Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Q&A Bersama Dr. Fathi Al-Sakandary Siri #6

Q&A Bersama Dr. Fathi Al-Sakandary Siri #6

825
0
Iklan

S57: Apakah status hadith Barakah (pembantu Ummu Salamah dan Ummu Aiman yg minum air kencing nabi?
ِ
J57: Ianya hadith Dha’if bahkan tiada satupun hadith yang Sahih dalam bab ini. Hadith Barakah Umm
Yusuf meminum air urin Nabi datang dari jalur Ibn Juraij dari Hukaimah bint Umaimah dari Ibunya, ianya
adalah hadith Dha’if. Baginya beberapa penyakit:

  1. Jahalahnya Hukaimah, berkata al-Zahabi tentangnya “معروفة رٌغ – tidak dikenali” (Mizan al-‘Itidal, 1/587)
  2. Matan hadith baginya ittirab dengan ittirab yang berat.

Ketahuilah bahawa urin Nabi SAW adalah seperti urin manusia lainnya dan baginya hukum najis yang sama, ini kerana telah thabit Sahih bahawa Nabi SAW melakukan istinja’ selepas membuang urin, ini menunjukkan ia najis. Tidak Sahih walaupun dari seorang Sahabat bahawa mereka meminum air urin Nabi SAW, dan tiada yang Sahih dalam ini walaupun satu. Allah Maha Mengetahui. Nota: air urin = air kencing, english : urine

 

S58: Apakah status hadis ini: Rasulullah SAW bersabda:Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia maka tubuhnya tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para Malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (HR Qurthuby).

J58: Hadith Palsu, mengi’lalkan hadith ini oleh al-Qurtubi sendiri apabila dia berkata. Ianya Gharib. Isnad hadith ini baginya beberapa penyakit; Nasr bin Hammad seorang pendusta hadith, sebagaimana kata al-Imam Ibn Ma’in dan lainnya. Bersama-sama itu, Nasr juga tafarrud bagi hadith ini. Ini qarain menguatkan bahawa ia palsu. Matannya bercirikan hadith Palsu, ini qarain menguatkan palsunya ia. Jahalahnya Malik bin Abdullah al-Azdi serta al-‘Abbas al-Qurasyi. Allah Maha Mengetahui.

 

S59: Sabda Nabi SAW : Barangsiapa mendengar ia akan bang maka mengucup ia akan dua ibu tangannya maka menghantar ia yakni akan keduanya atas 2 matanya dan berkata ia ‘‘Marhaban bizikrillahi ta’ala qurrotu a’yunina bika ya Rosulallah’’ maka akulah yang mensyafa’atkan akan dia pada Hari Qiamat dan yang menolong akan dia kepada syurga (faedah). Ada yang menyatakan hadis diatas daif dan diamalkan dalam fadhil a’ mal.. mashyur dalam kitab thurah jawi. Saya juga selalu nampak beberapa orang di tempat saya mengamalkan amalan ni. Soalan saya adakah benar ia daif ?

J59: Munkar, tiada yang Sahih dalam bab. Allah Maha Mengetahui

 

S60: Mohon pencerahan status hadis ni. (حسن الظن من حسن العبادة) Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi saw, beliau bersabda “Baik sangka itu termasuk baiknya ibadah”

J60: Hadith Dhaif, dikeluarkan antaranya oleh Ahmad dan lafaz dalam soalan adalah lafaz Ahmad, juga dikeluarkan al-Tirmizi dengan lafaz “bersangka baik dengan Allah…”, hadith diDha’ifkan oleh al-Tirmizi sendiri dengan katanya “Gharib”, juga oleh al-Daraquthni dalam al-‘Ilal. Hadith ini walaupun Dhaif isnadnya, namun intipati maknanya benar. Allah Maha Mengetahui.

 

S61: Bagaimana berinteraksi dengan kisah gharib dalam kitab tarajim seperti tazkiratul huffaz, hilyatul awlia dan lain-lain?

J61: Semak kesahihannya, dan melihat penjelasan ulama baginya. Allah Maha Mengetahui.

 

S62: Apakah panduan beramal hadits-hadits dhaif yg meriwayatkan doa?

J62: Boleh beramal dengan hadith-hadith Dha’if berkait doa, perlu diketahui bahawa manhaj para huffaz salaf dalam berinteraksi dengan hadith-hadith doa secara khusus ialah: hadith-hadith doa walaupun ia tidak thabit dari segi naqal, iaitu samada ia dha`if khafif, atau dha`if jiddan, atau maudhu’ (palsu) sekalipun, hukum beramal dengannya adalah mubah (dibolehkan), selagimana isi kandungan doa itu tidak bertentangan dengan asas-asas umum agama, dengan syarat tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW. Al-Imam Ibn Khuzaimah (311H) dalam kitab beliau Mukhtasarul Mukhtasar, dalam bab al-Manasik, telah menerangkan kecacatan (‘illah) satu hadith yang mengandungi doa. Namun , sejurus selepas itu beliau berkata hadith doa ini sekalipun tidak ‘thabit’ dari segi naqal (iaitu rantaian periwayatan samada dhaif khafif, atau dhaif jiddan, atau maudhu’ (palsu) sekalipun) namun ia mubah (boleh) diamalkan. Isyarat yang sama dinyatakan oleh Imam al-Baihaqi, Imam `Abdulrahman ibn Mahdi dan lain-lain. Antara sebab bolehnya beramal dengan hadith-hadith doa yang dha`if ini ialah kerana lafaz doa adalah bersifat bebas dan tidak terikat sepertimana lafaz zikir yang ma’thur dari Nabi SAW. Maka berdoa dengan menggunakan lafaz hadith-hadith doa yang dha`if adalah lebih utama daripada menggunakan lafaz doa yang bersifat bebas, bahkan tanpa sanad langsung.

Walaubagaimanapun, sekiranya dalam sesuatu perkara itu telah mempunyai hadith doa yang sahih, maka beramal dengan hadith doa yang sahih itu sudah tentu lebih utama daripada beramal dengan hadith doa yang dha`if atau palsu. Hal ini berbeza dengan hadith-hadith dalam fadha`il `amal yang lain (selain daripada jenis doa) dimana syaratnya agak ketat sedikit berbandiang hadith-hadith doa, iaitu ia boleh diamalkan dengan beberapa syarat antaranya ia bukan hadith yang dha`if jiddan, tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW. Allah Maha Mengetahui.

 

S63: Berkenaan hadis “tuntut ilmu ke negeri china”.. telah saya baca di blog Dr Fathi.. cuma ingin tahu adakah ada pendapat lain mengenai hadis ini ?

J63: Ianya hadith Batil. Sebahagian silap menilainya Hasan, dan telah saya bantah hujah mereka yang cuba menguatkan hadith ini dalam risalah saya bertajuk “Penjelasan Status Hadith: Anjuran menuntut ilmu ke negara Cina”. Allah Maha Mengetahui.

 

S64: adakah hadis sahih yang menceritakan kelebihan (menyentuh/melihat/apa2 sahaja yg berkaitan) kaabah?

J64: Terdapat riwayat yang menyatakan melihat ka’bah adalah ibadah, namun tiada satupun hadith marfu’ yang Sahih dalam bab. Namun ada athar, Ahmad bin Hanbal menyatakan melihat baitullah adalah ibadah, yang dimaksudkan di sini ialah bukan semata-mata melihat itu menjadi ibadah, dan tidaklah boleh seseorang beribadah dengan melihat ka’bah, kerana ibadah memerlukan dalil Sahih, yang dimaksudkan oleh Ahmad bin Hanbal dengan ungkapannya itu ialah secara sastera, iaitu jika seseorang melihat ka’bah sambil mengingat kebesaran Allah, dan sambil berdoa atau berzikir yang disyariatkan, maka baginya pahala. Allah Maha Mengetahui.

 

S65: adakah ada mana-mana hadis sahih yang menceritakan berzikir sambil menari ?

J65: Tiada yang Sahih. Terdapat satu riwayat yang suka digunakan para sufi, seingat saya dalam Musnad al-Imam Ahmad, dan ianya adalah hadith Munkar. Allah Maha Mengetahui.

 

Komen dan Soalan