Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #8 | Ulum Hadith

Kelas #8 | Ulum Hadith

379
0
Iklan

Bismillah, Alhamdulillah, wa ba’d.

InsyaAllah hari ini kita akan menyambung kelas ulum hadith kita. Pada minggu lepas kita telah berbincang berkenaan syarat pertama hadith Sahih iaitu al-Ittisal, dan kita telah melihat serba sedikit berkenaan al-tahammul wa al-Adaa, dan jenis-jenisnya.

Baik, apakah tujuan mengetahui dan memahami al-Tahammul dan al-Adaa ini?

  • Pertama: mengetahui dan mengenalpasti cara perawi mengambil hadith dari gurunya, sebagaimana yang telah kita bincangkan pada minggu lepas.
  • Kedua: sebagai indikasi awal mengenal sama ada sanad itu bersambung (mausul) atau putus (munqathi’). Kita dapat mengenal secara awal sama ada sesuatu sanad itu bersambung atau putus dengan melihat siyagh al-adaa (sebutan al-adaa). Siyagh al-Adaa seseorang rawi secara umumnya terbahagi kepada dua jenis: Pertama: al-siyagh al-sarihah iaitu siyagh al-adaa yang jelas menunjukkan sanad hadith bersambung. Kedua: siyagh ghair sarihah, iaitu siyagh al-adaa yang mungkin bersambung atau tidak.

Baik, kita akan berbincang jenis yang pertama dahulu insyaAllah, iaitu al-siyagh al-sarihah. Al-Siyagh al-Sarihah ialah cara sebutan perawi ketika meriwayatkan hadith dengan cara sebutan yang jelas menunjukkan sanad hadith itu bersambung, iaitu dia mendengar dari gurunya.

Misal seseorang rawi berkata: “sami’tu fulanan yaqul – aku mendengar fulan berkata” atau “haddathana fulan – telah menceritakan kami fulan” atau “akhbarana fulan – telah mengkhabarkan kami fulan” atau “haddathani fulan telah menceritakanku fulan” atau “ra-ay-tu fulanan fa qala kaza – daku melihat fulan dia berkata sekian sekian” dan lainnya ibarat yang semisal.

Contohnya kita ambil satu hadith dalam al-Jami’ al-Bukhari,

Qala al-Bukhari qala haddathana al-Humaidi ‘Abdullah bin al-Zubair qala haddathana Sufyan qala haddathana Yahya bin Said al-Ansari qala akhbarani Muhammad bin Ibrahim al-Taimi annahu sami’a ‘Alqamah bin Waqqas al-Laithi yaqul qala sami’tu ‘Umar bin al-Khattab ‘ala al-Mimbar qala sami’tu Rasul SAW yaqul: “Innamal ‘amali binniyat …”

Terjemahan: Berkata al-Bukhari berkata telah menceritakan kami al-Humaidi ‘Abdullah bin al-Zubair berkata telah menceritakan kami Sufyan berkata telah menceritakan kami Yahya bin Said al-Ansari berkata telah mengkhabarkan kami Muhammad bin Ibrahim al-Taimi bahawa dia mendengar ‘Alqamah bin Waqqas al-Laithi berkata, berkata dalu mendengar ‘Umar bin al-Khattab di atas mimbar, berkata daku mendengar Rasul SAW berkata: “Setiap amal adalah dengan niat…”

Perhatikan sanad hadith ini, semuanya menyebut haddathana atau akhbarana atau sami’tu atau sami’a, kesemua ini adalah cara sebutan rawi (siyagh al-adaa) yang sarih (jelas) menunjukkan perawi mendengar dari gurunya, maka sanad ini bersambung, bersambung.

Satu perkara, jika kita melihat kitab al-Bukhari, al-Bukhari menulis “haddathana al-Humaidi haddathana Sufyan” dan seterusnya, tapi tapi saya menyebut “qala haddathana al-Humaidi qala haddathana Sufyan..”. Ini adalah cara menyebut sanad, cara menyebut sanad, setiap haddathana atau akhbarana semisal perlulah dimulakan dengan qala ketika kita menyebutnya, namun ini tidak ditulis, tidak ditulis. Apabila kita hendak membaca sanad, dalam kitab ditulis “haddathana fulan”, tapi mulut kita perlu sebut “qala haddathana fulan”. Ini adalah adab dan tatacara ahli hadith zaman berzaman meriwayat hadith, perkara sebegini tiada disebut dalam buku, tiada disebut dalam buku. Saya mengetahuinya ketika belajar talaqqi bersama guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary. Bahkan jika kami terlupa sebut qala, kami akan dimarahi syaikh al-Alfy, sebab telah salah menyebut sanad.

Baik, berbalik kepada siyagh al-adaa tadi, Siyagh al-adaa yang sarih seperti haddathana atau akhbarana atau sami’tu dan semisal seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, ia menunjukkan sanad itu bersambung, namun ia bukanlah mutlak, bukanlah mutlak. Sebaliknya ia adalah gambaran awal, bahawa ia bersambung. Apabila seseorang pengkaji hadith mengkaji status sesuatu hadith, dan dia melihat sanad hadith itu menyebut siyagh adaa secara sarih, maka penilaian awal pengkaji itu ialah: sanad hadith itu bersambung. Maka hukuman awal pengkaji hadith itu bagi sanad itu ialah: ia bersambung.

Perlu diketahui, semata-mata dengan siyagh al-adaa yang sarih menunjukkan bersambung tidak mencukupi untuk betul-betul memastikan bahawa ia bersambung, namun ia sebagai indikasi awal atau hukuman awal secara zahir saja. Sekiranya seseorang pengkaji itu melihat dengan lebih lanjut, penilaiannya mungkin berubah apabila jelas padanya bahawa sanad hadith itu sebenarnya putus tidak bersambung.

Kenapa?

Kenapa kita tidak boleh bergantung secara muktamad dengan siyagh al-adaa yang sarih bagi menentukan sanad itu bersambung atau putus? Bukankah perawi itu jelas menyebut “aku mendengar fulan berkata”, tidakkah dia mendengar? Dan apabila mendengar maka ia bersambung?

Kenapa?

Ini kerana, wujud beberapa situasi di mana siyagh al-adaa adalah sarih (jelas) menunjukkan bersambung, namun sanad hadith itu sebenarnya putus, sebenarnya putus.

Iaitu:

  • Pertama: perawi itu berdusta! Terdapat tidak sedikit perawi hadith daripada kalangan pendusta (al-kazibin) mendakwa bahawa dia mendengar dari fulan dan fulan, dan apabila dia meriwayatkan hadith maka dia menyebut siyagh al-adaa secara sarih, sedangkan dia tidak mendengar pun, sebaliknya dia berdusta! Bahkan wujud pengakuan mereka sendiri, bahawa mereka berdusta.
  • Kedua: sebahagian perawi menggunakan siyagh al-adaa yang seolah menunjukkan dia mendengar, sedangkan bukan itu yang dia maksudnya. Misalnya, mereka menyebut “khatabana fulan – telah berucap kepada kami akan fulan” atau “ja-a-na fulan – telah datang fulan kepada kami” atau “haddathana fulan – telah menceritakan kami fulan”, mereka menggunakan cara sebutan ini sebagai maksud fulan telah berkata kepada kaum mereka atau penduduk negara mereka. Cara sebegini banyak dalam kalangan perawi dari Mesir. Ianya sama seperti yang kita biasa sebut pada zaman moden ini, misalnya kita berkata “Barrack Obama telah datang melawat kami”. Atau “Raja Faisal telah datang kepada kami”. Sedangkan Barrack Obama atau Raja Faisal hanya datang melawat negara Malaysia!
  • Ketiga: kesilapan perawi. Tidak sedikit kes di mana riwayat itu bukanlah datang dengan siyagh yang sarih, namun perawi telah silap menyebut ia sebagai siyagh sarih. Dia terkeliru, dan tersilap. Berkata Ibn Rajab al-Hanbali “kebanyakan apa yang diinginkan dengan tasrih (siyagh adaa sarih) adalah sama’ (mendengar, bersambung sanad), namun ia juga boleh jadi satu kesilapan (iaitu perawi silap), al-Imam Ahmad ada mengingkari memasukkan tahdis (iaitu siyagh al-adaa yang sarih) dalam banyak sanad-sanad, katanya “ini silap! Iaitu menyebut lafaz sama’ (siyagh al-adaa sarih, tahdis)”. Saya ada menjelaskan hal ini secara rinci dalam buku saya “Hadith-hadith fadhilat pengkhususan surah al-Kahfi pada hari Jumaat: satu kajian terperinci”, halaman 51 hingga 57, ketika menjelaskan berkenaan periwayatan Husyaim. Seterusnya,
  • Keempat: kesilapan pada manuskrip. Perlu diketahui setiap buku para ulama terdahulu yang sampai kepada kita adalah berbentuk manuskrip tulisan tangan. Bagi sesebuah kitab, biasanya terdapat banyak manuskrip yang ditulis oleh mereka yang berbeza-beza, dan terdapat manuskrip yang silap, riwayat yang sepatutnya tiada siyagh sarih tetapi ditulis dengan siyagh sarih.
  • Kelima: kesilapan cetakan. Tidak sedikit buku-buku yang tersilap cetak, dalam edisi bercetak ditulis siyagh sarih, sedangkan dalam manuskrip asal tiadapun begitu. Bagi mengelakkan kesilapan keempat dan kelima ini, maka wajib kita membaca buku-buku dengan tahqiq yang bagus. Tahqiq, ialah proses membandingkan tulisan dalam manuskrip-manuskrip yang berbeza-beza bagi sesebuah buku, dibandingkan dan dikenalpasti apa yang silap dan apa yang betul, kemudian menulis semula tulisan tangan itu dengan tulisan komputer, untuk dicetak. Itu proses tahqiq. Seorang pentahqiq yang mentahqiq sesebuah buku, tidak diwajibkan mengkaji status hadith itu dan tidak diwajibkan menyatakan statusnya. Perlu dibezakan antara tahqiq manuskrip dengan penilaian hadith. Siyagh al-adaa yang sarih ini disebut juga sighah tahdis.

Seterusnya ialah siyagh al-adaa yang tidak jelas menunjukkan bersbung, ia mungkin bersambung dan mungkin putus. Disebut juga sebagai siyagh muhtamalah, atau ghair tahdis. Antara contohnya yang masyhur ialah seseorang rawi berkata: ” ‘an fulan – dari fulan”. Iaitu perawi berkata “haddathana fulan ‘an fulan – telah menceritakan kami fulan dari fulan”. Misalnya berkata Yahya bin Said al-Qatthan “haddathana Syu’bah ‘an qatadah”. Perlu diketahui perkataan (‘an – dari) ini bukanlah sebutan perawi sebelumnya, tetapi sebelum-sebelum nya. Misalnya sanad menyebut “qala haddathana al-Qatthan qala haddathana syu’bah ‘an Qatadah”. Perkataan ‘an itu bukanlah kata-kata Syu’bah, tetapi kata-kata al-Qatthan ataupun di bawah al-Qatthan.

InsyaAllah kita akan berbincang berkenaan ‘an ini dengan lebih rinci pada kelas seterusnya. Satu perkata yang ingin saya sebutkan, perlu dibezakan antara periwayatan seseorang rawi dari seseorang individu (gurunya), dengan periwayatan seseorang rawi akan kisah atau cerita.

Contoh, berkata seorang tabi’i katanya: “telah masuk Ibn Abbas bertemu fulan dan berkata sekian-sekian”. Adakah sanad hadith ini bersambung atau tidak? Jika dilihat secara tidak teliti, ia mungkin dianggap bersambung kerana seorang tabi’in meriwayat dari seorang sahabat. Namun ia sebenarnya putus! Kerana apa? Kerana ia adalah riwayat kisah saja, iaitu tabi’i itu berkata “ibn abbas telah masuk berjumpa fulan”, dia tidak berkata aku melihat ibn abbas masuk berjumpa fulan.

Sama juga apabila seorang tabi’i berkata “telah mengkhabarkan kami dari kalangan ansar”. Adakah ia bersambung? Tidak. Kerana ansar ini bukan hanya merujuk para sahabat dari kalangan ansar, namun ia merujuk semua anak-cucu dan keturunan ansar, bukan mesti sahabat.

 

Komen dan Soalan