Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Q&A bersama Dr. Fathi al-Sakandary siri #4

Q&A bersama Dr. Fathi al-Sakandary siri #4

182
0
Iklan

S38: Boleh dr berikan contoh abwab yg mengisyaratkan ‘ilal dalam kitab shahih al bukhari?

J38: Ini adalah soalan yang sangat baik bahkan penting. Baik, para fuqaha’ biasa berkata bahawa fiqh dari al-Bukhari terletak pada tajuk babnya, maka wajib bagi ahli hadith pula berkata ‘ilal dari al-Bukhari terletak pada tajuk babnya. Perlu diketahui, antara manhaj (metod) al-Bukhari meng’ilalkan sesuatu hadith ialah dengan memberi isyarat pada tajuk bab dalam kitabya al-Sahih.

Contohnya hadith yang dikeluarkan Muslim al-Hajjaj dalam Jami’nya al-Sahih daripada Habib bin Abi Thabit dari Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas dari Ayahnya dari ‘Abdullah bin ‘Abbas, yang mengisahkan bahawa Ibn ‘Abbas bermalam di rumah Maimunah, sebuah hadith panjang yang dalamnya disebut bahawa Nabi keluar pergi bersolat fajar ke masjid sambil berdoa

اللهمَّ ! اجعلْ في قلبي نورًا ، وفي بصري نورًا ، وفي سمعي نورًا

hadith ini menjadi dalil sunnahnya membaca doa ini untuk pergi ke masjid, iaitu doa keluar pergi ke masjid. Hadith ini dengan lafaz ini adalah Munkar, puncanya ialah kesilapan Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas yang terkeliru ingatannya, beliau tafarrud (menyendiri) meriwayatkan hadith ini dengan lafaz ini. Lafaz yang mahfuz (betul) ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh para ashab Ibn ‘Abbas lainnya terutamanya Kuraib maula ‘Abdullah bin ‘Abbas dari ‘Abdullah bin ‘Abbas akan hadith yang sama dengan kisah yang sama cuma disebut bahawa Nabi membaca doa ini ketika bangun untuk bersolat qiam malam, bukannya ketika keluar menuju masjid untuk solat fajar, maka yang mahfuz ialah doa ini adalah doa ketika qiam malam. Lafaz Kuraib ini yang rajih kerana beliau merupakan awsaq al-naas bagi hadith-hadith Ibn ‘Abbas, beliau adalah perawi yang paling jitu dalam meriwayatkan hadith-hadith dari Ibn ‘Abbas.

Siapakah yang meng’ilalkan hadith ini? Jawabnya adalah al-Bukhari dalam Jami’nya al-Sahih, bahkan juga Muslim turut meng’ilalkannya dalam Jami’nya al-Sahih! Bagaimana cara al-Bukhari meng’ilalkan hadith ini? Beliau meng’ilalkannya dengan isyarat dalam tajuk bab dalam kitabnya al-Sahih, iaitu beliau membuat bab bertajuk “bab doa apabila terjaga waktu malam” kemudian mengeluarkan hadith ini dengan lafaz yang mahfuz dari Kuraib. Tajuk bab yang dibuat alBukhari ini adalah isyarat akan Dha’ifnya lafaz hadith Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas, iaitu al-Bukhari ingin memberitahu bahawa Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas telah silap menjadikannya doa keluar menuju ke masjid, sedangkan yang betul ia adalah doa ketika bangun qiam malam. Ini adalah isyarat al-Bukhari, iaitu apabila al-Bukhari membuat satu tajuk bab dalam kitabnya alSahih yang bertentangan dengan hadith yang di luar kitabnya, itu adalah isyarat akan Dha’ifnya hadith tersebut.

Bagaimana pula Muslim mengisyaratkan ‘ilal bagi hadithi ini? Muslim meng’ilalkan hadith ini dalam kitabnya al-Sahih dengan mengeluarkan hadith ini dari jalur Kuraib dengan lafaz doa ini sebagai doa bangun qiam malam pada awalnya, kemudian beliau membawa semua jalur-jalur lain bagi hadith ini, kemudian di akhir-akhir itu barulah beliau mengeluarkan hadith ini dari jalur Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas dengan lafaz doa ini sebagai doa keluar ke masjid. Ini adalah isyarat dari Muslim akan Dha’ifnya lafaz hadith Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas. Berbeza dengan al-Bukhari yang mengisyaratkan ‘ilal bagi hadith dengan tajuk bab, Muslim pula mengisyaratkan ‘ilal hadith dengan cara susunan hadith-hadith dalam kitabnya, iaitu beliau akan mengeluarkan hadith yang paling mahfuz paling kuat jalurnya serta matannya, kemudian membawa hadith yang kurang sedikit tahap kekuatannya dari segi jalur dan matannya, sehinggalah yang Dha’if di akhir-akhir. Mereka yang meneliti kitab Muslim akan mengenal metod ini, antara buku yang baik membicarakan metod Muslim ini ialah karya guru saya al-Syaikh Dr. Hamzah al-Malibari bartajuk “Abqariah al-Imam Muslim”, dianjurkan menela’ah buku ini. Baik, demikianlah satu contoh dari sekian banyak contoh akan cara al-Bukhari dan Muslim mengisyaratkan ‘ilal dan Dha’ifnya sesuatu hadith dalam kitab mereka al-Sahihain. Allah Maha Mengetahui.

 

S39: Apa perbezaan riwayat bil makna dan riwayat bil lafzi? Benarkah ada ulama hadith yang melarang riwayat bil makna?

J39: Allah SWT mencipta manusia dan menetapkan mereka kapasiti yang berbeza-beza, ada yang gagah serta ada yang lemah, begitu juga ada kuat hafazannya serta ada yang tidak begitu kuat. Berdasarkan kapasiti kekuatan hafazan ini maka wujud para rawi yang menghafaz serta meriwayatkan lafaz hadith sebagaimana yang dia dengar dan ini dinamakan riwayat dengan lafaz, manakala ada pula yang menghafaz maksud isi (intipati) saja serta tidak terikat dengan lafaz, dia meriwayatkan hadith dengan lafaz sendiri bukannya sebagaimana yang dia dengar dan ini dinamakan riwayat dengan makna. Riwayat dengan lafaz adalah lebih awla secara mutlak berbanding riwayat dengan makna. Ini kerana riwayat dengan makna terdedah kepada kesilapan, dengan itu para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum meriwayatkan hadith dengan makna, ada yang melarangnya secara mutlak seperti ‘Umar alKhattab, Zaid bin Arqam, ‘Abdullah bin ‘Umar dan lainnya, manakala ada pula yang mengharuskan riwayat dengan makna dengan syarat-syarat, serta ada pula yang melarang riwayat dengan makna untuk hadith Nabi tetapi mengharuskannya untuk selain hadith Nabi seperti untuk kata-kata Sahabat atau Tabi’in, ada pula yang mengharuskannya untuk hadith yang panjang-panjang saja, dan lainnya syarat. Perbahasan rinci berkenaan hal ini beserta contoh-contoh, saya anjurkan menela’ah buku karya guru saya al-Syaikh Dr. Maher Yasin al-Fahl bertajuk “al-Jami’ fi al-‘Ilal wa al-Fawaid”, jilid ketiga. Allah Maha Mengetahui.

 

S40: Jika kerja tashih dan tadh’if telah selesai dilakukan oleh imam dan huffaz mutaqaddimin maka apakah “kerja-kerja ilmu hadis” yg boleh dilakukan oleh muhaddith mutaakhirin dan muasirin

J40: Kerja tashih dan tad’if sememangnya telah selesai di lakukan para huffaz Salaf, mereka mengembara mengumpul hadith sekaligus mentahqiq Sahih dan Dha’ifnya. Namun bukan semua mereka menyatakan status hadith secara jelas seperti amalan al-Tirmizi dalam Jami’nya, ada yang menjelaskan status hadith dengan isyarat-isyarat, seperti amalan al-Bukhari yang mengisyaratkan ‘ilal bagi sesuatu hadith di luar al-Sahih dengan tajuk-tajuk bab dalam kitab Sahihnya, serta ada yang mengisyaratkan ‘ilal dengan cara susunan hadith semisal amalan Muslim dalam al-Sahih serta al-Nasaie dalam al-Kubra, dan lainnya cara.

Maka bolehlah kita katakan, antara tugas utama ahli hadith Mutaakhkhirin ialah mengkaji manhaj setiap para huffaz hadith Mutaqaddimin dalam tashih dan ta’lil, manhaj mereka dalam buku-buku mereka, isyarat-isyarat mereka, maksud istilah yang mereka gunakan kerana banyak istilah yang sama tetapi digunakan dengan maksud berbeza, semua ini penting untuk dikaji agar kita tidak salah faham membaca kalam-kalam huffaz serta tidak terlepas isyarat-isyarat mereka. Ini contoh satu tugas utama dalam
sekalian banyak tugas ahli hadith mutaakhkhirin. Allah Maha Mengetahui.

 

S41: Siapa yg mula2 memperkenalkan status taraf hadis dan mengapakah ulama tidak memasukkan hadis dhaif dalam kategori hadis maudhu’?

J41: Semasa Nabi SAW masih hidup, para Sahabat tidak mempersoal taraf hadith, namun selepas kewafatannya Baginda SAW dan timbul zaman fitnah maka para Salaf mula bertanya sumber hadith dan melihat Sahih dan Dha’ifnya. Hadith Maudhu’ termasuk jenis hadith Dha’if, bahkan ia adalah seburukburuk Dha’if. Allah Maha Mengetahui.

 

S42: Apakah makna hadith qudsi?

J42: Hadith qudsi ialah hadith Nabi yang perkatannya mengatakan Allah berkata, disandarkan perkataan itu kepada Allah dan diriwayatkan daripadaNya, ringkasnya ia adalah kata Allah yang disampaikan kepada Nabi dalam mimpi atau ilham, kemudian Nabi menerangkan apa yang disampaikan itu kepada para Sahabat dengan susunan perkataan Baginda sendiri dan menyandarkan kepada Allah SWT, contohnya Nabi berkata; “Allah berkata “wahai Anak Adam…”. Perlu diketahui bahawa hadith qudsi
adalah sama seperti hadith lainnya, ada yang Sahih, Dha’if, Palsu. Telah silap dengan kesilapan yang amat besar mereka yang apabila mendengar hadith qudsi maka mereka mengangka ia Sahih secara automatik. Allah Maha Mengetahui.

 

S43: Adakah syarah hadis spt berikut: “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kamu semua sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan dalamnya al-Baqarah…” bermaksud larangan membaca quran di kubur. Dan apakah benar ibn-Qayim dan imam an Nawawi menganggap bacaan al-Quran di kubur itu adalah amalan yg baik. Dan adakah hadis atau atsar tentang amalan para salaf membaca quran di kubur.

J44: Ya hadith tersebut Sahih dan merupakan satu dalil yang menunjukkan keharaman membaca alQur’an di kubur bagi sebahagian fuqaha’. Perkara penting yang perlu difahami ialah, permasalahan membaca al-Qur’an di kubur merupakan khilaf muktabar antara para imam mazhab, al-Syafie membolehkan, sedang Malik, Abu Hanifah serta Ahmad tidak membolehkan, dan dalam pendapat yangg lain Ahmad membolehkan hanya ketika pengebumian dan tidak selepas itu. Mereka yang membolehkan berdalilkan riwayat Ibn ‘Umar yang mewasiatkan agar membaca al-Baqarah di kuburnya setelah dikebumikan, riwayat ini diperselisihkan statusnya, dan ini menjadi titik perbezaan pendapat. Seperkara lain, mereka yang membolehkan membaca al-Quran di kubur bukanlah bermaksud bersedekah pahala bacaan itu. Allah Maha Mengetahui.

 

S44: Mohon pencerahan Dr Fathi tentang pembahagian Sunnah kepada Sunnah Tasyri’iyyah dan Sunnah
Ghair Tasyri’iyyah.

J44: Sunnah syariat ialah setiap sunnah yang dilakukan serta diajarkan Nabi dengan panduan wahyu, misalnya menutup aurat, ini adalah sunnah syariat dalam bab pemakaian yang hukumnya wajib, contoh lain pula ialah kewajipan memakan dengan tangan kanan, anjuran membaca basmalah, ini sunnah syariat dalam bab pemakanan, contoh lain anjuran memperbaharui wudhu’ apabila menyentuh kemaluan dan lainnya. Manakala sunnah bukan syariat ialah amalan yang dilakukan Nabi bukan sebab wahyu namun sebab Baginda adalah manusia berbangsa arab, misalnya memakai serban, ia contoh sunnah bukan syariat dalam pemakaian, contoh lain ialah menaiki unta, berubat dengan berbekam dan lainnya semisal. Allah Maha Mengetahui.

 

S45: Dalam hadis riwayat al-Bukhari berkaitan Nabi SAW mendengar bunyi selipar Bilal dlm syurga kerana solat Wudhuk. Mohon pandangan dari persetujuan Nabi SAW atas perbuatan Bilal (solat wudhuk) tanpa
anjuran Nabi @ adakah Nabi SAW juga buat solat Wudhuk. (soalan 2 in 1)

J45: Bilal (Allah redha atasnya) tidak melakukan perkara baru, solat dua rak’at setelah wudhu sememangnya dianjurkan Nabi SAW dan ia memang disyariatkan berdasarkan hadith Sahih yang dikeluarkan Muslim berbunyi:

فيصلّي ركعتَينِ . مُقبلٌ عليهما بقلبهِ ووجههِ . إلا وجبتْ لهُ الجنةُ

Terjemahan: “Tidaklah seorang Muslim berwudhu’ dengan sebaik-baiknya (sesempurnanya) kemudian mengerjakan solat dua rak’at dengan menghadirkan jiwa dan menghadapkan wajahnya, melainkan telah wajib baginya syurga”.

Maka jelas di sini Bilal tidak mereka-reka amalan, beliau hanya melakukan amalan yang sememangnya telah disyariatkan serta dianjurkan Nabi, secara konsisten. Allah Maha Mengetahui.

 

Komen dan Soalan