Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil Hukum solat Juma`at apabila hari `Id jatuh pada hari Juma`at.

Hukum solat Juma`at apabila hari `Id jatuh pada hari Juma`at.

177
0
Iklan
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
86. Hukum solat Juma`at apabila hari `Id jatuh pada hari Juma`at.
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ
“Wahai orang beriman! Apabila diserukan kepada solat pada hari Juma`at, bersegeralah kalian mengingati Allah.” – Al-Jum`ah, ayat 9.
 
كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يقرأُ ، في العيدينِ وفي الجمعةِ ، بسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى ، وهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ . قال : وإذا اجتمع العيدُ والجمعةُ ، في يومٍ واحدٍ ، يقرأُ بهما أيضًا في الصلاتيْنِ .
الراوي : النعمان بن بشير | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 878 | خلاصة حكم المحدث : صحيح
“Rasulullah ﷺ membaca surah Al-A`la dan surah Al-Ghasyiyah dalam kedua-dua solat `Id dan dalam solat Juma`at.” Katanya: “Apabila berhimpun `Id dan Juma`at pada hari yang sama, baginda membaca kedua-dua surah tersebut dalam kedua-dua solat.” – Shahih Muslim, no. 878.
 
قال أبو عُبَيْدٍ: ثم شهِدتُ العيدَ مع عُثمانَ بنِ عَفانَ، فكان ذلك يومَ الجُمُعَةِ، فصلَّى قبلَ الخُطبَةِ، ثم خطبَ فقال : يا أيُّها الناسُ، إنَّ هذا يومٌ قَدِ اجتمعَ لكُم فيهِ عيدانِ، فمن أحبَّ أن يَنتَظِرَ الجمعةَ مِن أهلِ العَوالي فلينتظِرْ، ومن أحبَّ أن يَرجِعَ فقد أذنتُ له.
الراوي : أبو عبيد | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 5572 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
Kata Abu `Ubaid: Aku menyaksikan `Id bersama `Utsman, dan hari itu adalah hari Juma`at. Lalu `Utsman solat sebelum khutbah, kemudian berkhutbah: “Wahai manusia! Sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun dua `Id (yakni `Id Al-Adha dan hari Juma`at). Sesiapa daripada ahli `awali (penduduk yang datang dari pedalaman) yang ingin menunggu solat Juma`at, silakan tunggu. Sesiapa yang ingin pulang, maka aku izinkan baginya.” – Shahih Al-Bukhari, no. 5572.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang hukum solat Juma`at bagi individu yang telah mengerjakan solat `Id pada sebelah pagi; sebahagiannya mengatakan solat Juma`at tidak lagi wajib, sedangkan sebahagian yang lain tetap mewajibkannya.
 
2. Pendapat yang lebih kuat adalah pendapat yang tetap mewajibkannya, kerana:
 
(a) Al-Qur’an telah mewajibkan soat Juma`at tanpa menyebutkan sebarang pengecualian.
 
(b) Hadits An-Nu`man bin Basyir menjadi dalil bahawa Nabi ﷺ mengerjakan kedua-dua solat `Id dan solat Juma`at, dan baginda membaca surah Al-A`la dan surah Al-Ghasyiyah dalam kedua-dua solat tersebut.
 
(c) Semua hadits yang memberikan keringanan untuk tidak mengerjakan solat Juma`at tidak terlepas daripada kritikan, kecuali hadits `Utsman bin `Affan yang memberikan keringanan kepada ahli `awali.
 
(d) Dalam hadits Abu `Ubaid, jelas menunjukkan bahawa `Utsman hanyalah memberikan keringanan kepada ahli `awali, kerana pada zaman tersebut solat Juma`at hanya dilakukan di masjid utama sahaja seperti di Madinah. Oleh itu, perintah supaya mereka menunggu untuk solat Juma`at atau kembali ke bandar untuk solat Juma`at hanyalah memberatkan mereka.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan