa lupa atau salah.

Naskhah yang lengkap tanpa kekurangan memerlukan iltizam insan dan kemahiran menulis. Tidak ramai orang yang mampu mengambil nota dengan baik – sedangkan ia ilmu yang sangat penting dalam ilmu hadis –, dengan lengkap tanpa tertinggal apa-apa. Ini memerlukan kemahiran mendengar dan menulis kembali apa yang didengar, tanpa boleh berkhayal atau berangan. Hal ini sama seperti pelajar universiti yang perlu mengambil nota daripada pensyarah. Namun, lihatlah dan hitunglah berapa ramaikah pelajar yang dapat menulis notanya dengan lengkap!

Kesahihan naskhah memerlukan kejituan dan ketepatan terhadap apa yang diriwayatkan atau dituliskan. Ada yang menulis, tetapi banyak kesalahan. Ada yang menulis, tetapi tertinggal dan tertambah. Justeru, memastikan ketepatan bukan boleh dibuat oleh setiap orang, kerana ia memerlukan kemahiran dan ketelitian. Lihatlah – pada zaman ini – berapa ramai orang yang boleh menaip, tetapi apabila dilihat hasilnya, sangat banyak kesalahan ejaan, tanda baca dan sebagainya. Begitu juga, jika dilihat tulisan dalam karangan atau penulisan pelajar, masih terdapat sangat banyak kesalahan walaupun semasa peperiksaan!

Panjang hayat ialah usia yang diabadikan untuk menyampaikan ilmu. Dalam ilmu hadis, tidak ada konsep pencen, kerana seseorang sentiasa belajar dan mengajar sehingga maut menjemput. Sesiapa yang mati awal, maka sedikitlah muridnya. Orang yang usianya lebih panjang, maka lebih ramai muridnya. Namun, faktor panjang hayat ini mungkin berubah mengikut peluang mengajar, kemampuan seseorang untuk mengajar, dan kecenderungan murid untuk belajar pada zaman itu.

Ulang dengar bermakna mendengar sesebuah kitab berulang-ulang kali. Mendengar banyak kali menjadikan ingatan lebih kuat dan nota yang lebih tepat. Namun, sangat ramai dalam kalangan penuntut ilmu sekarang yang berlagak, yang tidak mahu mengulang dengar atau mengulang belajar sesuatu ilmu. Mereka ini menganggap bahawa dengan sekali dengar atau dengan sekali belajar, mereka sudah pandai dan dapat menguasaï ilmu itu! Sungguh rugi mereka! Bahkan ilmu hadis – selain ilmu Al-Qur’an – paling perlu kepada ulang dengar dan ulang belajar, kerana setiap kali ulangan itu, kita akan lebih memahami teks, lebih menghafaz, lebih tajam penelitian, dan lebih tahu selok-belok. Ulang dengar bukan untuk peperiksaan atau habuan duniawi, sebaliknya ia adalah bukti kecintaan terhadap ilmu dan komitmen yang diberikan.

Justeru, penuntut ilmu hadis, mereka paling awla untuk tunduk merendah diri, kerana mereka perlu menyibukkan diri dengan segala kemahiran supaya menjadi mahir dalam ilmu tersebut. Begitulah juga yang seharusnya diambil peringatan oleh penuntut ilmu agama, bahkan setiap muslim, agar kita tidak menyampaikan apa yang bukan ilmu, agar kita tidak menyebarkan apa yang bukan sahih, agar kita tidak meremehkan tanggungjawab untuk mempelajari ilmu agama, mengulang kaji, serta memastikan kesahihannya.

Dalam hadis ini, Abi Nadhrah menyoal Aba Sa`id Al-Khudriy tentang cop Nabi, iaitu cop kenabian. Aba Sa`id, hanya menyebut satu ayat yang pendek, iaitu menjelaskan bahawa cop itu berada di bahagian belakang Nabi, dan ia ialah daging yang timbul. Dan hanya itu sahaja yang diucapkan olehnya!

Adalah tidak logik untuk seseorang seperti Abi Sa`id untuk menerangkan ia seringkas itu – tanpa huraian dan penjelasan yang lebih panjang – melainkan kerana ia memang ringkas! Dalam erti kata lain, tiada yang istimewa tentang cop tersebut, melainkan apa yang diriwayatkan dan diterangkan oleh Nabi.

Andai kata pada cop itu terdapat sesuatu keganjilan, ia pasti sudah diceritakan. Andai kata pada cop itu terdapat tulisan – yang mana itu ialah suatu keganjilan – ia pasti sudah diceritakan. Andai kata ia mempunyaï kelebihan, ia pasti sudah diceritakan. Andai kata pada cop itu terdapat keberkatan, atau kegunaan lain – seperti untuk dijadikan rajah, atau digantung, atau dijual-beli – ia pasti sudah diceritakan. Namun, apabila ia diriwayatkan dengan sangat ringkas seperti dalam hadis ini, maka nyatalah antara ilmu dan karutan, antara kecintaan dan kebodohan.

Komen dan Soalan