Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Penjelasan tentang status solat jumaat pada hari eid oleh Dr. Fathi Al-Sakandary

Penjelasan tentang status solat jumaat pada hari eid oleh Dr. Fathi Al-Sakandary

154
0
Iklan
|| Penjelasan Status Hadith-Hadith Gugurnya Kewajipan Solat Jumaat bagi yang telah bersolat ‘Eid pada pagi Jumaat ||
 
Pertama: Hadith Abu Hurairah
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ)) 
 
Dari Abu Hurairah dari Nabi saw bahawa baginda berkata: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat
 
Takhrij:
 
Dikeluarkan antaranya oleh Abu Daud (1073), Ibn Majjah (1311), Ibn al-Jarud dalam al-Muntaqa (302) dan lainnya, kesemuanya dari jalur Baqiyyah bin al-Walid telah mengkhabarkan kami Syu’bah dari al-Mughirah al-Dhabbiyyi dari ‘Abdul ‘Aziz bin Rafi’ dari Abi Soleh dari Abi Hurairah.
 
Status:
 
Saya katakan hadith ini Munkar. Telah tafarrud (menyendirinya) Baqiyyah meriwayatkannya dari Syu’bah, sedangkan tiada satupun ashab Syu’bah lain membawa riwayat ini.
 
Sesungguhnya telah tersilap Baqiyyah dalam menyatakannya ia dari Syu’bah, dan sesungguhnya hadith ini bukanlah dari Syu’bah pun!
 
Hadith ini diingkari oleh jamaah huffaz hadith Salaf semisal al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Imam Abu Hatim, al-Imam al-Daraquthni.
 
Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dengan sanad yang Sahih dalam al-Tarikh bahawa berkata al-Imam Ahmad:
 
“Telah diberitakan kepadaku bahawa Baqiyyah meriwayatkan dari Syu’bah dari Mughirah dari ‘Abdul ‘Aziz bin Rafi’ dari Abi Soleh dari Abi Hurairah berkenaan dua ‘eid (solat ‘eid dan solat jumaat) yang berlaku dalam hari yang sama, dari mana Baqiyyah mengambil perkara ini!!!”. Al-Imam Ahmad mengingkari riwayat ini dengan seingkar-ingkarnya.
 
Berkata al-Imam al-Daraquthni “hadith ini Gharib dari hadith Mughirah, tiada yang meriwayatkannya selain Syu’bah bahkan ianya juga Gharib dari Syu’bah! Tiada yang meriwayatkannya dari Syu’bah selain Baqiyyah..”
 
Bahkan berkata al-Imam Ibn ‘Abdil Barr dalam al-Tamhid (272/10):
 
“Hadith ini tidak diriwayatkan dari Syu’bah walaupun dari seorang yang thiqah dari kalangan ashabnya (muridnya) yang huffaz, sebaliknya ia diriwayatkan oleh Baqiyyah bin al-Walid, dan ia bukanlah hadith Syu’bah pun asalnya! Baqiyyah meriwayatkan hadith ini dari ahli negerinya iaitu Syam dan baginya kelemahan, kebanyakan ahli ilmu (ahli hadith) menDhaifkan riwayat Baqiyyah yang beliau riwayat dari orang-orang Syam dan selainnya, dan baginya hadith-hadith Munkar! Dan beliau Dhaif tidak dibuat hujah”
 
Kedua: Hadith Abdullah bin Abbas
 
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ)).
 
Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”.
 
Takhrij:
 
Dikeluarkan oleh Ibn Majjah (1311), telah menceritakan kami Muhammad bin al-Musoffa al-Himsi telah menceritakan kami Baqiyyah telah menceritakan kami Syu’bah telah menceritakanku Mughirah al-Dhabbiyyi dari ‘Abdul ‘Aziz bin Rafi’ dari Abi Soleh dari Ibn ‘Abbas secara marfu’.
 
Status:
 
Saya katakan hadith ini Munkar! Telah tersilap Ibn Majjah dalam meriwayatkan hadith ini sebagai hadith Ibn ‘Abbas, yang benar ia adalah hadith Abi Hurairah dan statusnya adalah Munkar sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
 
Berkata guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary:
 
“Demikian membawanya Ibn Majjah dengan sanad ini dari Ibn ‘Abbas, dan ia silap! Sanad yang betulnya ialah sebagaimana yang dikeluarkan Abu Daud dengan sanad dari Abi Hurairah, dan ia adalah sebagaimana yang telah dijelaskan secara rinci sebelum ini bahawa ia adalah muttarib munkar matan”
 
Ketiga: Hadith Zaid bin Arqam
 
مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْن
َ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: (مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ) 
 
Mu’awiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam: Pernahkah kamu meyaksikan dua hari ‘eid yang bertepatan pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid kemudian Baginda memberikan rukhshah (kelonggaran) bagi solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), maka solatlah.”
 
Takhrij:
 
Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (372/4), al-Darimi (1612), al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (438/1), Ibn Majjah (1310), al-Bazzar dalam Musnad al-Mua’ll (4337), Abu Daud (1070), al-Nasaie (194/3), Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasar al-Mukhtasar (1474), kesemuanya dari jalur Israil telah menceritakan kami Uthman bin al-Mughirah dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syaamii katanya “daku melihat Mu’awiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam…- seperti di atas – ”
 
Status:
 
Saya katakan hadith ini Dha’if Munkar! Baginya beberapa kecacatan:
 
1- Iyas bin Abi Ramlah al-Syaamii adalah Majhul.
 
Berkata guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary: “walaupun Iyas merupakan kalangan majhul dari tabi’in yang memungkinkan riwayatnya diterima dengan qarain dan husn zhan, namun bagi hadith ini ia tidak menepati syarat untuk menerimanya kerana matannya munkar, menyalahi usul serta bertentangan dengan hadith yang thabit dari al-Nu’man bin Basyir yang menyatakan Nabi SAW tetap melaksanakan Jumaat walaupun ‘eid pada hari Jumaat”
 
2- Bersama-sama dengan Majhulnya Iyas, beliau juga tefarrud (menyendiri) membawa riwayat ini dari Mua’wiyah bin Abi Sufyan.
 
Hadith ini telah diDha’ifkan oleh para huffaz Salaf, antaranya oleh Ibn Khuzaimah sendiri dengan katanya “In Sahha l-Khabar / إن صح الخبر (jika benarlah khabar ini sahih / Jika benar khabarnya).
 
Perlu diketahui bahawa bentuk lafaz syak “In Sahha l-Khabar” ini adalah salah satu bentuk isyarat pendha‘ifan oleh Imam Ibn Khuzaimah. Ini adalah manhaj/ metod yang digunakan oleh Imam Ibn Khuzaimah dalam kitab Sahihnya, iaitu apabila beliau menyebut “In Sahha l-Khabar” dalam Kitab Sahihnya ia menunjukkan bahawa hadith itu Dha‘if di sisinya.
 
Juga diDhaifkan oleh al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal (1052) dengan membawa kata Ibn al-Munzir katanya: “ini tidaklah thabit, sesungguhnya Iyas adalah Majhul”.
 
Keempat: Hadith ‘Abdullah bin ‘Umar.
 
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا)) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ)) 
 
Dari Ibn ‘Umar katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh”
 
Takhrij:
 
Dikeluarkan antaranya oleh Ibn Majjah (1302), Ibn ‘Adiy dalam al-Kamil (456/6), Ibn al-Jauzi dalam al-Tahqiq Fi Ahadith al-Khalaf (797), dari jalur Jubarah bin al-Mughallas telah menceritakan kami Mindal bin ‘Ali bin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Umar dari Nafi’ dari Ibn ‘Umar secara marfu’
 
Juga dikeluarkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir (435/12591/12) dari jalur Said bin Rasyid al-Simak telah menceritakan kami ‘Atha bin Abi Rabah dari Ibn ‘Umar secara marfu’ dengan sediiit beza lafaz.
 
Status:
 
Saya katakan hadith ini Dhaif, bahkan Maudhu’ Batil! Baginya beberapa penyakit:
 
1- Kedua-dua Jubarah dan Mindal adalah Dhaif. Jubarah lebih parah dhaifnya antara keduanya.
 
Bahkan Jubarah banyak mendustakan hadith sebagaimana yang dijelaskan al-Imam Yahya Ibn Ma’in, al-Imam Ahmad bin Hanbal  serta al-Imam Abu Zur’ah.
 
2- Said bin Rasyid adalah muttaham, berkata al-Imam Ibn Ma’in tentangnya “tiada nilainya”, berkata pula al-Imam al-B
ukhari serta al-Imam Abu Hatim “Munkarul hadith”, bahkan berkata al-Nasaie “Matruk al-Hadith”.
 
Hadith ini diDhaifkan oleh para huffaz semisal al-Imam Ajmad bin Hanbal, al-Imam Ibn ‘Adiy, Ibn Majjah dan lainnya. Bahkan berkata guru saya Syaikhul hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary “batil”.
 
Fiqh al-Hadith:
 
Bagaimana dengan hukum solat Jumaat pada hari `Eid? sesetengah fuqaha’ berpendapat bahawa bagi mereka yang telah pergi menunaikan solat `Eid tidak wajib lagi untuk pergi melaksanakan solat Jumaat.
 
Pendapat ini amat lemah, kerana tiada satupun dalil Sahih yang menyatakan bolehnya meninggalkan solat Jumaat sekiranya telah melakukan solat `Eid, semua hadith dalam hal ini kesemuanya cacat diingkari oleh para huffaz hadith Salaf. Bahkan berkata Imam Ibn ‘Abdil Barr:
 
 “Tidaklah  boleh  bagi  seorang  muslim  berpendapat  gugurnya  kefardhuan (kewajipan)  solat  Jumat  –  apabila  jatuh  ‘Eid  pada  hari  Jumaat  –  ,  sedang  Allah  ‘Azza Wa  Jalla  telah  wajibkan  kepadanya  dengan  kataNya:  {bermaksud- Wahai  orang-orang  yang  beriman! Apabila  diserukan  azan  untuk  mengerjakan  solat  pada  hari  Jumaat,  maka  segeralah kamu  pergi  (ke  masjid)  untuk  mengingati  Allah  (dengan  mengerjakan  solat  Jumaat)}, tidaklah  Allah  dan  RasulNya  bezakan  hari  ‘Eid  atau  selainnya  dari  segi  hujah kewajipannya,  maka  bagaimana  mungkin  seseorang  berpendapat  gugurnya  solat Jumaat…tiadalah  baginya  sebarang  hadith  –  yang  menggugurkan  kewajipan  solat Jumaat  apabila  jatuh  pada  hari  ‘Eid  –  melainkan  ia  dikritik  dengan  kecacatan  disisi para  ahli  ilmu  dalam  hadith  (iaitu  para  ahli  hadith)”  [Rujuk:  al-Tamhid,  10/277]
 
Dengan  itu  berkata  Imam  Ibn  Hazm:
 
“Apabila  berhimpunnya  hari  ‘Eid  pada  hari  Jumaat,  tidak  dapat  tidak mestilah  solat  untuk  ‘Eid,  kemudian  solat  untuk  Jumaat  pula,  tidaklah  sahih  akan athar-athar  yang  menyalahi  hal  ini”  [Rujuk:  al-Muhalla,  3/303]
 
Dalam  hal  ini  terdapat  4 hadith  marfu’  dan  beberapa  athar  yang  mauquf, kesemuanya  adalah  Dha’if  dan  cacat,  bahkan  Munkar.  Hal  ini  sebagaimana  yang telah  dijelaskan  secara  terperinci  oleh  guru  kami  Syaikhuna  al-Muhaddith  Abu Muhammad  Ahmad  Shihatah  al-Alfy  al-Sakandary  dalam  kitabnya  “al-Lum’ah  Bi Bayan  Anna  Solat  al-`Eid  La  Tujzi  `An  Solah  al-Jumu’ah”,  dan  juga  oleh  guru  kami Syaikhuna  al-Muhaddith  ‘Amru  ‘Abdul  Mun’im  Salim  al-Misri  dalam  kitabnya  “Tahsil Maa  Faat  al-Tahdis  Bimaa  Qila  La  Yasih  Fihi  Hadith”.  Yang  rajih  ialah  solat  `Eid  itu wajib  dan  solat  Jumaat  juga  kekal  wajib.
 
~ Dr. Fathi al-Sakandary ~
 

Komen dan Soalan