Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 11 : Adakah Wajah Rasulullah Seperti Pedang?

Hadis 11 : Adakah Wajah Rasulullah Seperti Pedang?

466
0
Iklan

شرح الديارية

لأحاديث الشمائل المحمدية

للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى بن سورة

(المتوفي سنة 279 هجرية)

Syarhu d-Diyariyyah

Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Lil-Imam Abi `Isa Muhammad bin `Isa bin Sawrah

Hadis 11

 

11- حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الرُّؤَاسِيُّ، عَنْ زُهَيْرٍ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، قَالَ: سَأَلَ رَجُلٌ الْبَرَاءَ بْنَ عَازِبٍ: أَكَانَ وَجْهُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ السَّيْفِ؟ قَالَ: لَا، بَلْ مِثْلَ الْقَمَرِ.

11- Telah bercerita kepada kami Sufyan bin Waki`, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Humayd bin `Abdi r-Rahman Ar-Ru’asiy, daripada Zuhayr, daripada Abi Ishaq, dia berkata: Seorang lelaki telah menyoal Al-Bara’ bin `Azib: Adakah wajah Rasuli Llah seperti pedang? Dia berkata: Tidak, bahkan seperti bulan.

 

Syarah Adou_Fr:

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Abi Ishaq yang mendengar seseorang bertanya kepada gurunya Al-Bara’ bin `Azib, justeru, Abu Ishaq meriwayatkan soalan dan jawaban gurunya. Hal ini adalah contoh bahawa soalan adalah pembuka kepada ilmu, sama ada kepada diri sendiri, atau kepada orang lain. Antara ciri penuntut ilmu ialah mereka selalu bertanya kepada gurunya.

 

Selain itu, hadis ini menunjukkan mulazamah (perdampingan) antara Abi Ishaq dengan gurunya Al-Bara’, sehingga apabila ada orang lain bertanya kepada gurunya, dia turut mendapat manfa`at daripada jawaban gurunya. Sifat mulazamah murid terhadap gurunya ini adalah antara sifat penuntut ilmu yang semakin hilang, sekali gus menandakan kehilangan banyak ilmu daripada generasi terdahulu kepada kita.

 

Apabila para pelajar hanya mempelajari sesuatu daripada seseorang guru hanya untuk lulus, atau hanya kerana markah, atau kerana itulah subjek yang dipelajarinya daripada guru itu, maka sangat malang bagi pelajar itu, kerana dia sebenarnya menafikan bahawa gurunya itu mempunyaï kemahiran lain atau kepandaian dalam bidang lain.

 

Contohnya, apabila seseorang pelajar belajar matematik daripada gurunya yang lelaki, dan pelajar itu hanya belajar matematik sahaja daripada gurunya, maka seolah-olah dia menafikan bahwa gurunya itu mempunyaï ilmu yang lebih luas. Tidakkah gurunya itu mempunyaï kemahiran dalam memancing atau bercucuk tanam? Atau membaiki kenderaan atau menyembelih haiwan? Atau barangkali gurunya itu mungin mempunyaï kepandaian dalam bahasa Inggeris atau ilmu tajwid!

 

Lebih teruk apabila pelajar hanya belajar di dalam kelas atau di dalam kuliah sahaja, dan menjadi lalai dan leka apabila kakinya melangkah keluar daripada kuliah itu. Justeru, antara kunci ilmu ialah mulazamah antara murid dan guru, agar murid itu dapat mengambil faedah daripada ilmu gurunya – yang tidak diketahuïnya –, atau bagaimana gurunya mengamalkan ilmunya dalam kehidupannya, atau bagaimana gurunya itu menjawab pertanyaan yang dilontarkan kepadanya, atau sekurang-kurangnya adab dan akhlaq gurunya itu.

 

Dalam hadis ini, Abu Ishaq, walaupun dia tidak bertanya, tetapi kerana dia melazimi gurunya – iaitu dia berada bersama gurunya ketika gurunya disoal –, maka dia dapat mendengar satu ilmu apabila gurunya menjawab soalan yang ditanyakan kepadanya.

 

Abu Ishaq menggunakan perkataan (سَأَلَ رَجُلٌ الْبَرَاءَ بْنَ عَازِبٍ) Seorang lelaki telah menyoal Al-Bara’ bin `Azib, dan dia hanya menyebut (رَجُلٌ) seorang lelaki, tanpa menyebut nama, asal-usul, sifat peribadi atau sebarang keterangan tentang lelaki itu. Ini menggambarkan keutamaan Abu Ishaq adalah terhadap soalan dan jawaban, bukan terhadap penyoal atau siapa yang menyoal, atau sifat orang yang menyoal.

 

Ramai penuntut ilmu, mereka terlupa keutamaan dalam menuntut ilmu, sehingga mereka menyerlahkan apa yang tidak penting, dan menggelapkan apa yang penting. Ramai yang hanya mahukan kemegahan nama, tetapi lupa mengambil faedah daripada apa yang lebih utama.

 

Lelaki itu – yang tidak dinamakan dan tidak disifatkan di dalam hadis ini – bertanya tentang wajah Nabi, adakah ia seperti pedang? Pemikiran Melayu apabila disoal seperti itu – iaitu seperti pedang –, akan terus tergambar satu kata sifat, iaitu tajam. Namun, ini bukanlah maksud orang bertanya.

 

Soalan “seperti pedang” adalah merujuk kepada adakah wajah Nabi panjang seperti pedang! Kata perbandingan yang digunakan sangat bercanggah dengan budaya Melayu, kerana muka lebih sinonim dengan kata sifat yang lain seperti bujur sirih, lonjong, petak dan sebagainya. Jika pun wajah itu panjang sedikit, ia tidak akan disifatkan sebagai sama seperti pedang, atau tombak, atau galah! Namun, inilah kepentingan memahami nas sebagaimana yang difahami oleh manusia pada zaman itu, mengikut budaya masyarakatnya, dan mengikut kehendak pemilik ucapan tersebut. Dia memaksudkan dan membuat perbandingan panjang muka dengan pedang! Perbandingan ini adalah dalam bentuk mubalaghah (secara berlebih-lebihan). Sebagai jawaban, Al-Bara’ menjawab: Tidak, bahkan seperti bulan, iaitu ia hampir bulat seperti bulan, bukan panjang seperti pedang.

 

Sebahagian pensyarah hadis menyebut bahawa wajah seperti pedang menunjukkan berkilat dan bersinar wajahnya seperti kilauan pedang yang diperbuat daripada logam. Fahaman ini juga diterima. Justeru, Al-Bara’ menjawab: Tidak, bahkan seperti bulan, iaitu wajahnya bersinar dengan keindahan seperti bulan, bukan setakat berkilau seperti pedang.

 

Lihatlah bagaimana bijaknya Al-Bara’, seorang sahabiy yang mahir dalam berbahasa, dan dia menjawab soalan orang yang bertanya – yang mempunyaï tafsiran yang berbeza – dengan satu jawaban yang tepat. Jawaban Al-Bara’ adalah kena dengan soalan panjang seperti pedang, dan juga kena dengan berkilau seperti pedang.

 

Ramai manusia pada zaman ini, lebih-lebih lagi golongan muda, yang memandang rendah isu bahasa, dan mereka bercakap sesuka hatinya tanpa mahu dikawal. Mereka enggan untuk mendalami ilmu bahasa, enggan untuk membaiki ucapan dan tutur kata mereka, malah hinggakan tidak dapat mengeja perkataan dengan baik – kerana terpengaruh dengan bahasa media sosial –. Ketahuïlah bahawa orang yang mengabaikan bahasa, maka akhirnya dia akan mengabaikan agamanya.

 

Lihatlah bagaimana bahasa sangat penting untuk kita mengenal dan menelusuri sirah kekasih kita Muhammad. Tanpa bahasa yang betul, ia menjadi sukar untuk menggambarkan perwatakan peribadi Nabi kita, kerana kegagalan kita dalam mengungkapkan sifat-sifat Nabi yang indah. Begitu juga dalam memahami Al-Qur’an dan hadis, ia memerlukan ilmu bahasa untuk mendapatkan makna dan pengertian yang paling tepat, sesuai dengan kehendak Dia yang menurunkan Al-Qur’an. Bahkan, para sahabat, apabila mereka menggambarkan perwatakan Nabi, mereka meriwayatkan dengan pelbagai perkataan yang berbeza, yang setiap satu menerangkan satu gambaran tersendiri, agar Nabi dapat dikenal dengan sebaik mungkin.

 

Bahkan Al-Qur’an sendiri menjadi mu`jizat dan melemahkan musuh dengan keindahan bahasa yang digunakannya. Justeru, wajarlah bagi mereka yang mencintaï Nabi dan agama Islam, untuk mereka membetulkan lisan mereka dan mendalami bahasa mereka – lebih-lebih lagi bahasa `Arab – dengan menuturkan perkataan dengan fasih dan baik, serta berusaha untuk membaiki kemahiran berbahasa mereka. Sangatlah malang apabila generasi kita sekarang mula meninggalkan ilmu bahasa atas alasan mengutamakan sains dan teknologi, atau kebebasan bersuara. Menjauhi ilmu bahasa akan menjadikan mereka jauh daripada agama dan menyukarkan mereka untuk memahami agama mereka.

 

Dan jawaban Al-Bara’ yang pendek, tetapi tepat, ia menunjukkan ketinggian akal orang-orang yang bijaksana, iaitu bicaranya ringkas tetapi padat. Maka nyatalah kerendahan akal bagi sesetengah golongan – terutama wanita, atau ibu-ibu – yang bicaranya atau leternya panjang, namun, tidak diketahuï apa yang cuba disampaikannya.

 

Al-Bara’ adalah seorang sahabat, dan dia boleh sahaja berbicara sesuka hatinya – sepanjang mana yang dia mahu – untuk menerangkan tentang Nabi yang pernah dilihatnya. Namun, kebijakannya mengatasi emosinya, dan dia berpada dengan satu jawaban yang ringkas, yang dapat menjawab persoalan si penyoal.

 

ترجمة وشرح باللغة الماليزية 

Terjemahan dan Syarah oleh

محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري

ADÖULINÉ Lacharouphe

Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin

Komen dan Soalan