Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Q&A bersama Dr. Fathi al-Sakandary siri #3

Q&A bersama Dr. Fathi al-Sakandary siri #3

489
0
Iklan

S31: Hadis jabir tentang nur Muhammad?  apakah komentar para ahli hadis mengenainya.

J31: Hadith Maudhu’ palsu kesemuanya, tiada baginya asal, bukan hanya ia diakui palsu oleh para ulama yang teguh atas manhaj salaf bahkan ianya turut diakui palsu oleh mereka yang cenderung kepada sufi. Hadith dinyatakan palsu antaranya oleh al-Syaikh ‘Abdurrahman al-Faqih, serta  al-Syaikh Muhammad Ahmad ‘Abdul Qadir al-Syanqithi, bahkan berkata al-Syaikh ‘Abdullah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari : “telah datang dalam bab ini hadith-hadith yang Maudhu’ Batil”, dan kata beliau lagi: “hadith Munkar Maudhu’ tiada asal baginya langsung dalam kitab-kitab sunnah”, bahkan beliau mencela sekerasnya para sufi yang ghuluw dalam bab ini. Bahkan percaya atau tidak, Hasan al-Saqqaf yang menjadi rujukan ahli bid’ah juga turut mengakui kepalsuan hadith ini! Dianjurkan merujuk risalah yang rinci menjelaskan kebatilan hadith-hadith dalam bab ini karya al-Ghumari bertajuk “Murshid al-Haair Li Bayan Widha’ Hadith Jabir”. Allah Maha Mengetahui.

S32: Apakah status hadith ini? maksud hadis :- Drp Ummi Salamah berkata; Rasulullah bersabda:

أيُّمَا امرأَةٍ ماتتْ وزوجُها عنها راضٍ دخلتِ الجنة

“Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha (kepadanya), nescaya dia masuk syurga.” (alTirmidzi 1077, Ibnu Majah 1844, alHakim dlm alMustadrak 7392)

J32: Hadith Dha’if dengan semua jalurnya, di’ilalkan oleh jamaah huffaz antaranya oleh al-Tirmizi sendiri dengan katanya “Hasan Gharib” (al-Jami’ al-Mukhtasar, 3/466), juga oleh al-Zahabi katanya “khabar ini Munkar” (al-Mizan, 95/4), juga berkata guru saya al-Syaikh Abi Ishaq al-Huweini akan hadith ini: “Munkar” (al-Nafilah, 1/39). Allah Maha Mengetahui.

S33: Dari Abu Hurairah, ia berkata, سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ الْجَنَّةَ فَقَالَ « تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ ». وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ فَقَالَ « الْفَمُ وَالْفَرْجُ » “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam ditanya mengenai perkara yang banyak memasukkan seseorang ke dalam surga, beliau menjawab, “Takwa kepada Allah dan berakhlak yang baik.” Beliau ditanya pula mengenai perkara yang banyak memasukkan orang dalam neraka, jawab beliau, “Perkara yang disebabkan karena mulut dan kemaluan.”
(HR. Tirmidzi no. 2004 dan Ibnu Majah no. 4246)

J33: Hadith Sahih, dikeluarkan al-Tirmizi dan katanya “Sahih Gharib”. Sahih Gharib bermaksud Sahih cuma tahap Sahihnya bawah sedikit. Dianjurkan membaca buku saya “Pengenalan kepada Sunan al-Tirmizi dan Manhajnya”. Allah Maha Mengetahui.

S34: Sesiapa yang membaca surah al ikhlas sebanyak 10 kali dpt ganjaran syurga ?

J34: Hadith Dha’if, yang benar ianya Mursal kepada Sa’id al-Musayyib dan baginya hukum rafa’. Hadith ini datang dengan 2 jalur yang kesemuanya tidak terlepas daripada cacat.

Jalur pertama daripada Zabban bin Faaid dari Sahl bin Muaz bin Anas al-Juhani daripada Ayahnya, ianya Dha’if dan baginya beberapa penyakit:

1-  Zabban bin Faaid yang Dha’if terutama riwayat beliau daripada Sahl yang diambil daripada nuskhah yang palsu sebagaimana kata Ibn Hibban. Berkata Ahmad “hadith-hadithnya Munkar”,  saya katakan ini termasuk antaranya.

2- Sahl bin Muaz bin Anas al-Juhani adalah Dha’if, diDha’ifkan antaranya oleh Ibn Ma’in dan lainnya.

3- Dalam jalur ini terdapat Ibn Lahi’ah serta Rishdin bin Sa’di, kedua mereka juga Dha’if.

Jalur kedua daripada Abu Hurairah, yang datang dengan jalur marfu’ dan juga mursal. Jalur marfu’ adalah Dha’if Munkar dalamnya Ahmad bin Muhammad bin al-Hajjaj yang dikenal mendustakan hadith serta Hani al-Mutawakkil al-Iskandarani yang Munkar al-Hadith. Yang benar ialah riwayat ini Mursal Sahih kepada Sa’id al-Musayyib dengan hukum rafa’. Allah Maha Mengetahui.

S35: Adakah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dzar perihal larangan tidur meniarap itu dinilai dha’if oleh Sheikh Al-Albani? Oleh itu apakah status hadith tidur meniarap?

J35: Hadith larangan tidur meniarap kerana ia adalah cara tidur ahli neraka adalah hadih Dha’if, bahkan tiada satupun riwayat Sahih dalam bab ini. Ianya di’ilalkan oleh jamaah huffaz salaf mutaqaddimin semisal al-Bukhari, al-Daraquthni, Ibn Abi Hatim dan lainnya. Walaupun ia Dha’if, kajian perubatan moden menyatakan tidur dengan meniarap lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Allah Maha Mengetahui.

S36: Berkenaan Hadis tentang habbatussauda’.. Pernah terdengar yang kebaikan habbatus sauda’ ini nabi hnya tujukan kpda kaum arab yg hdup dlm iklim panas.. Sejauh manakah prnyataan ini.. Dan jika ada jenis Hadis yg nabi tujukan kpd ssuatu kaum atau etc, bgaimana ingin mgenali Hadis begini?

J36: Hadith berkaitan kelabihan habbatus sauda’ sebagai penyembuh segala penyakit kecuali mati adalah hadith Sahih. Namun kenapa wujud mereka yang memakan habbatus sauda’ tetapi penyakitnya tidak sembuh?

Jawabnya, keberkesanan habbatus sauda’ adalah dengan berkat pengkhususan doa Nabi SAW, namun kesembuhan itu terletak atas izin Allah SWT, habbatus sauda’ hanya ikhtiar saja, jika Allah izin sembuh maka sembuh, jika tidak maka tidaklah sembuh.

Satu perkara penting yang perlu difahami, hadith ini juga tidak sama sekali bermaksud habbatus sauda’ sahajalah ubat di dunia ini, sebaliknya kenyataan Nabi SAW itu bermaksud habbatus sauda’ adalah ubat yang mengandungi manfaat yang umum, bukan khusus bagi satu jenis penyakit, ini kerana bangsa arab biasa menggunakannya untuk pelbagai penyakit. Hal ini dapat difahami dengan melihat hadith Sahih lain yang menyebut maksudnya:

“Tidaklah Allah menurunkan satu penyakit kecuali diturunkan juga baginya ubatnya, diketahui oleh mereka yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh mereka yang tidak mengetahuinya kecuali al-Sam
Ditanya: Apakah itu al-Sam? Baginda menjawab: mati”

Hadith ini menjelaskan bahawa setiap penyakit yang wujud Allah telah sediakan ubatnya, untuk mengetahui apakah ubat bagi sesuatu jenis penyakit itu seseorang perlu melakukan kajian dan eksperimen, kerana ubat bagi sesuatu penyakit itu hanya akan diketahui oleh mereka yang ingin mengetahuinya dan tidak akan diketahui oleh mereka yang enggan. Hadith ini juga menunjukkan bahawa habbatus sauda’ bukanlah ubat bagi semua penyakit secara mutlak, kerana jika itu adalah kesnya, pasti akan disebut: “Tidaklah Allah menurunkan satu penyakit melainkan habbatus sauda’ adalah ubat baginya”.

Selain itu, jika kita melihat kepada hadith-hadith Sahih akan kita dapati Nabi SAW biasa menganjurkan pelbagai jenis ubat untuk penyakit yang berbeza-beza, bahkan ketika Baginda SAW sakit beliau turut menerima rawatan daripada doktor-doktor Yahudi, dan ia bukan dengan habbatus sauda’. Allah Maha Mengetahui.

S37: Berapa banyak istilah hadis?spt:mutawatir, sahih, hasan, hasan sahih, daif, sgt daif dsb.

J37: Jenis hadith amatlah banyak, bahkan kata guru saya al-Syaikh al-Muhaddith Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary asal jenis hadith itu berjumlah 32 jenis, manakala kata guru saya al-Syaikh al-Muhaddith Thariq `Iwadallah pula ia mencecah ratusan jenis!

Sesetengah jenis hadith yang sangat banyak itu berkait dengan sifat matan, iaitu seperti: al-Marfu’, al-Mauquf, al-Mursal, al-Maqtu dan sebagainya. Dan sesetengahnya pula berkait dengan sifat isnad, iaitu seperti: al-`Ali, al-Nazil, al-Mausul, al-Munqathi’ , al-Mu’allaq dan lain-lain. Manakala sesetengahnya pula berkait dengan kedua-dua sifat matan dan isnad, seperti: Sahih, Dha’if , Maudhu’. Kita akan jelaskan setiapnya apabila sampai babnya dalam kelas mendatang insyaAllah. Allah Maha Mengetahui.

Komen dan Soalan