Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.05.03#220415: SAHIH LIZAATIHI (صحيح لذاته) Bhg. 02

02.05.03#220415: SAHIH LIZAATIHI (صحيح لذاته) Bhg. 02

361
0
Iklan

 

Nota 02.05.03 Pembahagian Hadits al-Maqbul (المقبول)

Susunan: BroSyarief

 

SAHIH LIZAATIHI (صحيح لذاته) Bhg. 02

Dari definisi yang telah disebutkan pada nota sebelum ini, kita boleh simpulkan bahawa secara umumnya terdapat 5 syarat utama untuk para ulama hadits menilai sesuatu hadits sebagai Sahih Lizaatihi.

 

01. Bersambungnya sanad. (اتصال السند), iaitu di mana setiap periwayat mengambil langsung dari periwayat di atasnya dalam keadaan bertemu dengan lafaz pengambilan yang juga jelas, dari awal sanad sehingga ke hujung sanad.

02. Kredibiliti Personaliti Periwayat (عدالة الرواة), iaitu periwayat-periwayatnya dikenal peribadi mereka dari sudut amal dan taqwa, sebagai (i) Muslim, (ii) Baligh, (iii) Berakal, (iv) Tidak fasiq (seperti meninggalkan solat jemaah, dll), dan (v) Tidak tercela maruahnya atau imejnya (makan dgn tangan kiri, menipu haiwan, dll).

03. Kredibiliti Intelek Periwayat (ضبط الراوي),  iaitu periwayat-periwayatnya dikenal kemampuan intelek mereka samada melalui hafalan atau penulisan. Hafalannya bagi perawi hadits sahih adalah sangat baik, sangat jarang tersilap. Tidak didapati apabila sampai di usia tertentu, dia menjadi nyanyuk atau kitab-kitabnya hilang dan terbakar.

04. Selamat dari Keraguan (سلامته من الشذوذ), iaitu tidak terlihat percanggahan dengan periwayatan lain yang mana periwayat-periwayatnya lebih kuat penilaian mereka.

05. Selamat dari Kecacatan yang Buruk (سللمته من العلة القادحة), iaitu kecacatan yang tersembunyi yang sukar dilihat kecuali oleh ulama hadits yang pakar dalam bidang ‘ilal.

 

Kesemua penilaian terhadap persyaratan di atas dilihat dari komentar para ulama hadits yang pakar dan sangat teliti, di dalam penulisan-penulisan berkaitan Tarikh al-Ruwat dan al-Jarh wat-Ta’dil yang telah dibincangkan secara umum dalam nota-nota sebelum ini.

 

Susunan Kedudukan Sahih Lizaatihi: 

01. Apa yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim, disebut Muttafaqun ‘alaihi, ini kedudukan tertinggi.

02. Apa yang disepakati oleh al-Bukhari sahaja.

03. Apa yang disepakati oleh Muslim sahaja.

04. Apa yang dinilai sahih di atas persyaratan al-Bukhari & Muslim, tapi tidak terdapat dalam kedua-dua Sahih.

05. Apa yang dinilai sahih di atas persyaratan al-Bukhari, tapi tidak terdapat dalam Sahih al-Bukhari.

06. Apa yang dinilai sahih di atas persyaratan Muslim, tapi tidak terdapat dalam Sahih Muslim.

07. Apa yang dinilai sahih di sisi ulama hadits yang hebat selain al-Bukhari & Muslim, dan tidak di atas persyaratan mereka (al-Bukhari & Muslim) atau salah seorang dari mereka, seperti penilaian yang dibuat oleh Ibn Hibban, Ibn Khuzaimah dan lain-lain.

 

WalLaahu a’lam

 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 

#BroSyariefShares 

Komen dan Soalan