Utama Bilik Khas SYIRIK – BAHAGIAN 2

SYIRIK – BAHAGIAN 2

259
0
Iklan

SYIRIK – BAHAGIAN 2 –

(oleh Ustaz Baharuddin bin Ayudin, Semat Quran)

Sambungan – Ketaatan kepada Makhluk

4.  Ibu bapa: Allah menyebutkan tentang kewajipan mentaati ibu bapa selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya, (17:23) iaitu dengan mensyukuri segala nikmat kurniaan-Nya serta mengenang budi dan jasa kedua ibu bapa. (31:14) Justeru usaha mereka mendidik anak sejak dari kecil supaya menjadi anak yang salih dan taat berbakti kepada Allah. Daripada ‘AbdulLāh bin ‘Amr, katanya: Nabi – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

[رِضَا اللهِ فِي رِضَا الْوَالِدَيْنِ، وَسَخَطُ اللهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدَيْ[1

“Keredaan Allah itu pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah itu pada kemurkaan ibu bapa.”

Daripada Abū Hurayrah, katanya: Rasulullah – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ».

“Alangkah ruginya. Sekali lagi alangkah ruginya. Sekali lagi alangkah ruginya.”

Baginda lalu ditanya:

 مَنْ يَا رَسُولَ اللهِ؟

“Siapa, wahai Rasulullah?”

Jawab baginda:

[مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ، أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ».[2

“Sesiapa yang sempat bersama kedua ibu bapanya ketika usia lanjut, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, tetapi ia tidak dapat memasuki syurga.”

Namun begitu, apabila ibu menyuruh kepada kederhakaan kepada Allah, perintah ibu tadi tidak wajib lagi ditaati. (31:15) Ketaatan terhadap manusia hanya dalam perkara kebaikan semata-mata. Daripada Sa‘d bin Mālik, katanya:

كُنْتُ رَجُلًا بَرًّا بِأُمِّي.

“Aku adalah seorang anak yang sentiasa melakukan kebaktian kepada ibuku. ”

Tatkala aku memeluk Islam, ibuku berkata:

يَا سَعْدُ, مَا هَذَا الدِّينُ الَّذِي قَدْ أَحْدَثْتَ؟، لَتَدَعَنَّ دِينَكَ هَذَا أَوْ لَا آكُلُ وَلَا أَشْرَبُ, حَتَّى أَمُوتَ, فَتُعَيَّرَ بِي، فَيُقَالُ: يَا قَاتِلَ أُمِّهِ؟

“Wahai Sa‘d, apakah agama yang engkau ikut ini? Tinggalkanlah agama itu, atau aku tidak akan makan dan minum sehinggalah aku mati. Kelak engkau yang akan malu dipanggil orang: Wahai anak yang membunuh ibunya.”

Kata Sa‘d: Aku memberitahu ibuku:

يَا أُمَّاهُ, إِنِّي لَا أَدَعُ دِينِي هَذَا، أَوْ لَا أَدَعُ دِينَ هَذَا النَّبِيِّ.

“Aku tidak akan tinggalkan agama ini. Aku tidak akan tinggalkan agama Nabi ini.”

Kata Sa‘d:

 فَمَكَثَتْ يَوْمًا لَا تَأْكُلُ وَلَيْلَةً، فَأَصْبَحَتْ وَقَدْ أُجْهِدَتْ.

“Ia (ibuku) tidak makan selama sehari semalam, lalu ia nampak tenat.”

Kata Sa‘d:

 فَمَكَثَتْ يَوْمًا آخَرَ وَلَيْلَةً لَا تَأْكُلُ، فَأَصْبَحَتْ وَقَدِ اسْتُجْهِدَتْ.

“Ia meneruskan mogok laparnya sehari semalam lagi sehingga ia kelihatan bertambah tenat.”

Kata Sa‘d: Tatkala melihat keadaan sedemikian, aku pun berkata:

[3]يَا أُمَّاهُ, تَعْلَمِينَ وَاللهِ لَوْ كَانَتْ مِائَةُ نَفْسٍ فَخَرَجَتْ نَفْسًا نَفْسًا مَا تَرَكْتُ دِينِي هَذَا لِشَيْءٍ، إِنْ شِئْتِ فَكُلِي، وَإِنْ شِئْتِ , فَلَا تَأْكُلِ

“Wahai ibu, ketahuilah. Demi Allah, jika ibu ada seratus nyawa dan ia keluar satu demi satu. Aku tidak akan tinggalkan agama ini disebabkan itu. Jika engkau mahu terus hidup, makanlah. Jika engkau hendak mati, janganlah makan.”

 Tatkala melihat ketegasan Sa‘d itu, ibunya pun makan. Lalu turunlah ayat ini: (31:15)

5.  Suami: Para suami adalah pemimpin kepada isteri-isterinya. (4:34) Oleh itu para isteri wajib taat kepada suaminya. Justeru isteri memerlukan sokongan suami dalam membentuk usrah salihah. Daripada Abū Hurayrah, katanya: Rasulullah – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

[4]وْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَ

“Kalaulah boleh aku menyuruh seseorang itu sujud kepada seorang yang lain, pasti aku akan suruh seorang isteri itu sujud kepada suaminya.”

Namun begitu, taatkan suami sampai membelakangkan Allah dan Rasul adalah dilarang kerana ia adalah perbuatan syirik, iaitu taatkan Allah dan dalam masa yang sama taatkan yang lain walaupun berlawanan dengan perintah Allah. Inilah contoh yang ditunjukkan oleh Ᾱsiyah, isteri Fir‘awn. (66:11) Daripada Ibn ‘Umar, katanya: Nabi  – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

[5]«السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ عَلَيْهِ وَلَا طَاعَةَ».

“Mendengar dan patuh itu adalah wajib ke atas sekalian Muslim dalam perkara yang ia suka dan benci selama tidak disuruh kepada perkara maksiat. Jika diperintahkan kepada perkara maksiat, tiada lagi kewajipan ke atasnya mendengar dan taat.”

6.  Suara majoriti: Prinsip demokrasi timbul atas asas suara ramai itu lebih baik daripada pendapat kelompok kecil. Ia bagi mengelak berlakunya kuasa diktator yang menindas manusia sesuka hatinya. Lalu kuasa pemutus diserahkan kepada rakyat. Berbeza dengan konsep shūrā dalam Islam, kuasa pemutus diserah kepada Ahl al-Ḥall wa al-‘Aqd yang mempunyai upaya merujuk kepada KitābulLāh dan Sunnah Nabi-Nya yang sahih. Namun begitu, fitnah yang dihadapi manusia akhir zaman ini ialah terlalu mendewa-dewakan suara majoriti tajaan Barat. (6:116) Kata Ibn Mas‘ūd:

[6]إِنَّمَا الْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ طَاعَةَ اللهِ وَإِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ

“Jamā‘ah itu ialah menetapi kebenaran, walapun engkau seorang diri.”

 Oleh itu apabila disebut Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah, maknanya ialah:

هُمُ المُتَمَسِّكُونَ بسُنَّةِ النَّبِيِّ- ` – وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ وَسَلَكَ سَبِيلَهُمْ فِي الاعْتِقَادِ وَالقَوْلِ وَالعَمَلِ، وَالَّذِينَ اسْتَقَامُوا عَلَى الاتِّبَاعِ وَجَانِبُوا الابْتِدَاعَ، وَهُمْ  

[7]بَاقُونَ ظَاهِرُونَ مَنْصُورُونَ إِلى يَوْمِ القِيَامَةِ, فَاتِّبَاعُهُمْ هُدًى وَخِلاَفُهُمْ ضَلاَل

“Mereka adalah orang-orang yang berpegang tegoh dengan Sunnah Nabi dan amalan para sahabat ba-ginda dengan mengikut dan menempuh jalan mereka pada i‘tikad, ucapan dan amalan serta istiqamah pada ittibā‘ dan menjauhi ibtidā‘. Mereka kekal unggul lagi beroleh pertolongan sampai ke Hari Kiamat. Maka dengan mengikut jalan mereka beroleh petunjuk dan memilih sesuatu yang berlawanan daripada jalan mereka adalah kesesatan.”

8.  Adat tradisi: Kepatuhan kepada tradisi nenek moyang menyebabkan ada orang yang tergamak membelakangkan perintah Allah di dalam al-Qur’an. (5:104) Kata Abū Ṭālib ketika diajak kepada Islam:

[8]يَا بن أَخِي، وَاَللهِ لَوْلَا مَخَافَةُ السُّبَّةِ عَلَيْكَ وَعَلَى بَنِي أَبِيكَ مِنْ بَعْدِي، وَأَنْ تَظُنَّ قُرَيْشٌ أَنِّي إنَّمَا قُلْتهَا جَزَعًا مِنْ الْمَوْتِ لَقُلْتهَا، لَا أَقُولُهَا إلَّا لِأَسُرَّكَ بِهَا.

“Wahai anak saudaraku, demi Allah! Kalaulah tidak kerana kekhuatiranku terhadap kecaman yang akan menimpamu dan menimpa anak-anak bapamu sepe-ninggalanku nanti dan selain kekhuatiranku terhadap tuduhan kaum Quraysh bahawa aku mengucapkannya kerana takut mati, nescaya aku ucapkan kalimat tersebut. Aku tidak akan mengucapkannya kecuali kerana hendak menggembirakanmu.”

9.   Hawa nafsu: Punca manusia mengikut hawa nafsu adalah berpunca daripada pemikiran dan tindakan tanpa didasari ilmu. (2:169) Muncullah pelbagai puak dan setiap puak berbangga dengan fahaman masing-masing. (23:53; 30:32) Kesemua puak memperturutkan hawa nafsu, cenderung kepada kehidupan dunia dan melupai akhirat. Gambaran mereka adalah pekak, bisu dan buta terhadap kebenaran. (45:23; 79:40) Inilah golongan yang dihitung sebagai mempertuhankan hawa nafsunya. (45:23) Kata ‘Alīy bin Abū Ṭālib:

[9]«إِنَّمَا أَخْشَى عَلَيْكُمُ اثْنَيْنِ: طُولَ الْأَمَلِ، وَاتِّبَاعَ الْهَوَى، فَإِنَّ طُولَ الْأَمَلِ يُنْسِي الْآخِرَةَ، وَإِنَّ اتِّبَاعَ الْهَوَى يَصُدُّ عَنِ الْحَق

“Aku bimbangkan kamu ditimpa dua perkara: Panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Se-sungguhnya panjang angan-angan itu menyebabkan kamu melupai akhirat. Sesungguhnya mengikut hawa nafsu itu menghalang kamu daripada kebenaran.”

Kata ‘Umar bin ‘Abd al-‘Azīz:

[10]دْ أَفْلَحَ مَنْ عُصِمَ مِنَ الْهَوَى، وَالْغَضَبِ، وَالطَّمَعِ»

“Pasti beruntung orang yang terhindar daripada mengikut hawa nafsu, rasa marah dan sikap tamak.”

PENGAJARAN

Ada beberapa pengajaran yang dapat disimpulkan daripada perbincangan ini. Antaranya ialah: 

  1. Setiap Muslim hendaklah menerima Allah sebagai Rabb, Ilāh, Ḥākim dan Walīy.
  2. Ketaatan kepada selain Allah adalah lanjutan daripada ketaatan kepada Allah, bukannya ke-taatan mutlak.
  3. Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Khāliq.
  4. Ketaatan kepada makhluk sehingga menyalahi perintah Allah adalah perbuatan syirik.
  5. Dosa akibat perbuatan syirik tidak diampunkan Allah selagi pelakunya tidak bertawbat dan kembali semula mentawhidkan-Nya.

___________________________________________________________________

[1]     Al-Targhib fi Fada’il al-A‘mal [299].

[2]     Ṣaḥīḥ Muslim, 9-[2551].

[3]     Tartīb al-Amālīy [2002].

[4]     Sunan al-Tirmidhīy [1159]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ḥasan Ṣaḥīḥ.

[5]     Sunan al-Tirmidhīy [1707]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.

[6]     Sharḥ Uṣūl I‘tiqād Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah, 1:121.

[7]     Al-Wajīz fī ‘Aqīdah al-Salaf al-Ṣāliḥ, hlm. 36.

[8]     Sīrah Ibn Hishām, 1:418.

[9]     Al-Zuhd wa al-Raqā’iq [255].

[10]    Jāmi‘ Ma‘mar bin Rāshid [20103].

 

Komen dan Soalan