Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 01.08.12 #230315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits: Musnad Ahmad

01.08.12 #230315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits: Musnad Ahmad

456
0
Iklan

 

Nota 01.08.12 Mengenal Kitab-kitab Hadits : Susunan oleh BroSyarief

MUSNAD AHMAD

Dinamakan Musnad, kerana hadits-haditsnya disusun mengikut tertib nama sahabat sebagai periwayat yang tertinggi. Penulisnya, bernama Ahmad ibn Hanbal asy-Syaibani, imam mazhab Hanbali. Beliau dilahirkan pada tahun 164H di Baghdad, dan meninggal di Baghdad pada tahun 241H. Beliau telah mengembara ke Yaman, Mesir, Syam dan banyak tempat lain, sehingga berjaya mengumpul dan menghafal sekitar 1,000,000 hadits.

Di antara guru-guru beliau ialah:

  1. Husyaim ibn Abi Basyir
  2. Sufyan ibn ‘Uyainah
  3. al-Qadhi Abu Yusuf
  4. Muhammad ibn Idris say-Syafi’i
  5. Abdullah ibn al-Mubarak
  6. Waki’ ibn al-Jarrah
  7. Abu Bakr ibn ‘Ayyash

Dan ramai lagi.

Kitab beliau, Musnad Ahmad, mengandungi 27,100 hadits (mengikut kiraan Dar Ihya at-Turats al-‘Arabi) dan beliau meriwayatkan hadits-hadits tersebut dengan sanad yang bersambung kepada 1,056 sahabat.

Menurut Syaikh Ahmad asSa’atiy:

Hadits-hadits di dalam Musnad Ahmad terbahagi kepada beberapa kategori:

  1. Hadits-hadits yang diriwayatkan oleh anak Imam Ahmad, iaitu Abdullah, yang mendengarkan hadits-hadits tersebut secara langsung dari Imam Ahmad. Jumlah hadits ini adalah majoriti melebihi 3/4 dari keseluruhan hadits-hadits.
  2. Hadits-hadits yang didengarkan oleh Abdullah dari ayahnya dan juga dari selain ayahnya. Jumlah hadits yang sifat sanadnya sebegini adalah sangat sedikit.
  3. Hadits-hadits yang Abdullah riwayatkan dari selain ayahnya, dan dinamakan Zawaiad Abdullah, jumlahnya agak signifikan.
  4. Hadits-hadits yang Abdullah tidak bacakan atau dengarkan dari ayahnya, tapi dia menjumpainya tertulis di dalam kitab ayahnya dengan tulisan tangan ayahnya sendiri.
  5. Hadits-hadits yang diriwayatkan oleh al-Qathi’iy, di antara periwayat dalam Musnad Ahmad, dan jumlah haditsnya paling sedikit dan disebut sebagai Zawaaid al-Qathi’iy.

Di antara keistimewaan Musnad Ahmad:

  1. Susunannya mengikut nama-nama sahabat mengikut keutamaan mereka. Bermula dengan 10 sahabat yang dijanjikan syurga, ahli keluarga Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, dan lain-lain.
  2. Sangat banyak periwayatannya.
  3. Ianya paling sahih di kalangan kitab-kitab Musnad.

Sementara kitab-kitab yang mensyarahkan Musnad Ahmad, di antaranya:

  1. Bulugh al-Amaani min Asrar al-Fath al-Rabbaniy, oleh Ahmad as-Saa’aatiy
  2. al-Qaul al-Musaddad fi al-Zab ‘an al-Musnad lil-Imam Ahmad

walLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Muhammad Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

 

Komen dan Soalan