شرح الديارية
لأحاديث الشمائل المحمدية
للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة
(المتوفي سنة 279 هجرية)
Syarhu d-Diyariyyah
Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah
Lil-Imam Abi `Isa Muhammad bin `Isa bin Sawrah
Hadis 14
14- حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ وَمُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، الْمَعْنَى وَاحِدٌ، قَالَا: أَخْبَرَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ، عَنْ سَعِيدٍ الْجُرَيْرِيِّ، قَالَ: سَمِعْتُ أَبَا الطُّفَيْلِ، يَقُولُ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَا بَقِيَ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ أَحَدٌ رَآهُ غَيْرِي، قُلْتُ: صِفْهُ لِي، قَالَ: كَانَ أَبْيَضَ مَلِيحًا مُقَصَّدًا.
14- Telah bercerita kepada kami Sufyan bin Waki` dan Muhammad bin Basysyar, maksudnya sama, mereka berdua berkata: Telah memberitahu kami Yazid bin Harun, daripada Sa`id Al-Jurayriy, dia berkata: Saya telah mendengar Aba t-Tufayl, dia berkata: Saya telah melihat Nabi, dan tidak tinggal di atas muka bumi seorang pun yang telah melihatnya selain saya. Saya telah berkata: Sifatkan dia kepada saya. Dia berkata: Dia putih, elok, sedang.
Syarah Adou_Fr:
Imam At-Tirmizi meriwayatkan hadis ini daripada dua orang iaitu Sufyan bin Waki` dan Muhammad bin Basysyar. Imam At-Tirmizi menyebut (الْمَعْنَى وَاحِدٌ) maksudnya sama, untuk menunjukkan lafaz yang digunakan oleh kedua-dua perawi tersebut adalah tidak sama, tetapi maksud yang ingin disampaikan adalah sama. Justeru, ini ialah isyarat bahawa boleh menggabungkan dua hadis menjadi satu jika maknanya sama.
Abu t-Tufayl ialah (عَامِرُ بْنِ وَاثِلَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْكِنَانِيُّ) `Amir bin Wasilah bin `Abdi Llah Al-Kinaniy iaitu sahabat yang terakhir sekali mati. Imam Muslim menyebut dalam Al-Kuna Wal-Asma’: (لَهُ صُحْبَةٌ) dia mempunyaï taraf sahabat, walaupun Imam Al-`Ajliy menyebut dalam As-Siqat:
عَامِرُ بْنِ وَاثِلَةَ أَبُو الطُّفَيْلِ، مَكِّيٌّ، ثِقَةٌ، نَزَلَ الْكُوفَةَ مَعَ عَلِيٍّ، وَكَانَ مِنْ كِبَارِ التَّابِعِينَ، وَقَدْ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، سَمِعَ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ، يَعْنِي بْنِ مَسْعُودٍ
`Amir bin Wasilah Abu t-Tufayl, penduduk Makkah, siqah, tinggal di Kufah bersama `Aliy, dan dia adalah dari kalangan kibar tabi`in, dan sesungguhnya dia telah melihat Nabi. Dia mendengar daripada `Abdi Llah – iaitu Ibni Mas`ud.
Imam Muslim menyebut dalam Sahihnya: Abu t-Tufayl mati pada tahun seratus, dan dia ialah yang terakhir yang mati daripada sahabat Rasuli Llah. Ibnu Hibban menyebut dalam As-Siqat: Dia mati di Makkah pada tahun seratus tujuh. Imam Al-Bukhariy meriwayatkan dalam Tarikh Al-Awsat, katanya:
حَدَّثَنَا مُوسَى، قَالَ: حَدَّثَنَا مُبَارَكٌ، عَنْ كَثِيرِ بْنِ أَعْيُنٍ، قَالَ: أَخْبَرَنِي أَبُو الطُّفَيْلِ عَامِرِ بْنِ وَاثِلَةَ بِمَكَّةَ سَنَة سَبْعَة وَمِائَة
Telah bercerita kepada kami Musa, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Mubarak, daripada Kasir bin A`yun, dia berkata: Telah memberitahu kami Abu t-Tufayl `Amir bin Wasilah di Makkah pada tahun seratus dan tujuh.
Di dalam Tarikh Al-Awsat juga dirakamkan kata-kata Abu t-Tufayl iaitu:
أَدْرَكْتُ ثَمَانِ سِنِينَ مِنْ حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَوُلِدْتُ عَامَ أُحُدٍ
Saya telah sempat selama lapan tahun daripada hidup Nabi, dan saya telah dilahirkan pada tahun Uhud.
Justeru, hadis ini menjelaskan kata-kata Abi t-Tufayl di penghujung hayatnya, ketika semua sahabat sudah mati. Sa`id Al-Jurayriy yang mendengar kata-kata Aba t-Tufayl pun meminta agar Abu t-Tufayl menjelaskan sifat Nabi kepadanya.
Kata Abu t-Tufayl: (كَانَ أَبْيَضَ مَلِيحًا مُقَصَّدًا) Dia putih, elok, sedang. Sangat pendek dan ringkas huraian Abi t-Tufayl tentang Nabi yang dilihatnya ketika dia masih kanak-kanak, ketika dia masih berumur tidak lebih lapan tahun. Putih dalam hadis ini adalah seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, iaitu berkulit cerah. Elok iaitu elok atau cantik rupa paras Nabi, dan sedang iaitu pertengahan pada tinggi rendahnya dan kurus gemuknya.
Hadis ini sangat indah, kerana perkataan seorang budak yang berusia tidak lebih lapan tahun diambil kira dan dijadikan sebagai pegangan, semata-mata kerana dia telah melihat Rasula Llah. Ini menunjukkan kemuliaan Rasuli Llah, dan sesiapa yang mempunyaï kaitan dengan Nabi akan menjadi mulia. Maka rugilah orang-orang yang meninggalkan ajaran Nabi, atau apa-apa yang disuruh dan yang digalakkan oleh Nabi. Dan celakalah orang-orang yang perbuatannya mencanggahi ajaran Nabi, atau hidupnya, atau kelakukannya. Sangat malang pula orang-orang yang menambah dan mereka apa-apa yang tidak dilakukan Nabi, atau yang menipu atas nama Nabi – walaupun niatnya untuk kebaikan – kerana segala-gala yang datang berkenaan Nabi sudah sempurna sebagai manusia pilihan, tanpa perlu kepada sebarang penambahan atau rekayasa.
Lihat juga bagaimana seorang budak yang usianya tidak lebih lapan tahun, kata-katanya didengar, dan ilmunya diambil. Ia peringatan yang sangat besar kepada ibu bapa, agar tidak menjadikan anak-anak mereka bodoh dalam tubuh yang membesar, sebaliknya ibu bapa seharusnya menjadikan anak-anak mereka bijak pandai dan mempunyaï kelebihan, walaupun tubuhnya masih kecil.
Perhatikan kanak-kanak yang lebih kurang sama usianya, bagaimanakah keadaan mereka? Adakah mereka sudah dilatih dengan Al-Qur’an, dan hadis, dan ilmu? Atau mereka dilekakan dengan aiskrim dan gula-gula, dengan kartun dan permainan? Ramai antara kita telah tersilap dalam didikan kita terhadap generasi baru kita, kerana kita menganggap mereka “masih kecil”. Anggapan bahawa mereka “masih kecil” menyebabkan kanak-kanak itu menjadi manusia yang cacat – dalam ilmu, dalam kemahiran, dalam kehidupan – sehingga mereka tidak boleh berdikari dan menjadi diri mereka sendiri. Sedangkan para sahabat dan manusia pada zaman Nabi, mereka melatih anak-anak mereka dengan ilmu peperangan, ilmu gembalaan dan ilmu perniagaan!
Di manakah kanak-kanak kita, yang baru mahu mengenal alif ba ta, yang baru merangkak dengan buku Iqra’, sedangkan dalam usia sebaya, para salafu s-salih sudah bersalat malam dan menghafaz Al-Qur’an keseluruhannya! Tidakkah kita telah tersilap dalam didikan untuk anak-anak kita? Dalam pada para sahabat sudah menghafaz ribuan hadis dan hukum-hakam, anak-anak kita belum pun membaca atau menghabiskan sebuah buku pun!
Lihatlah Aba t-Tufayl, yang dalam usianya tidak lebih lapan tahun itu, dia sudah dapat membuat analisis terhadap tubuh Nabi, dan dia dapat mensifatkan Nabi dengan ringkas iaitu putih – atau cerah –, elok tubuhnya, dan sedang-sedang dalam tinggi dan saiz badannya. Bayangkan bagaimana seorang kanak-kanak sebegitu sudah mampu membanding beza dan dapat memerhatikan ciri-ciri seseorang – dalam kes ini, Nabi – dengan baik. Bayangkan pula bagaimana dia dapat mengungkapkan apa yang dilihatnya dengan ringkas, tetapi jelas dan bermakna.
Panggillah mana-mana kanak-kanak seusia dengan Abi t-Tufayl, dan minta dia memerhatikan seseorang tokoh, adakah kanak-kanak itu dapat mengetahuï apakah yang perlu dilakukannya, apakah yang perlu diperhatikannya, dan dapat pula menjelaskannya dengan baik? Nasib umat Islam tidak akan berubah, selagi generasi Islam seperti para salafu s-salih tidak dihasilkan.
Didikan Islam adalah berbeza dengan didikan Barat, kerana didikan Islam bermula dari rumah. Bapa yang salih, harus mendidik isterinya agar menjadi salihah, dan menghasilkan anak-anak yang salihun. Dan ini juga satu masalah yang menimpa sesetengah golongan yang mengutamakan keluar berda`wah kepada orang lain, dan mengabaikan isteri dan anak-anak di rumah. Tidakkah Al-Qur’an menyebut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
«Wahai orang-orang yang beriman, awasilah diri-diri kamu dan keluarga-keluarga kamu daripada neraka» [At-Tahrim: 6]
Ayat ini menunjukkan awlawiyyah atau keutamaan berda`wah kepada keluarga sendiri dahulu dan mendidik mereka dengan ajaran Islam yang sebenar. Lahirkanlah anak-anak dan generasi Islam yang bertaqwa, yang menghafaz Al-Qur’an dan selalu membacanya, yang sentiasa dekat dengan ajaran Tuhan dan Nabi-Nya.
ترجمة وشرح باللغة الماليزية
Terjemahan dan Syarah oleh
محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري
ADÖULINÉ Lacharouphe
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin