شرح الديارية
لأحاديث الشمائل المحمدية
للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة
(المتوفي سنة 279 هجرية)
Syarhu d-Diyariyyah
Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah
Lil-Imam Abi `Isa Muhammad bin `Isa bin Sawrah
Hadis 18
18- حَدَّثَنَا أَبُو مُصْعَبٍ الْمَدَنِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا يُوسُفُ بْنُ الْمَاجِشُونِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَاصِمِ بْنِ عُمَرَ بْنِ قَتَادَةَ، عَنْ جَدَّتِهِ رُمَيْثَةَ، قَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَوْ أَشَاءُ أَنْ أُقَبِّلَ الْخَاتَمَ الَّذِي بَيْنَ كَتِفَيْهِ مِنْ قُرْبِهِ لَفَعَلْتُ، يَقُولُ لِسَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ يَوْمَ مَاتَ: «اهْتَزَّ لَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ».
18- Telah bercerita kepada kami Abu Mus`ab Al-Madaniy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Yusuf bin Al-Majisyun, daripada bapanya, daripada `Asim bin `Umar bin Qatadah, daripada neneknya Rumaysah, dia berkata: Saya telah mendengar Rasula Llah – dan kalau saya mahu untuk saya mencium cop yang terdapat di antara dua bahunya disebabkan dekatnya dia, pasti saya telah lakukan – dia berkata kepada Sa`d bin Mu`az pada hari dia mati: «Telah bergegar baginya `Arasy Ar-Rahman».
Syarah Adou_Fr:
Rawi hadis ini, Abu Mus`ab, menggunakan nisbah (الْمَدَنِيُّ) Al-Madaniy. Sesetengah teks menggunakan lafaz (الْمَدِينِيُّ) Al-Madiniy. Terdapat pelbagai tafsiran bagi penggunaan Al-Madaniy dan Al-Madiniy. Satu merujuk kepada Taybah, iaitu Al-Madinah Al-Munawwarah (Madaniy), dan satu merujuk kepada bandar Al-Mansur iaitu Baghdad (Madiniy). Justeru, pengguna Al-Madiniy bagi Abu Mus`ab adalah tidak tepat kerana dia berasal dari Al-Madinah Al-Munawwarah.
Walau bagaimanapun, menurut Imam Al-Bukhariy, Al-Madiniy ialah seseorang yang tinggal di Taybah iaitu Al-Madinah Al-Munawwarah. Al-Madaniy ialah seseorang yang tinggal di Taybah, kemudian dia meninggalkannya. Justeru, penggunaan Al-Madaniy bagi Abu Mus`ab adalah sesuai kerana dia telah berhijrah setelah itu.
Penggunaan nisbah ini, pasti menimbulkan kekeliruan sama ada Al-Madaniy atau Al-Madiniy. Sungguhpun demikian, yang benar ialah pemahaman daripada nisbah yang digunakan, iaitu Abu Mus`ab ini berasal dari Al-Madinah Al-Munawwarah, kemudian dia telah berhijrah keluar. Justeru, mana-mana nisbah yang digunakan tidak menjadi masalah apabila ia difahami dengan benar.
Hadis ini menyebut tentang seorang sahabiy daripada suku Aws yang apabila dia mati pada tahun 5 Hijrah, `Arasy Tuhan bergegar disebabkan kematiannya. Begitulah kemuliaan seseorang yang mati disebabkan teguhnya dia berpegang dengan iman mengatasi kehendak dan keredhaan manusia. Bahkan suku Aws berbangga dengan Sa`d bin Mu`az yang dimuliakan Ar-Rahman, sehingga `Arasy-Nya bergegar.
Nabi menyebut hadis ini ketika janazah Sa`d bin Mu`az berada di hadapan Nabi dan para sahabat. Justeru, Rumaysah, rawiyah hadis ini menyebut bahawa Nabi berkata kepada Sa`d bin Mu`az, iaitu kepada mayatnya, pada hari ia mati, disebabkan kematiannya adalah peristiwa yang besar, maka Nabi telah bergegas menziarahinya.
Hadis ini sangat menarik untuk kita hayati dan renungi, apabila Rumaysah menyebut “dan jika saya mahu untuk mencium cop”. Dapatlah diketahuï bahawa para sahabat tidak mencari berkat dengan cara yang dicari oleh umat pada zaman ini. Andai ada umat kita pada zaman ini berada pada situasi Rumaysah, kita pasti dapat membayangkan bahawa mereka sudah tentu akan mencium cop di belakang badan Nabi tersebut, dan mereka akan memberikan alasan: untuk mendapatkan keberkatan!
Namun, Rumaysah, yang sudah ada peluang itu, tidak mengambil peluang itu, dan hal itu tidak menjadi penyesalan kepadanya. Ini membatalkan konsep “berkat” yang difahami oleh ramai orang awam, apabila mereka menyangka apa-apa yang bersangkut dengan Nabi, akan memberikan “berkat”. Justeru, ramailah orang yang mengambil barang-barang yang didakwa sebagai peninggalan Nabi, dan mereka bertabarruk (mengambil berkat) dengan barang-barang itu, malah sanggup membayar dengan harga yang mahal.
Tidak kurang juga ada segolongan yang mengambil sesuatu daripada peninggalan Nabi, seperti rambut Nabi, atau tanah kubur Nabi, atau yang diambil contoh dan dihasilkan semula dengan banyak, seperti cop yang disebut dalam hadis ini, atau selipar Nabi, lalu dijadikan sebagai bahan bertabarruk. Ketahuïlah bahawa semua ini bukanlah amalan para sahabat, dan bukan pula untuk dikomersilkan atau mendapatkan keuntungan. Peninggalan Nabi bukanlah pada rambutnya, atau pada seliparnya, atau pada cop di belakang badannya, tetapi peninggalan Nabi yang sebenar ialah agama Islam yang diredhaï Allah.
Lihatlah dalam hadis ini bahawa Rumaysah tidak pun menyesal tidak mencium cop di antara dua bahu Nabi itu, dan ini menunjukkan bahawa sahabiyah tersebut tidak memandang mencium itu sebagai suatu keberkatan! Dan lebih patut difikirkan, jika daging pada tubuh Nabi itu pun tidak diambil berkat oleh Rumaysah, maka adakah jiwa yang berakal akan mengambil keberkatan dengan mencium benda-benda yang bukanlah jasad Nabi, sama ada selipar, pedang, atau barang-barang yang diraguï kebenarannya atau ketulenannya?
Masyarakat hendaklah disedarkan daripada lena, dan daripada penipuan sesetengah pihak yang menjual agama, kerana Tuhan tidak mendapat faedah daripada hasil jualan itu, begitu juga Nabi tidak mendapat bahagian daripada hasil jualan tersebut. Yang kenyang dengan keuntungan jualan ialah diri penjual itu sendiri, sedangkan apa yang dijual itu bukanlah sesuatu yang datang daripada agama Allah! Berhati-hatilah dengan penjual-penjual agama ini, kerana jika mereka benar-benar ta`at kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka pasti akan kembali kepada ajaran Nabi yang sebenar, supaya hidup mereka diberkati, bukan mencari-cari sumber keberkatan pada perkara-perkara yang tidak dapat memberikan manfa`at atau mudharat, yang tidak pun disuruh oleh Nabi.
Hadis ini menyebut bahawa Rumaysah tidak mencium cop di belakang Nabi, dan dia tidak pula menyesal. Maka siapakah kita yang tiba-tiba datang dan menyuruh mencium replika atau rajah cop Nabi? Bahkan siapakah kita yang tiba-tiba sanggup melanggar kata-kata Nabi yang melarang membuat tangkal? Siapakah pula kita yang tiba-tiba menyuruh manusia meminta hajat kepada benda-benda jumud seperti ini? Tidakkah Islam datang dan menyuruh manusia mentawhidkan permintaan hajat hanya kepada Allah yang berkuasa?
Dan membaca hadis ini, ia menerangkan tentang sahabiy bernama Sa`d bin Mu`az, sehingga bergegar `Arasy Tuhan mahu menerima kedatangan ruhnya, dan para mala’ikat bergembira menyambut kematiannya. Tidak pula para sahabat yang dimuliakan Tuhan seperti ini melakukan apa yang dilakukan oleh umat Islam sekarang, yang mengejar “keberkatan” yang batil dan palsu. Sa`d bin Mu`az dimuliakan bukan kerana “keberkatan” tetapi kerana tingginya iman dan pegangannya terhadap ajaran Al-Qur’an dan sunnah Nabi Muhammad.
Maka wajarlah kita menilai, seorang sahabiy yang sudah dijamin kemuliaannya – seperti dalam hadis ini –, adakah kita mahu menurut amalan dan jejak langkahnya? Atau kita lebih suka menurut amalan dan jejak langkah manusia, yang walaupun berwajahkan agama tetapi, yang mereka lakukan adalah bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi? Yang mereka itu belum tentu pun kakinya akan melangkah ke syurga atau ke neraka!
ترجمة وشرح باللغة الماليزية
Terjemahan dan Syarah oleh
محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري
ADÖULINÉ Lacharouphe
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin