Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #12 | Ulum Hadith

Kelas #12 | Ulum Hadith

124
0
Iklan

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas manhaj baginda hingga kini. wa ba’d

Syukur kepada Allah yang telah memberikan kita rezqi untuk meneruskan kelas ulum hadith kita pada malam ini insyaAllah.

Dalam kelas yang lalu kita telah berbincang berkenaan al-Ittisal, bersambungnya sanad, yang merupakan syarat pertama bagi hadith Sahih.

InsyaAllah pada malam ini, kita akan meneruskan diskusi kita berkenaan al-Ittisal, ya betapa luasnya ilmu hadith! walaupun kita telah sampai kelas ke-12 namun kita masih berbicara akan syarat pertama hadith sahih!

Saya akan cuba habiskan topik al-Ittisal pada malam ini, namun saya tangguh bab Irsal dan Tadlis, dua bab ini termasuk bab al-Ittisal namun ianya akan kita bincang selepas kita kenal syarat kedua dan ketiga iaitu ‘adil dan dhabit.

Baik, kembali kepada bab al-Ittisal, pada kelas yang lalu kita telah melihat pelbagai kaedah bagi mengenal sama ada sanad itu bersambung atau putus. Lima kaedah telah kita lihat, iaitu:

  1. Melihat siyagh adaa.
  2. Melihat panjangnya perguruan serta mulazamah.
  3. Melihat buku jarh dan tadil.
  4. Melihat kalam para nuqaad sama ada fulan mendengar dari fulan atau tidak, tanpa mengira dalam apa juga buku, dalam atau luar buku jarh dan ta’dil.
  5. Melihat petunjuk lain, semisal tarikh lahir dan wafat, rehlah pengembaraan rawi itu mencari hadith dan sebagainya.

Seterusnya, malam ini kita akan melihat beberapa qarain (perunjuk kuat) bagi mentarjih (menguatkan) bahawa sanad itu putus.

 

Bab: qarain (petunjuk kuat) mentarjih bahawa sanad antara dua rawi itu terputus dan tidak bersambung serta kedua rawi itu tidak mendengar antara satu sama lain.

Beberapa qarain iaitu petunjuk kuat serta murajjihat iaitu petunjuk bagi menyimpulkan tarjih, bahawa perawi A tidak bertemu perawi B atau perawi A tidak mendengar dari perawi B, walau bertemu, serta hakikatnya periwayatan A dari B adalah putus serta tidak bersambung.

1- Berbeza tempat tinggal antara kedua rawi, kedua mereka tidak tinggal dalam bandar atau negeri yang sama, serta tiada bukti bahawa kedua mereka pernah pergi ke suatu bandar atau negeri yang sama. Maka ini menguatkan bahawa sanad itu putus.

2- Perawi A meriwayatkan hadith dari perawi B tanpa perantaraan, kemudian pada tempat yang lain dia meriwayatkan hadith yang sama dari perawi B tetapi dengan menyebut perantaraan (perawi C). Iaitu pada satu tempat perawi A berkata “dari B”, namun pada tempat yang lain perawi A berkata “dari C dari B”, dan ini untuk hadith yang sama. Para huffaz melihat hal ini sebagai petunjuk kuat bahawa perawi A dan B tidak mendengar antara satu sama lain dan mereka tidak pernah bertemu.

3- Perawi itu terkenal melakukan Irsal bagi sesebuah hadith dari sesebuah negeri, dan dia terkenal akan hal itu, maka ia petunjuk kuat bahawa hadithnya dari negeri itu kemungkinan besar adalah putus kerana Irsal. Kita akan berbincang bab Irsal ini lebih mendalam pada kelas akan datang, insyaAllah.

4- Perawi A banyak meriwayatkan hadith dari syaikh B, namun tiada satupun hadith-hadith itu pernah beliau riwayatkan dengan sighah sama’ (haddathana, akhbarani dan semisal), ini adalah petunjuk kuat bahawa parawi A tidak pernah bertemu B dan para huffaz beristidlal (berhujah) dengan hal ini bagi menunjukkan bahawa tiada sama’ antara mereka dan ia putus.

Baik, kita telah berbincang panjang berkenaan al-Ittisal, dan telah saya jelaskan bahawa al-Ittisal iaitu bersambungnya sanad adalah antara syarat utama hadith Sahih.

Soalan saya kepada anda semua, adakah semua riwayat yang munqathi’ (putus sanad) itu Dha’if?

Baik, katakan sanad A dari B, kedua mereka thiqah, tapi A tidak pernah mendengar dari B, hadith itu pasti Dhai’f? Sebab putus sanad kan? Ya atau tidak?

Jawabnya, al-Ittisal adalah syarat utama hadith Sahih, jika putus iaitu berlaku inqitha’ maka ia Dhaif kerana telah hilang syarat utama hadith Sahih. Namun ini adalah kaedah umum, ini adalah kaedah umum, di sana ada pengecualian.

Bila berlakunya pengecualian ini?

 

Bab: Bilakah hadith yang Munqathi’ (putus sanadnya) menjadi Sahih?

1- Apabila diketahui bahawa perawi itu tidak meriwayatkan melainkan dari orang yang thiqah saja. Maka sekiranya dia meriwayatkan dari seseorang yang dia tidak pernah bertemu, maka disebabkan diketahui bahawa dia hanya meriwayatkan dari orang yang thiqah, maka hadith itu Sahih.

Maksudnya rawi A berkata “dari B”, sedangkan diketahui bahawa A tidak pernah bertemu B! Maka sanad itu putus. Namun diketahui bahawa A tidak meriwayat melainkan dari yang thiqah saja, maka pasti antara A dan B itu ada perawi lain, perawi C, dan si C pasti thiqah!

Maka hadith itu Sahih. Walaupun zahirnya ia sepatutnya Dhaif sebab inqitha. Terutamanya ia adalah dari para aimmah kubar, misalnya al-Sya’bi rahimahullah.

Misalnya hadith berkenaan doa keluar dari rumah

(اللهم إن اعوذ بك أن أضل …).

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh al-Nasaie, Abu Daud dan lainnya dari jalur Mansur bin al-Mu’tamir dari al-Sya’bi dari Ummu Salamah.

Zahir hadith ini ia Dhaif, kerana diketahui bahawa al-Sya’bi tidak mendengar dari Ummu Salamah sebagaimana yang dijazamkan para huffaz semisal al-Imam ‘Ali ibn al-Madini.

Akan tetapi hadih ini Sahih, kerana diketahui bahawa al-Sya’bi tidak meriwayat melainkan dari mereka yang Thiqah saja, maka di antara al-Sya’bi dan Ummu Salamah ada perawi lain, walaupun kita tidak mengetahui siapa perawi itu, namun tiada masalah kerana dia thiqah. Maka hadith itu Sahih.

Faham contoh pertama ini?

Seterusnya, kedua.

2- Apabila perawi yang hilang atau dibuang dari sanad itu, kita tahu siapa dia, dan kita tahu dia thiqah. Misalnya riwayat Humaid al-Thawil dari Anas.

Sanad ini putus kerana Humaid al-Thawil mendengar dari Anas, tetapi diketahui dalam kebanyakan kes Humaid al-Thawil suka membuang Thabit al-Bunani dari sanadnya kepada Anas, terus Humaid sebut Anas dan membuang al-Bunani. Maka dalam kes ini manjadilah riwayat Humaid dari Anas itu Sahih, walaupun mereka tidak mendengar dan putus antara mereka berdua.

Sanad ini putus kerana Humaid al-Thawil tidak mendengar dari Anas, tetapi diketahui dalam kebanyakan kes Humaid al-Thawil suka membuang Thabit al-Bunani dari sanadnya kepada Anas, terus Humaid sebut Anas dan membuang al-Bunani, dan Thabit al-Bunani adalah Thiqah. Maka dalam kes ini menjadilah riwayat Humaid dari Anas itu Sahih, walaupun mereka tidak mendengar dan putus antara mereka berdua.

Faham contoh kedua ini?

Baik, seterusnya ketiga.

3- Periwayatan Abi Ubaidah bin ‘Abdullah bin Mas’ud dari ayahnya Ibn Mas’ud.

Sanad Abi Ubaidah dari ayahnya putus, kerana Abi Ubaidah tidak pernah mendengar hadith dari ayahnya, kerana ayahnya wafat ketika dia masih kecil.

Namun bukan semua riwayat Abi Ubaidah dari Ayahnya (Ibn Mas’ud) itu Dhaif kerana putus, ini kerana banyak hadith yang Abi Ubaidah riwayatkan dari Ayahnya (Ibn Mas’ud) beliau mengambilnya dari ahli keluarganya, dari adik-beradiknya yang pernah mendengar hadith dari ayah mereka. Maka walaupun Abi Ubaidah tidak mendengar dari Ayahnya, namun disebabkan dia mengambil hadith ayahnya itu dari ahli keluarganya maka ia Sahih, kerana ahli keluarganya mendengar dari ayah mereka.

Baik, satu lagi soalan saya. Sebagaimana yang telah kita bincang dalam kelas-kelas yang lalu. Secara asasnya Sahabat saja yang boleh berkata “Nabi berkata”.

Dr. Fathi: Baik, soalan saya, adakah semua riwayat Sahabat dari Nabi itu bersambung? Pasti bersambung? Atau ada juga yang putus.

Pelajar: Ada terputus..

Dr. Fathi:Kenapa?

Pelajar: Sahabat dapat dari sahabat lain

Dr. Fathi: Betul!

Para sahabat mereka meriwayatkan sesama mereka, bukan semua mereka berada dengan Nabi 24 jam sentiasa.
Maka ada Sahabat yang mengambil hadith dari Sahabat lain, dan mereka riwayatkan hadith itu kepada Tabi’i tanpa menyebut nama Sahabat yang dia mengambil hadith itu, seolah dia mendengarnya sendiri dari Nabi, sedangkan tidak.

Namun ia Sahih, kerana kita tahu perawi yang dihilangkan itu thiqah, kerana semua Sahabat adalah thiqah.
Ini satu lagi contoh sanad putus tapi Sahih.

Baik, soalan lagi. Adakah jika selain Sahabat berkata “Nabi berkata” maka ia pasti Dhaif? Atau boleh jadi Sahih? Oh ya, dan ia satu jalur saja, tiada jalur lain, saya sebut siap-siap sebab nanti mesti ada yang suka jawab “ada jalur lain”

Selain dari contoh ini, apa lagi contoh? Bukan kes tabiin riwayat dari sahabat tapi buang nama sahabat.

Jawapannya, jika seseorang itu dia kafir semasa Baginda SAW masih hidup, dan dia mendengar hadith dari Nabi SAW. Setelah Nabi wafat, maka dia mendapat hidayah kepada Islam.

Setelah dia Islam, maka dia pun meriwayatkan hadith dari Nabi yang dia sendiri mendengar dengan telinganya, namun waktu itu dia belum islam.

Dalam kes ini si fulan tidak dipanggil sahabat, kerana dia tidak beriman ketika Nabi hidup. Dia beriman selepas Nabi wafat, maka dia adalah tabi’i. Namun riwayatnya dari Nabi bersambung dan tidak putus.

Definisi Sahabat: hidup pada zaman Nabi, bertemu Nabi dan beriman dengannya serta wafat dalam keadaan beriman.

Baik, setakat ini saja diskusi berkenaan al-Ittisal yang ingin saya sampaikan, tinggal sedikit bab irsal dan tadlis yang kita akan bincang secara mendalam kemudian.

 

Komen dan Soalan