Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #14 | Ulum Hadith

Kelas #14 | Ulum Hadith

1084
0
Iklan

 

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas manhaj baginda hingga kini. Wa ba’d

Kita berdoa agar ditetapkan atas manhaj salaf, mengikuti tauladan para salaf. Manhaj salaf adalah bagi semua yang mengikut tauladan para Salaf. Moga kita dijauhkan dari sifat perasan diri mengikuti salaf serta memberi cop kepada orang lain sebagai tidak mengikut salaf hanya kerana orang itu tidak mengikut pendapat gurunya atau tidak mengekor pendapat syaikh yang disanjungnya.

Syukur kepada Allah yang telah memberikan kita rezqi untuk meneruskan kelas ulum hadith kita pada malam ini insyaAllah.

Sebelum kita mula, suka saya memperingatkan bahawa kita sekrang berada dalam bulan Zul-Qaedah. Zul-Qaedah iaitu salah satu bulan al-Haram yang mulia. Zul-Qaedah, Zul-Hijjah serta Muharram. Dianjurkan membanyakkan amal sunnah, serta menjauhi persengketaan. Dan juga bagi mereka yang masih berbaki puasa qadha Ramadhan, boleh menggantinya pada bulan ini.

Sama-sama mempertingkatkan amal pada bulan Haram ini, memperkukuh keikhlasan aqidah, moga Allah menjadikan kita semua para hambaNya yang beribadah kepadanya dengan keikhlasan

Baik.

Pada minggu lepas, kita telah berdiskusi berkenaan topik al-Thiqah. Kita telah lihat definisi Thiqah dari segi istilah iaitu perawi yang mempunyai “adil dan dhabit” secara bersama, maka dia thiqah. Telah kita berbincang berkenaan apa itu ‘adil dan apa itu dhabit secara rinci pada kelas yang lalu.

Pada malam ini insyaAllah kita akan lihat dengan lebih lanjut berkenaan istilah Thiqah, jika dulu kita melihatnya dari segi istilah, malam ini kita akan melihat penggunaannya secara luar istilah.

Al-Thiqah secara istilah ialah perawi yang baginya sifat ‘adil serta dhabit secara bersama. Ini adalah maksud istilah. Namun kita perlu berhati-hati, kerana para huffaz hadith biasa menggunakan istilah Thiqah ini bukan dengan maksud istilah.

Sebahagian huffaz hadith biasa menggunakan istilah Thiqah dengan maksud ‘adil sahaja tanpa dhabit. Sebahagiannya pula menggunakan istilah thiqah ini bagi perawi majhul yang meriwayatkan satu hadith yang tidak diingkari. Dan pelbagai lagi.

Bahkan sebahagian mutaakhkhirin biasa menggunakan istilah thiqah bukan dengan maksud ‘adil dan bukan dengan maksud dhabit!. Mereka gunakan istilah thiqah bagi mereka yang telah hadir ke majlis sama’ hadith semata-mata, walaupun dia tidak ‘adil dan tidak dhabit.

Thiqah di sini bermaksud fulan itu memang benar hadith majlis sama’ (mendengar) dan qiraah (membaca) hadith dari Syaikh itu, dan telah thabit dia bertemu dan mendengar hadith itu dari Syaikh itu. Maka dia di sebut sebagai thiqah, walaupun dia tidak ‘adil dan tidak dhabit!

Pelajar : Ertinya ada perbezaan definisi diantara `ulama?

Dr. Fathi : Bukan berbeza definisi, tetapi penggunaan istilah yang sama dengan maksud yang bukan istilah.

Definisi thiqah secara istilah tetap sama dan ia disepakati, iaitu perawi yang baginya berkumpul sifat ‘adil dan dhabit. Mereka yang begini disebut thiqah dari segi istilah, dan hadith mereka diterima secara asasnya. Namun di sana ada sebahagian huffaz menggunakan istilah thiqah bukan dengan maksud istilah.
Misalnya mereka berkata kepada seorang rawi “dia thiqah dan tidak dibuat hujah”.

Apa ini? Thiqah namun tidak dibuat hujah??

Thiqah di sana bukan dengan maksud istilah. Thiqah di sana bermaksud ‘adil. Iaitu dia seorang yang baik agamanya, dipercayai. Namun dia tidak dhabit. Maka hadithnya Dhaif secara asasnya

Pelajar : Bagaimana ingin kenal maksud thiqah seperti yg disebutkan `ulama itu Dr?

Dr. Fathi : Kita akan lihat contohnya nanti.

Baik.

Al-Syaikh al-‘Allamah al-Mu’allimi al-Yamani dalam bukunya al-Istibsar menyenaraikan penggunaan istilah thiqah oleh para nuqaad hadith dengan maksud yang berbeza. Beliau menyenaraikan 7 :

  1. Sebahagian nuqaad menggunakan istilah thiqah hanya untuk mereka yang tinggi darjat ‘adil dan dhabitnya.
  2. Sebahagian nuqaad pula menggunakan istilah thiqah bagi semua tingkatan ‘adil dan dhabit, walaupun rendah.
  3. Sebahagian yang lain pula menggunakannya dengan maksud ‘adil semata-mata, tanpa dhabit
  4. Sebahagiannya pula menggunakan istilah thiqah bagi perawi majhul yang meriwayatkan 1 hadith dan hadithnya turut diriwayatkan oleh mereka yang lain (yang thiqah dan tidak majhul).
  5. Sebahagian yang lain pula menggunakan istilah thiqah bagi perawi majhul yang meriwayatkan 1 hadith dan hadithnya mempunyai shahid.
  6. Sebahagian lainnya pula menggunakan istilah thiqah bagi perawi majhul yang meriwayatkan 1 hadith, dan hadithnya tidak diingkari
  7. Sebahagian pula menggunakan istilah thiqah bagi perawi majhul yang hadithnya diriwayatkan oleh mereka yang thiqah.

Demikian 7 contoh penggunaan istilah al-Thiqah.

Pelajar : No 7 dan 4 itu nampak seperti sama Dr?

Dr. Fathi : Tak sama.

No.4, perawi itu majhul, namun dia hanya riwayat 1 hadith saja, dan 1 hadith yang dia riwayat itu pula turut diriwayatkan juga oleh mereka yang lain yang thiqah. Maka dalam kes ini, sebahagain huffaz tidak memanggilnya majhul namun menyebutnya sebagai thiqah.

Hadithnya itu Sahih. Bukan kerana dia, tetapi kerana ia sememangnya Sahih dan dibawa oleh mereka yang lain yang thiqah. Maka tidak salah menyebut si majhul itu sebagai thiqah.

No.7, perawi itu majhul, namun hadith-hadithnya diambil oleh para thiqah, iaitu para thiqah meriwayatkan hadith-hadithnya, terutamanya para imam-imam thiqah yang dikenal tidak akan meriwayat hadith kecuali dari mereka yang thiqah. Maka di sini, ia indikasi bahawa fulan majhul itu thiqah

Baik, saya jelaskan satu-persatu.

Bagi jenis 1&2, tiada masalah, ia sebenarnya adalah penggunaan dari segi isitlah. Hanya saja sebahagian hanya akan menggunakan istilah thiqah bagi perawi yang tinggi darjat ‘adil dan dhabitnya, sebahagian lain tidak kisah, asal adil dan dhabit maka di nama thiqah.

Bagi jenis ke-3, ini penggunaan bukan istilah. Perawi itu ‘adil namun dia tidak dhabit. Maka hadithnya secara asasnya Dhaif. Ingat penggunaan istilah thiqah bagi dia bukan dengan maksud ‘adil dan dhabit, tetapi ‘adil saja. Adil saja tidak cukup untukt hadith diterima.

Bagi ke-4&5, perawi majhul itu meriwayatkan 1 hadith, dan 1 hadith itu juga diriwayatkan oleh para thiqaat. Maka secara tidak langsung, si majhul ini adalah thiqah, kerana hadithnya betul menepati para thiqaat. Dan dia hanya bawa 1 hadith itu saja.

Bagi ke-6, dia majhul namun hadithnya tidak diingkari, semua para huffaz menerima Sahih hadithnya, maka secara tidak langsung dia thiqah

Yang ke-7 telah saya jelaskan sebelum ini.

Penting untuk kita mengetahui hal ini agar kita tidak salah faham kenyataan para imam-imam hadith. Misalnya al-Imam Ibn Sa’ad pengarang kitab al-Tabaqat. Beliau sering menggunakan istilah thiqah dengan maksudn’adil saja. Misalnya berkata Ibn Sa’ad kepada Musa bin ‘Ubaidah: “seorang yang thiqah, banyak hadithnya, dia bukanlah hujah”.

Apa ini? Tadi kata thiqah, kemudian bukan hujah pula???

Perlu kita faham thiqah yang dimaksudkan Ibn Sa’ad itu adaah ‘adil. Maksudnya dia seorang yang ‘adil, banyak hadith, tidak dibuat hujah kerana dia tidak dhabit.

Contoh lain, ditanya kepada al-Imam Uthman bin Abi Syaibah berkenaan ‘Ash’ash, maka jawab al-Imam Ibn Abi Syaibah “thiqah”, ditanya lagi kepadanya “adakah dia boleh dibuat hujah?”, maka jawab al-Imam “adapun untuk dibuat hujah, tidak”.

Thiqah apa jika tidak dibuat hujah??

Fahamlah di sini maksud thiqah itu ialah ‘adil saja bukan dhabit.

Faham?

Perkara ini juga penting apabila kita mengkaji status seseorang rawi yang kita lihat seperti wujud percanggahan penilaian. Misalnya satu rawi yang sama, seorang imam jarh dan ta’dil menyatakan dia thiqah, seorang lagi berkata dia kazzab!

Maka adakah di sini telah wujud perbezaan pendapat??

Tidak mesti

Kerana boleh jadi imam yang berkata dia thiqah itu, thiqah yang dia maksudkan ialah ‘adil semata-mata, iaitu agamanya bagus. Manakala imam yang berkata dia kazzab itu bermaksud dia tidak dhabit dan berdusta dalam periwayatan hadith.

Mereka memberi hukum atas dua perkara yang berbeza. Namun secsra hakikatnya perawi itu Dhaif dengan kesepakatan kedua imam itu. Boleh juga untuk seorang rawi yang sama, seorang imam berkata dia soduq (segi istilah: ia thiqah yang bawah), namun imam yang lain berkata fia dhaif. Adakah telah wujud perbezaan dalam menilai rawi ini?

Tidak mesti!

Kerana boleh jadi imam yang berkata dia soduq itu, dia maksudkan ‘adil, iaitu dia bercakap benar dalam percakapannya tidak menipu, namun dari segi hafazan hadithnya dia amat lemah tidak dhabit, maka dia dhaif dalam hadith.

Imam yang berkata dia dhaif itu pula memberi komentar berkenaan riwayat hadithnya. Maka secara hakikatnya tiada khilaf bagi penilaian rawi itu, bahkan sepakat kedua imam itu akan dhaifnya perawi itu tadi.

Maka setakat itu saja kelas kita pada malam ini. Kita akhiri dengan tasbih kafarah. Dan saya berpesan kepada semua penuntu ilmu hadith sebagaimana pesan guru saya Mahir al-Fahl “jangan lupa menela’ah al-Quran”.

Bertemu lagi pada kelas mendatang insyaAllah.

 


 

Soalan yang berkaitan minggu ke-14:

S: Saya ada soalan ustaz, kalau rawi itu dituduh kazzab tu bukan kah الطعن pada ‘adalah?. Kalau macam itu macam mana nak dijamakkan antara thiqah dengan kazzab? atau kazzab boleh juga dengan maksud banyak sangat salah? Sebab kalau dikira kalimah kazzab itu kritikan pada ‘adalah maka salahlah imam ibn sa’d untuk itlaqkan kalimah thiqah dengan maksud ‘adl iaitu terselamat dari celaan pada ‘adalah. Mohon penerangan dari ustaz.

J: Kazzab boleh juga maksudnya banyak salah, dan boleh juga dijama’kan dengan maksud kazzab itu ialah kazzab mazhab dan pendapatnya dalam fiqh bukannya dalam periwayatan hadith. Maka dalam ini dia thiqah dalam hadith.

 

Komen dan Soalan