Iklan
Nota 01.08.03 Pemeliharaan Sunnah
Susunan: BroSyarief
Penulisan Hadits dan Pengumpulannya Bermula Kurun ke-2
Apabila Islam semakin berkembang, timbul kerisauan kerana generasi sahabat yang membawa dan menghafal hadits semakin sedikit.
Tak cukup dengan itu, hadits-hadits yang tak dikenal dan direka pula semakin banyak, terutama oleh puak Rafidhah yang banyak mencipta hadits-hadits palsu.
Situasi ini telah mendorong Umar ibn Abd Aziz (w.101H) mengusahakan gerakan penulisan dan pengumpulan hadits secara aktif dan rasmi.
Dia kemudiannya meminta gabenornya di Madinah, Abu Bakr ibn Muhammad ibn ‘Amr ibn Hazm untuk memulakan usaha ini dengan mengumpulkan dan membukukan hadits dari ‘Amrah bint Abdul-Rahman (murid Aisyah radhiyalLahu ‘anha) dan juga dari al-Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakr yang banyak menghafal hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.
Dan dikatakan orang yang pertama berjaya memenuhi usaha ini hasil permintaan Umar ibn Abd al-‘Aziz ialah Ibn Syihab az-Zuhri, yang mana beliau memang sedang mengumpulkan hadits-hadits dan sirah, maka dihimpunkan hadits Madinah, dan dihantar kepada Umar ibn Abd al-Aziz.
Setelah itu ramai ulama-ulama terkemuka mula bersemangat mencari, mengumpulkan dan membukukan hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam sehingga timbulnya pelbagai jenis penulisan hasil pengumpulan dan pembukuan hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.
Di bawah ini diceritakan ringkasan fokus dan kaedah penulisan hadits secara umum bermula kurun ke-2:
Pertengahan pertama kurun ke-2: Fokus hanya kepada mengumpulkan hadits tanpa sebarang tertib dan susunan topik, semata-mata untuk memastikan ia tidak hilang dan terjaga dari diubah-suai menjadi palsu.
Pertengahan ke-2 kurun ke-2 dan Suku pertama Kurun ke-3: Mula mengkhususkan pembukuan hadits yang bersambung sanadnya pada satu topik yang sama atau beberapa topik yang berkaitan antara satu sama lain. Dan ketika ini, penulisan mereka bercampur juga dengan kata-kata sahabat dan fatwa-fatwa tabi’in. Contoh penulisan di peringkat ini adalah az-Zuhd oleh Ibn al-Mubarak, al-Fitan oleh Nu’aim ibn Hammad, Mushonnaf Abd al-Razzaq dan banyak lagi.
Suku ke-2 Kurun ke-3: Bermulanya penulisan khas yang berfokus kepada hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam sahaja berbanding kata-kata sahabat dan selainnya, dan masih belum membezakan antara yang Sahih dan Dha’if. Seperti Musnad Musaddad, Musnad Ibn Abi Syaibah, Musnad Ahmad dan lain-lain.
Pertengahan ke-2 kurun ke-3: Fokus kepada hadits yang Sahih dan mengurangkan hadits yang bermasalah di dalam satu-satu penulisan. Ataupun diletakkan juga hadits-hadits yang Dha’if tetapi dinyatakan dan disebutkan status penilaian terhadap hadits tersebut. Seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Jaami’ at-Tirmizi, Sunan Abu Dawud, Sunan an-Nasaie, dan lain-lain.
Kurun ke-4 dan ke-5: Berterusan usaha pengumpulan dan pembukuan hadits sehingga ke hujung kurun ke-5, dan kaedah penulisan semakin bervariasi. Ada yang menyusun mengikut bab (al-Abwab), ada yang menyusun ikut susunan nama sahabat (al-Musnad), ada menyusun ikut susunan huruf (al-Mu’jam) dan pelbagai lagi. Seperti Sahih Ibn Hibban, Sahih Ibn Khuzaimah, Mustadrak al-Hakim dan banyak lagi.
Kurun-kurun seterusnya: Berkembangnya penulisan hadits kepada kajian, semakan, syarahan, ringkasan dan pelbagai usaha yang masih berterusan hingga sekarang.
Pada nota seterusnya kita akan berkenalan dengan kitab-kitab hadits yang utama dan mengenali penulis-penulisnya. In Sya Allah.
walLaahu a’lam
Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Muhammad Abullayts KhairAbaadi.
#BroSyariefShares