Utama Bilik Khas SYIRIK – BAHAGIAN 2

SYIRIK – BAHAGIAN 2

183
0
Iklan

SYIRIK – BAHAGIAN 2

(oleh Ustaz Baharuddin Ayudin, Semat Quran)

13 – عَنْ عَبْدِ اللهِ – ، قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ:[1] }الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ{, شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ – `، وَقَالُوا: أَيُّنَا لَمْ يَلْبِسْ إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ – `: «إِنَّهُ لَيْسَ بِذَاكَ، أَلاَ تَسْمَعُونَ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ:[2] }إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ{».[3

13 – Daripada ‘AbdulLāh – raḍiyalLāhu ‘anh, katanya: Tatkala turunnya ayat ini:  “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman,” para sahabat Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – ketika itu merasa tidak senang hati. Kata mereka: “Siapa di antara kita yang tidak bercampur keimanan mereka dengan kezaliman?” Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – lalu bersabda: “Sebenarnya ia bukan begitu. Apakah kamu tidak pernah mendengar ucapan Luqmān: “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang sungguh dahsyat.”

‘AbdulLāh bin Mas‘ūd adalah sahabat Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – yang pertama membaca al-Qur’an secara terang-terangan selepas baginda supaya bacaannya dapat didengar oleh musyrikin Quraysh di Makkah. Suatu hari para sahabat Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – berkumpul, lalu kata mereka:

وَاَللهِ مَا سَمِعَتْ قُرَيْشٌ هَذَا الْقُرْآنَ يُجْهَرُ لَهَا بِهِ قَطُّ، فَمَنْ رَجُلٌ يُسْمِعُهُمُوهُ؟

“Demi Allah, Quraysh tidak pernah lagi mendengar al-Qur’an ini dibaca secara terang-terangan kepada mereka. Siapakah di antara kita yang boleh memperdengarkannya kepada mereka?”

Jawab Ibn Mas‘ūd:

أَنَا.

“Aku.”

Kata mereka:

إنَّا نَخْشَاهُمْ عَلَيْكَ، إنَّمَا نُرِيدُ رَجُلًا لَهُ عَشِيرَةٌ يَمْنَعُونَهُ مِنْ الْقَوْمِ إنْ أَرَادُوهُ.

“Kami sangat bimbang mereka mengapa-apakanmu. Kami ingin seorang yang keluarganya berpengaruh supaya mereka dapat melindunginya jika mereka mengapa-apakannya.”

Jawabnya:

دَعُونِي فَإِنَّ اللهَ سَيَمْنَعُنِي.

“Biarlah aku lakukannya kerana yakin Allah akan melindungiku.”

Pagi-pagi lagi Ibn Mas‘ūd keluar menuju ke Kaabah dan sampai di Maqām Ibrāhīm pada waktu duha. Pembesar Quraysh ketika itu berada di kelab mereka. Ibn Mas‘ūd berdiri di hadapan Maqām Ibrāhīm lalu membaca dengan mengeraskan suaranya:

ﭑ       ﭒ  ﭓ  ﭔ

 ﭷ  ﭸ  ﭹ  ﭺ  ﭻ

“Tuhan yang Maha Pemurah. Dia mengajarkan al-Qur’an.”

Kata ‘Urwah: Ibn Mas‘ūd mengadap Quraysh dan membacakan ayat-ayat al-Qur’an seraya berkata:

فَتَأَمَّلُوهُ.

“Perhatikanlah kamu akannya.”

Lalu mereka saling bertanya:

مَاذَا قَالَ ابْنُ أُمِّ عَبْدٍ؟

“Apakah yang disebutkan oleh Ibn Umm ‘Abd itu?”

Kata ‘Urwah: Kemudian mereka berkata:

إنَّهُ لَيَتْلُو بَعْضَ مَا جَاءَ بِهِ مُحَمَّدٌ.

“Ia benar-benar sedang membaca sebahagian daripada apa yang Muḥammad bawa.”

Mereka pun bangun mendapatkannya. Lalu mereka membelasahnya dengan memukul muka-nya. Namun begitu beliau terus membacanya setakat yang termampu. Kemudian beliau pun kembali menemui sahabat-sahabatnya. Pada wajahnya terdapat kesan lebam. Lalu kata para sahabatnya:

هَذَا الَّذِي خَشِينَا عَلَيْكَ.

“Kejadian sebeginilah yang kami tidak mahu menimpamu.”

     Jawabnya:

مَا كَانَ أَعْدَاءُ اللهِ أَهْوَنَ عَلَيَّ مِنْهُمْ الْآنَ، وَلَئِنْ شِئْتُمْ لَأُغَادِيَنَّهُمْ بِمِثْلِهَا غَدًا.

“Musuh-musuh Allah itu tidak pernah lebih hina di mataku daripada mereka saat ini, dan jika kamu mahu, saya akan pergi lagi dan melakukan perkara yang sama esok.”

     Jawab mereka:

لَا، حَسْبُكَ، قَدْ أَسْمَعْتَهُمْ مَا يَكْرَهُونَ.[4

“Jangan, cukuplah setakat itu. Engkau telah memperdengarkan kepada mereka apa yang mereka benci.”

MAKNA KALIMAH

Taat: Ketaatan yang mutlak ialah ketaatan kepada Allah – Jalla wa ‘Alā – dengan mematuhi segala perintah-Nya yang terkandung di dalam Kitab-Nya, iaitu al-Qur’an sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam. Manakala ketaatan kepada makhluk Allah yang lain sesudahnya adalah kelangsungan daripada ketaatan kepada Allah.

ULASAN HADITH

Setiap Muslim diperintah mentaati Allah – Jalla wa ‘Alā. Tiadalah seorang hamba itu dikira taat sehinggalah ia menerima Allah sebagai Rabb, Ilāh, Ḥākim dan Walīy. Patutkah seseorang hamba itu taatkan selain Allah padahal Dialah Rabb yang mencipta segala-galanya. (6:164) Tiada sesiapa pun yang berkongsi dengan-Nya pada penciptaan la-ngit dan bumi. (46:4) Inilah yang difahami oleh Abū Bakr al-Ṣiddīq ketika beliau mengucapkan: ULASAN HADITH

[«أَيُّ سَمَاءٍ تُظِلُّنِي؟ وَأَيُّ أَرْضٍ تُقِلُّنِي؟ إِذَا قُلْتُ فِي كِتَابِ اللهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ».[5

“Langit mana hendak kujunjung? Bumi mana hendak kupijak? Sekiranya aku menyebutkan tentang KitābulLāh tanpa ilmu.”

Patutkah seorang hamba itu taatkan selain Allah dengan tunduk patuh memberi khidmat walaupun berlawanan dengan perintah Allah, padahal Dialah Ilāh yang sepatutnya diserahkan pengabdian diri sepenuhnya. (6:162-163)

Patutkah seseorang hamba itu taatkan selain Allah dengan membelakangkan hukum Allah dan menerima hukum yang bukannya hukum Allah bagi mengatur kehidupannya? Padahal Allah – Jalla wa ‘Alā – telah menurunkan al-Qur’an bagi mengatur kehidupan manusia di muka bumi ini.

Patutkah seseorang hamba itu taatkan selain Allah dengan mengambil musuh-musuh Allah itu sebagai penolong dan pelindung? Lalu ia takutkan mereka seperti takutkan Allah atau lebih takut daripada itu lagi. [4:77] Padahal Allah adalah penolong dan pelindung kepada sekalian hamba yang tunduk patuh mentaati segala perintah-Nya. [47:11]

Ketaatan kepada makhluk

Ketaatan kepada makhluk bukanlah ketaatan yang mutlak. Ia tertakluk pada batas yang dibenarkan oleh Allah – Jalla wa ‘Alā. Dia memerintahkan setiap orang yang beriman dengan kewajipan mentaati:

  1. Rasul: Taatkan Rasul – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – dengan mencontohi model yang baginda tunjukkan dalam kehidupan seharian adalah lanjutan daripada ketaatan kepada Allah. (4:80) Seluruh perintah Allah yang terkandung di dalam al-Qur’an dan diterangkan menerusi al-Sunnah itu hendaklah diterima sepenuhnya tanpa memilihnya. [33:36] Kata Abū Bakr ketika menegur kaum Muslimin yang tidak dapat menerima berita tentang kewafatan Rasulullah – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam:

[«أَمَّا بَعْدُ، فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا `، فَإِنَّ مُحَمَّدًا ` قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللهَ، فَإِنَّ اللهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ».[6

“Ammā ba‘d, sesiapa di antara kamu yang memuja Muḥammad – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam, sesungguhnya Muḥammad – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – itu sudah wafat. Sesiapa yang tunduk patuhnya mengabdikan diri kepada Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup, tidak mati-mati.”

  1. Ulū al-amr: Kewajipan pemerintah ialah me-negakkan hukum Allah di muka bumi ini. (5:49) Oleh itu setiap rakyat adalah diperintah tunduk patuh mentaati pemerintah kerana ia sedang bertungkus lumus bekerja menegakkan hukum Allah. (4:59) Kata Abū Bakr ketika menyampaikan pidato setelah dilantik sebagai Khalifah:

أَطِيعُونِي مَا أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُولَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللهَ وَرَسُولَهُ فَلَا طَاعَةَ لِي عَلَيْكُمْ.[7

“Taatkan aku selama aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Apabila aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada lagi kewajipan kamu taat kepadaku.”

Ketaatan kepada pemerintah sampai melanggar hukum Allah adalah dilarang. Allah menggambarkan penyesalan ke atas orang yang melakukan yang demikian. (33:66) Daripada ‘Alīy, katanya: Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – mengutus satu pasukaan tentera. Lalu baginda melantik salah seorang di antara mereka sebagai ketua. Ia menyalakan api, lalu katanya:

ادْخُلُوهَا.

“Masuklah kamu ke dalamnya.”

Ada di antara mereka yang hendak masuk ke dalamnya atas alasan taat. Kata yang lain:

إِنَّمَا فَرَرْنَا مِنْهَا.

“Sesungguhnya kita tidak lain disuruh lari daripada-nya.”

Hal ini diberitahu kepada Nabi – sallalLahu ‘alayhi wa sallam. Lalu baginda bersabda kepada puak yang hendak masuk ke dalamnya:

«لَوْ دَخَلُوهَا لَمْ يَزَالُوا فِيهَا إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ».

“Kalau mereka masuk ke dalamnya, sentiasalah mereka kekal di dalamnya sampai ke Hari Kiamat.”

Manakala kepada puak yang satu lagi baginda bersabda:

«لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ».[8

“Tiada sebarang ketaatan dalam perkara maksiat. Sesungguhnya ketaatan itu hanya berkaitan dengan perkara kebaikan.”

  1. Para ulama’: Para ulama’ adalah pewaris para nabi. Justeru itu segala nasihat, panduan dan seruan mereka wajib diikuti selama mereka me-ngajak kepada mematuhi perintah Allah – Jalla wa ‘Alā – dan petunjuk Rasul-Nya – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam.

«إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ».[9

“Sesungguhnya ulama’ itu adalah pewaris para nabi.”

Namun begitu, mendewa-dewakan para ulama’ dengan mentaqdiskan mereka diluar batas yang dibenarkan syarak dan berlawanan dengan sifat sebagai manusia biasa dan menghubungkan mereka dengan cerita khawāriq al-‘ādah bagi menarik perhatian dan rasa kagum orang ramai adalah bertentangan dengan maksud taat yang diperintah. Allah – Jalla wa ‘Alā – mengutuk golongan Yahudi dan Nasrani kerana terlalu mendewa-dewakan para rahib dan pendeta agama mereka. (9:31) Daripada ‘Adīy bin Ḥātim, katanya:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ –  – وَفِي عُنُقِي صَلِيبٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَقَالَ: «يَا عَدِيُّ اطْرَحْ هَذَا الْوَثَنَ مِنْ عُنُقِكَ، فَطَرَحْتُهُ فَانْتَهَيْتُ إِلَيْهِ وَهُوَ يَقْرَأُ سُورَةَ بَرَاءَةَ فَقَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ }اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ{ حَتَّى فَرَغَ مِنْهَا، فَقُلْتُ: إنَّا لَسْنَا نَعْبُدُهُمْ، فَقَالَ: «أَلَيْسَ يُحَرِّمُونَ مَا أَحَلَّ اللهُ فَتُحَرِّمُونُهُ، ويُحِلُّونَ مَا حَرَّمَ اللهُ فَتَسْتَحِلُّونَهُ؟» قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: «فَتِلْكَ عِبَادَتُهُمْ».[10

“Aku datang menemui Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam, sedangkan di tengkokku ketika itu masih lagi memakai salib. Baginda lalu menegurku: “Wahai ‘Adīy, buangkan berhala dari tengkokmu itu.” Aku pun membuangnya. Kemudian aku mendekati baginda yang ketika itu sedang membaca Sūrah Barā’ah. Baginda membaca ayat ini: “Mereka mengambil para rahib dan pendeta agama mereka sebagai tuhan selain daripada Allah.” Apabila baginda sudah selesai membacanya, aku pun memberitahu: “Sesungguhnya kami tidak pernah menyembah mereka.” Baginda menjawab: “Bukankah apabila mereka mengharamkan apa yang halal, maka kamu pun ikut mengharamkannya, mereka menghalalkan apa yang haram, maka kamu pun ikut menghalalkannya?” Aku pun menjawab: “Ya, bahkan mereka benar-benar lakukannya.” Baginda bersabda: “Itulah bentuk ibadat kepada mereka.”

‘Umar pernah bermesyuarat dengan para sahabat Nabi – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam, lalu mereka menyatakan persetujuan terhadap hasratnya hendak membukukan hadith. Namun begitu, selepas melakukan istikhārah selama sebulan, beliau lalu membuat keputusan:

«إِنِّي كُنْتُ أُرِيدُ أَنْ أَكْتُبَ السُّنَنَ وَإِنِّي ذَكَرْتُ قَوْمًا كَانُوا قَبْلَكُمْ كَتَبُوا كُتُبًا فَأَكَبُّوا عَلَيْهَا وَتَرَكُوا كِتَابَ اللهِ وَإِنِّي وَاللهِ لَا أَشُوبُ كِتَابَ اللهِ بِشَيْءٍ أَبَدًا».[11

“Sesungguhnya aku pernah bercita-cita hendak menulis hadith. Namun begitu, aku teringat suatu kaum sebelum kamu, mereka menulis buku-buku, lalu mereka menumpukan perhatian terhadapnya dan meninggalkan KitābulLāh. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak akan mencampur adukkan Kitā-bulLāh dengan sesuatu yang lain selama-lamanya.”

Ketika menafsirkan firman Allah tentang al-jibt dan al-ṭāghūt, (4:51) al-Ḍaḥḥāk menyatakan maksudnya ialah golongan Yahudi yang menjadikan Ka‘b bin al-Ashrāf dan Ḥuyay bin Akhṭab sebagai pemutus hukum bagi mereka: 

مَا حَكَمَا مِنْ شَيْءٍ خِلَافَ كِتَابِ اللهِ أَوْ يُوَافِقُ كِتَابَ اللهِ رَضُوا بِهِ، وَتَرَكُوا الْكِتَابَ الَّذِي عِنْدَهُمْ.[12

“Apa sahaja yang mereka berdua putuskan baik yang bercanggah dengan KitābulLāh atau menepatinya mereka reda mengikutnya dan meninggalkan petunjuk daripada kitab yang ada di sisi mereka.”

Bahkan golongan yang taksub kepada para ulama’ kurang memberi perhatian kepada sumber rujukan yang sebenar, iaitu KitābulLāh dan Sunnah Nabi-Nya, tetapi lebih menumpu kepada karya tokoh-tokoh mereka. Kata Ibn Mas‘ūd:

«إِنَّمَا هَلَكَ أَهْلُ الْكِتَابِ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ أَقْبَلُوا عَلَى كُتُبِ عُلَمَائِهِمْ، وَتَرَكُوا كِتَابَ رَبِّهِمْ».[13

“Sesungguhnya Ahl al-Kitāb sebelum kamu binasa kerana mereka menyambut baik kitab para ulama’ mereka dan mengabaikan kitab Tuhan mereka.”

 Ketaksuban itu membutakan mata daripada kebenaran. Oleh kerana itu, kata Aḥmad bin Hanbal:

لاَ تُقَلِّدْنِي، وَلاَ تُقَلِّدْ مَالِكاً، وَلاَ الشَّافِعِيّ، وَلاَ الأَوْزَاعِِيّ، وَلاَ الثَّوْْرِِيّ، وََخُذْ مِنْ حَيْثُ أَخَذُوا.[14

“Janganlah engkau bertaklid kepadaku, atau Mālik, atau al-Shāfi‘īy, atau al-Awzā‘īy, atau al-Thawrīy. Ambillah daripada sumber rujukan mereka.”

__________________________________________________ 

[1] Sūrah al-An‘ām, 6:82.

[2] Sūrah Luqmān, 31:13.

[3] Ṣāḥīḥ al-Bukhārīy [6918].

[4] Sīrah Ibn Hishām, 1:314-315.

[5] Jāmi‘ Bayān al-‘Ilmi wa Faḍlih [1561].

[6] Ṣāḥīḥ Ibn Ḥibbān [6620].

[7] Sīrah Ibn Hishām, 2:661.

[8] Ṣaḥīḥ al-Bukhārīy [7257].

[9]  Sunan Ibn Mājah [223]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.

[10] Al-Mu‘jam al-Kabīr [218].

[11] Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa Faḍlih [343].

[12]  Tārikh al-Madīnah, 2:453.

[13]  Sunan al-Dārimīy [485]. Taḥqīq Husayn Sālim Asad al-Dārānīy: Isnādnya Ṣaḥīḥ.

[14]  Mawsū‘ah Mawāqif al-Salaf fī al-‘Aqīdah wa al-Manhaj wa al-Tarbiyah, 10:134.

 Sambungan……

Komen dan Soalan