Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #2 | Bilik Hadith al-Sakandary

Kelas #2 | Bilik Hadith al-Sakandary

300
0
Iklan

Minggu ke-2: Kelas Ulum Hadith Al-Sakandary

Kelas #2: 5 Mac 2015 @ 14 Jumada Awal 1436

 

Bismillah, alhamdulillah, wa ba’d. Minggu lepas kita telah berbincang berkenaan definisi Ulum Hadith serta Mustolah Hadith, dan kita telah melihat beberapa contoh buku-buku dalam Ulum Hadith karya ulama awal yakni Mutaqaddimin, hari ini insyaAllah kita akan lihat sekilas berkaitan penulisan-penulisan penting dalam Ulum Hadith khasnya Mustolah Hadith.

Sekilas berkenaan penulisan-penulisan penting dalam ulum hadith, sejarah serta perkembangannya:

Seperti yang telah saya sebutkan minggu lepas, para ulama hadith Mutaqaddimin yang awal pada zaman keemasan hadith (golden age of hadith) tidaklah menyusun sebuah buku khas dalam bab Ulum Hadith dan Mustolah, kerana mereka beramal dengan ilmu ini secara amali praktikal, disebabkan ini maka kurang penulisan ataupun boleh dikatakan tiada langsung.

Yang dimaksdkan saya di sini ialah buku khas yang membicara cara-cara menilai hadith, cara mengenal yang Sahih dan yang Dha’if, sebagaimana yang biasa kita lihat dalam buku-buku Ulum Hadith atau Mustolah Hadith moden ini.

Sehinggalah datangnya Mutaakhkhirin, zaman kejatuhan kajian hadith, disebabkan kefahaman serta penguasaan atas ulum hadith semakin berkurang, ditambah pula pengaruh luar ilmu kalam serta falsafah dan fiqh meresap dalam ulum hadith, maka mereka mencipta qawaid-qawaid berdasarkan pemerhatian mereka atas amali praktikal para huffaz Mutaqaddimin,

Malangnya mereka bergantung banyak kepada qawaid-qawaid serta mengabaikan qarain-qarain, hingga mereka menjadi terlalu terikat dengan qawaid-qawaid ini, ditambah pula tidak sedikit qawaid-qawaid ini tidak menggambarkan cara sebenar para huffaz mutaqaddimin menilai hadith, sebaliknya ia hanyalah sebagai pendekat secara umum sahaja. Baik.

Antara sumber utama (usul) penulisan dalam Ulum Hadith, seperti yang saya sebutkan pada minggu lepas ialah:

1- Buku-buku Mutun

2- Buku-buku Jarh & Ta’dil

3- Buku-buku ‘Ilal

4- Buku-buku Sualat

5- Buku-buku al-Ajza’

 

Saya telah sebutkan buku-buku mutun semisal al-Jami’ al-Sahih karya al-Bukhari, serta al-Jami’ al-Sahih karya Muslim al-Hajjaj, serta al-Jami’ al-Mukhtasar karya al-Tirmizi, keduanya murid hebat al-Bukhari. Serta Musnad karya Ahmad bin Hanbal, serta Sunan karya Abu Daud, muridnya Ahmad. Serta Muwatta karya Malik, Imam Darul Hijrah, gurunya al-Syafie, dan lain-lain.

Dan saya juga telah sebutkan buku-buku Jarh & Ta’dil semisal al-Thiqat karya al-Ijli, serta al-Tarikh karya Abi Zur’ah al-Dimashqi, serta al-Ma’rifat wa al-Tarikh karya al-Fasawi, serta Muqaddimah al-Jarh wa al- Ta’dil karya Ibn Abi Hatim, anaknya Abi Hatim al-Razi, imam besar Jarh & Ta’dil, sahabatnya Abu Zur’ah al-Razi.

Juga saya telah sebutkan buku-buku ‘ilal semisal al-‘Ilal karya Ibn Abi Hatim, al-‘ilal karya al-Daraquthni, kedua buku ini adalah usul dalam manhaj al-ta’lil (metod meng’ilalkan hadith) bagi mutaqaddimin, bahkan berkata guru saya al-Syaikh al-Muhaddith Abu ‘Ali al-Harith al-Hasani, syaikhul hadith di Darul Hadith Samarra, muridnya al-Syaikh Subhi al-Samarraie: “sesiapa yang menela’ah kedua buku ini dengan mendalam, nescaya akan jelas kepadanya akan kesalahan-kesalahan dalam qawaid ta’lil hadith yang digunapakai oleh Mutaakhkhirin dalam buku-buku mustolah”.

Saya terlupa menyebut buku-buku Sualat pada minggu lepas, buku-buku Sualat (iaitu soalan-soalan) ini adalah himpunan soalan-soalan seorang murid kepada guru-gurunya, misalnya Sualat Ibn Abi Syaibah Li Ibn al-Madini yang merupakan himpunan soalan Ibn Abi Syaibah kepada gurunya ‘Ali ibn al-Madini, juga Sualat Abi Daud Li Imam Ahmad, yang merupakan himpunan soalan Abi Daud kepada gurunya Ahmad bin Hanbal, juga Sualat al-Darimi Li Ibn Ma’in yang merupakan himpunan soalan al-Darimi kepada gurunya Ibn Ma’in.

 

wpid-img_20150521_234823.jpg
Ini contoh, buku Sualat Ibn Abi Syaibah kepada ‘Ali Ibn al-Madini dlm perpustakaan bilik saya..

 

wpid-img_20150521_234828.jpg
Lagi contoh, himpunan kalam-kalam Imam Ahmad dalam ‘ilal hadith, di perpustakaan saya.

 

wpid-img_20150521_234832.jpg
Lagi contoh, buku ‘Ilal al-Hadith karya al-Imam ‘Ali ibn al-Madini, ini edisi tahqiq guru saya al-Syaikh Mazen al-Sirsawiy..

Baik

Sesungguhnya belajar adalah dengan bertanya, dan amalan menghimpunkan jawapan-jawapan kepada soalan-soalan yang ditanya kepada guru merupakan sunnah para Salaf, maka dianjurkan para penuntut ilmu zaman ini mengikuti tauladan para Salaf, himpunlah soalan-soalan kita kepada para guru-guru kita, moga ia boleh dibukukan kelak, saya alhamdulillah telah memulakan amalan ini sikit demi sedikit, dan himpunan soalan-soalan saya kepada guru-guru saya telah saya himpunkan dalam nota Facebook bertajuk “Himpunan Soalan Dr. Fathi al-Sakandary”, dianjurkan membacanya, moga bermanfaat.

 

wpid-img_20150526_192838.jpg

 

Baik…kemudian yang saya tidak sempat sebutkan minggu lepas ialah buku-buku al-Ajza’, misalnya buku al-Risalah karya al-Syafie, serta Ma’rifat al-Muttasil karya al-Bardiji, serta Juzu’ ‘Abdullah bin al-Zubair al- Humaidi dan lainnya.

Jika seseorang melihat kesemua buku-buku karya huffaz mutaqaddimin yang telah saya sebutkan sebelum ini secara kasar, nescaya tidak dapat melihat dalamnya perbahasan Ulum Hadith atau Mustolah, namun jika dilihat secara teliti dan mendalam nescaya akan tampak perbahasan Ulum hadith dalamnya.

Malanganya tidak sedikit daripada ahli istilah Mutaakhkhirin yang menyusun buku-buku Mustolah, mereka tidak menela’ah buku-buku karya Mutaqaddimin yang telah disebutkan secara menyeluruh, istiqra yang tidak sempurna,

Maka disebabkan ini muncul beberapa qawaid yang tidak menepati manhaj para huffaz Mutaqaddimin, ditambah pula sebahagian ahli hadith Mutaakhkhirin pada zaman tersebut yang terpengaruh dengan ilmu kalam, falsafah, dan mereka meresapkan beberapa konsep mutakallimin dalam penulisan mereka.
Maka bermulalah secara sikit bibit akan bezanya manhaj ta’lil antara Mutaqaddimin dan Mutaalhkhirin.

Ya, tidak dinafikan antara faktor yang mendororong hal ini juga ialah disebabkan buku-buku yang ditulis pata huffaz Mitaqaddimin ini bukanlah buku khas dalam Mustolah Hadith, kata-kata serta ungkapan dan kaedah-kaedah dalam menilai hadith tidak dihimpunkan dalam satu bab khas, sebaliknya berselerak, ini semua menyusahkan para ahli istilah dan penyusun qawaid dalam kalangan Mutaalhkhirin untuk memahami manhaj para huffaz Mutaqaddimin secara menyeluruh, dan qawaid-qawaid yang mereka rumuskan adalah sebagai pendekat sahaja.

Antara buku-buku Ulum dan Mustolah Hadith yang ditulis oleh para ahli istilah Mutaakhkhirin, yang awal-awal antaranya ditulis oleh al-Imam al-Ramahurmuzi dengan tajuk “al-Muhaddith al-Fasil Baina al- Rawi wa al-Wa’ie”.

Begitu juga karya al-Imam Abu Sulaiman al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan, kemudian mengikuti mereka pula ialah Abu al-Hasan al-Qabisi dalam pendahuluan bukunya Mukhtasar al-Muwatta’, popular dengan nama al-Mulakhkhas,

Kemudian buku karya al-Hakim bertajuk “al-Madkhal Ila al-Iklil”, kemudian beliau menyusun pula kitab beliau yang besar, kitab magnum opus beliau dalam Ulum Hadith bertajuk “Ma’rifat ‘Ulum al-Hadith”.

Buku Ma’rifat Ulum al-Hadith karya beliau ini jika kita lihat, ia berpegang atas manhaj Mutaqaddimin, malangnya al-Hakim ketika menyusun bukunya al-Mustadrak, beliau sendiri dalam banyak hal telah lari daripada apa yang beliau sebutkan dalam Ma’rifat Ulum al-Hadith.

Kemudian datang pula al-Imam al-Khatib al-Baghdadi menyusun buku magnum opusnya bertajuk “al- Kifayah Fi ‘Ulum al-Riwayah”
Kemudian pula menyusun buku “al-Jami’ Li Akhlak al-Rawi wa Adab al-Sami’, dan ia adalah buku khas berkaitan adab periwayatan hadith.

Kemudian datang Ibn Thahir al-Maqdisi menyusun pula “Syurut al-Aimmah al-Sittah”.

 

Boleh muat turun nota ini dalam format pdf dengan klik sini.

 

Komen dan Soalan