Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Ulum Hadith : Soal Jawab bersama Dr Fathi Al-Sakandary siri #1

Ulum Hadith : Soal Jawab bersama Dr Fathi Al-Sakandary siri #1

1392
0
Iklan

Soal Jawab bersama Dr. Fathi Al-Sakandary Siri #1

 

S1: Apakah kegunaan sanad pada zaman sekarang sedangkan kitab hadith sudah dibukukan bersama sanadnya.

Ulum hadith mempunyai cabang yang luas, sebahagian ulama membahagikannya kepada 64 cabang semisal al-Imam Ibn al-Solah, bahkan sebahagian ulama semisal al-Imam al-Hazimi membahagikannya kepada 100 cabang. Namun secara umumnya ulum hadith terbahagi kepada 2 iaitu ilmu riwayah serta ilmu dirayah. Ilmu riwayah antaranya termasuk ilmu menghafaz hadith-hadith serta meriwayatkan hadith, manakala ilmu dirayah pula ialah ilmu menyemak hadith-hadith itu dari segi Sahih ataupun Dha’ifnya.

Amalan meriwayatkan hadith dengan sanad serta pemberian ijazah selepas majlis-majlis sama’ (majlis membaca serta mendengar buku-buku hadith dan lainnya buku) termasuk bahagian ilmu riwayah dalam ulum hadith, ianya tidak terhenti selepas hadith-hadith dibukukan, bahkan ia adalah sunnah para ahli hadith zaman berzaman.

Sanad-sanad yang diriwayatkan selepas zaman pembukuan hadith tidak digunakan untuk kajian status hadith (ilmu dirayah), sebaliknya ijazah-ijazah sanad ini tidak lain melainkan meneruskan dan menguatkan manhaj salafussoleh dalam menjaga kebersambungan sanad, dan penisbahan kepada perawi-perawinya sehingga bersambung kepada Nabi, sehingga umat Islam ini kekal mempunyai sanad berbanding umat-umat manusia sebelumnya, dan ia bersambung-sambung hingga akhirat. Isnad ini juga harus dipelihara agar mendapat kemuliaan nisbah dan hampir dengan Nabi dan para ulama Islam.

Lihatlah bagaimana Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ibn Kathir, al-Nawawi dan lainnya yang terus memburu sanad dan ijazah, walaupun sanad-sanad yang mereka perolehi tidak digunakan lagi bagi menilai status hadith kerana semua hadith telah dibukukan, tujuan ijazah sanad pada zaman mereka dan juga zaman kita ini adalah agar namannya dinisbahkan kepada sama’ hadith pada majlis naqal atau sama’, dan dia mempunyai satu naskhah yang dia baca atau dengar, atau terdapat di negerinya satu naskhah yang mempunyai tabaqah sama’, namanya tersebut di dalamnya, atau dia mempunyai izin atau ijazah kitab tersebut, dan apabila didengarkan kepadanya, dia memperdengarkan pembacanya, dan kemudian dia menuliskan dengan tulisannya berkaitan bacaannya dan sama’nya.

Antara ijazah dan sama’, maka sama’ adalah lebih awla secara mutlak, agar dapat diambil faedah daripada apa yang didengar ketika sama’. Ia merupakan satu tradisi para ulama’ apabila mereka mengijazahkan kitab-kitab tulisan mereka kepada para murid. Agar hadith itu berterusan diriwayatkan dengan haddathana atau akhbarana. Majlis sama’ dapat memastikan seseorang menghabiskan bacaan kitab dari kulit ke kulit.

Majlis bacaan atau sama’ sehingga beroleh ijazah sanad bermaksud kita mengambil kitab daripada syaikh, daripada riwayat yang benar. Biodata para guru disimpan dan dipelihara sepanjang zaman. Jadi tidaklah kita menjadi seperti Kristian yang tidak tahu kitabnya ditulis atau diambil daripada siapa. Ianya juga mengelakkan malas dan penipuan.

Perlu diketahui bahawa ijazah-ijazah sanad ini secara asasnya tidaklah melambangkan tahap keilmuan seseorang, sanad adalah hak seluruh umat islam, baik dia seorang yang ‘alim ataupun jahil. Seseorang yang mempunyai ijazah sanad dan meriwayatkan sanad maka dia dipanggil al-Musnid, tanpa mengira sama ada dia ‘alim atau jahil, demikian jelas guru saya al-Syaikh al-Muhaddith Thariq Iwadullah.

Walaubagaimanapun sebahagian ijazah boleh memberi isyarat umum akan keilmuan seseorang apabila diketahui ijazah yang diperoleh itu memerlukan syarat-syarat yang amat ketat untuk mendapatnya, sebahagian ulama memberi syarat-syarat yang ketat misalnya guru saya al-Syaikh Maher Yasin al-Fahl mensyaratkan seseorang yang ingin memohon ijazah daripadanya agar khatam mendengar syarah Sahih al-Bukhari oleh beliau dan dibuat ujian, apabila lulus barulah akan diberikan ijazah sanad, pada waktu yang lain beliau mensyaratkan agar membaca al-Qur’an satu juzu’ sehari serta mengkatamkan buku al-Jami’ Fi al-‘Ilal wa al-Fawaid (sebuah kitab ilmu ‘ilal karya beliau) bagi mereka yang inginkan ijazah dan alhamdulillah saya antara murid beliau yang dikenakan syarat ini.

Begitu juga guru saya al-Syaikh al-Muhaddith Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary biasa membuat ujian ulum hadith secara lisan kepada yang meminta ijazah sebelum memberinya, begitu juga guru saya al-Syaikh Dr. ‘Abdul ‘Azeem Badawi yang membuat ujian bertulis sebelum memberi ijazah sanad kitab al-Wajiz Fi Fiqh al-Sunnah wa al-Kitab al-‘Aziz beliau, dan saya alhamdulillah antara yang diberikan ijazah oleh beliau selepas lulus ujian dengan pangkat jayyid jiddan, begitu juga guru kepada guru saya al-Syaikh Wahid ‘Abdussalam Bali yang mensyaratkan seseorang yang inginkan ijazah kitab Bidayah al-Mutafaqqih beliau agar menghafaz keseluruhan kitab dan dibuat ujian lisan, hanya mereka yang menghafaz keseluruhan kitab dan lulus ujian saja yang akan diberikan ijazah.

Saya secara peribadi pernah bertanya berkenaan faedah ijazah pada zaman ini kepada guru saya al-Syaikh al-Musnid Dr. Waleed Idris al-Meneesy, maka jawab beliau kepada saya “ijazah tanpa sama’ baginya suatu keberkatan serta kemuliaan bersambungnya sanad kepada Nabi SAW, manakala jika bersama sama’ kitab secara penuh maka baginya pelajaran yang bermanfaat daripada penerangan masyayikh samasa majlis sama’ serta baginya banyak bersalawat kepada Nabi, akan tetapi apapun secara umumnya ijazah ini bukanlah bermaksud sebagai takat ukur keilmuan”. Allah Maha Mengetahui

 

S2: Hadis muallaq dalam sahih bukhari adakah sahih?

Ada yang Sahih dan ada yang Dhaif. Perlu diketahui bahawa kaedah masyhur bagi hadith-hadith mu’allaq dalam al-Jami’ al-Bukhari ‘sighah jazam bermaksud hadith itu Sahih atas syarat beliau, manakala sighah tamridh bermaksud hadith itu Dha’if”.

Sebenarnya perkara ini tidak pernah disebutkan oleh al-Bukhari namun ianya terhasil daripada kajian istiqra’ naqis (yang tidak sempurna) atas hadith-hadith mu’allaq al-Bukhari, dengan itu kaedah ini sebenarnya kaedah aghlabiyah bukannya kulliyah.

Jika kita perhatikan hadith-hadith mu’allaq dalam al-Jami’ al-Bukhari akan kita dapati di sana hadith-
hadith mu’allaq dengan sighah jazam yang tidak menepati syarat al-Bukhari, dan juga hadith-hadith mu’allaq dengan sighah tamridh yang Sahih di sisi al-Bukhari bahkan menepati syaratnya. Allah Maha Mengetahui.

 

S3: Bagaimana kedudukan hadis mudraj dan perbezaannya dengan ziyadah at tsiqah?

Mudraj boleh jadi Ziyadah al-Thiqah, dan ia boleh jadi Sahih, kesemuanya bergantung kepada qarain-qarain yang mengelilinginya secara khusus. Dianjurkan menela’ah buku al-Jami’ Fi al-‘Ilal wa al-Fawaid jilid 3 & 5 karya guru saya al-Syaikh Dr. Maher Yasin al-Fahl, insyaAllah cukup untuk memahami hal ini. Allah Maha Mengetahui.

 

S4: Bagaimana berdepan dengan hadith khilaf seperti ada hadith nabi kencing duduk dan ada juga hadith yang nabi kencing berdiri.

Apabila dilihat terdapat percanggahan antara hadith, maka perkara pertama yang harus dipastikan ialah kesahihan keduanya, sekiranya salah satu Dha’if maka yang dipegang ialah yang Sahih dan ditinggalkan yang Dha’if. Sekiranya kedua-dua adalah Sahih maka langkah seterusnya ialah menjama’ (menggabungkan) kedua-kedua hadith itu agar hilang percanggahan.

Misalnya hadith Sahih menyebut larangan kencing berdiri dan hadith Sahih lain pula menyebut Nabi sendiri kencing berdiri, ia kelihatan seolah bercanggah, maka digabungkan menjadi kedua-dua amalan sama ada kencing duduk atau berdiri adalah dibolehkan, dan disebabkan kencing berdiri itu merupakan ayat larangan maka dirumuskan “asal adab kencing adalah dengan duduk, namun jika mendesak seperti mahu cepat atau keadaan tidak sesuai untuk duduk maka dibolehkan kencing berdiri”. Allah Maha Mengetahui.

 

S5: Imam Abu Ismail Abdullah bin Ahmad Al-Ansari (w. 481H) pernah berkata: “Kitab Al-Tirmidzi menurutku lebih bermanfaat daripada kitab al-Bukhari dan Muslim. Sebab kedua kitab ini tidak dapat dikeluarkan faedah (ilmu-ilmu) daripadanya melainkan oleh seorang ulama yang sangat pakar. Adapun kitab Al-Tirmidzi, maka semua orang boleh mengambil faedah daripadanya.”. Sejauh mana kebenaran kenyataan ini?

Moga Allah merahmati al-Imam, kenyataan beliau amatlah benar. Ini kerana al-Jami’ al-Mukhtasar karya al-Tirmizi menyebut secara jelas akan status hadith, ‘ilalnya, beserta fiqhnya disisi Salaf, berbeza dengan kitab al-Jami’ karya al-Bukhari dan Muslim yang tidak menyebut secara jelas akan ‘ilal sesuatu hadith serta tidak disebut secara jelas akan fiqh hadith, al-Bukhari serta Muslim menyebut ‘ilal-‘ilal bagi hadith-hadith dalam kitab mereka secara isyarat dalam tabwib (penamaan bab-bab) serta penyusunan hadith-hadith dalam bab, begitu juga fiqh hadith disebut secara isyarat dalam tabwib.

Semua isyarat ini tidak dapat dikenal oleh mata awam melainkan hanya bagi mata ahli hadith yang amat pakar akan metod kedua imam dalam Jami’ mereka, itupun terkadang isyarat ini boleh terlepas pada pandangan mereka. Kerana itu kita tidak hairan melihat ramai menyebut sesuatu hadith yang diambil dalam al-Sahihain, sedangkan hadith itu Dha’if disisi kedua al-Bukhari dan Muslim sendiri! Allah Maha Mengetahui.

 

S6: Sejauh manakah keilmuan dan sumbangan Sheikh Rabee’ bin Hadi al Madkhali dalam bidang hadis? Bolehkah berpegang kepada beliau?

Soalan sebegini seharusnya dielakkan, saya tidak suka berbicara akan manusia dan manusia. Secara umumnya al-Syaikh Dr. Rabi’ merupakan seorang yang ‘alim dalam hadith, dan seperti ulama lainnya beliau tidaklah ma’sum, bagi beliau beberapa kesilapan dan ia biasa. Dianjurkan membaca tesis PhD bertajuk al-Hadith al-Hasan Li Zhatih wa Li Ghairih karya al-Syaikh Dr. Khaled al-Durayyis, telah dicetak sebanyak 5 jilid, di sana ada beberapa kritikan ilmiah buat al-Syaikh Rabi’ dalam kajian hadith. Allah Maha Mengetahui.

 

S7: Bagaimana kita nk beramal dgn hadith yg berstatus hasan? bolehkah ditinggalkan mengikut waqi semasa. Mohon pandangan Dr.

Hadith Hasan Li Zhatih baginya hukum sebagaimana hadith Sahih. Manakala hadith Hasan Li Ghairih ia tidak dibuat hujah dalam aqidah kecuali dalam hal targhib dan tarhib, dalam fiqh ia biasanya menjadi tempat khilaf antara fuqaha kerana hakikatnya Hasan Li Ghairih adalah hadith Dha’if. Saya tidak mengetahui satupun kaedah di sisi Salaf bolehnya meninggalkan hadith Sahih mengikut waqi, bahkan kata guru saya al-Syaikh Dr. Muhammad Ismail al-Muqaddam “bukanlah Islam perlu menyesuaikan diri dengan tempat dan zaman, sebaliknya tempat dan zamanlah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam!”. Allah Maha Mengetahui.

 

S8: Al-Bukhari ada menyatakan bahawa beliau menghafal 100 ribu hadith Sahih, Tapi sebagaimana kata huffaz semisal Syu’bah, al-Thauri, Ibn al-Mahdi dan lainnya jumlah hadith sahih lebih kurang 4400. Apakah yg dimaksudkan al-Bukhari itu hadith beserta jalur-jalurnya yg pelbgai?

Ya. Allah Maha Mengetahui.

 

S9: Apa makna Hadis Hasan Gharib yg dinyatakan oleh Tirmizi. Tapi hadis yg sama dinyatakan Sahih oleh al-Albani.

J9: Hasan Gharib dalam istilah khas al-Jami’ al-Mukhtasar al-Tirmizi bermaksud Dha’if. Rujuk buku saya “Pengenalan Kepada Sunan al-Tirmizi dan Manhajnya”, percuma edisi pdf dalam Ansarul-Hadis. Allah Maha Mengetahui.

 

S10: Adakah wujud khilaf penilaian sesuatu hadis di sisi huffaz mutaqaddimun, selain hadis Sulaiman bin Yasar daripada Aisyah r.a.? (Muttasil di sisi al-Bukhari tetapi tidak di sisi asy-Syafie)

J10: Tentu boleh saja wujud perbezaan natijah status hadith. Sepakat dalam manhaj bukan bermakna natijah tidak boleh berbeza. Allah Maha Mengetahui.

 

S11: adakah benar dakwaan mengatakan setiap ulamak hadis mula mengaji hadis menggunakan kitab Al Mandzhumah Al Baiquniyyah??

J11: Tidak benar dakwaan mutlak begini, dan saya tidak pernah mendengar dakwaan sebegini daripada mana-mana ulama hadith. Yang biasa disebut ialah puisi al-Baiquniyyah menjadi bahan pengajian awal kebanyakan ulama hadith bukan semua, ini benar kerana ia ringkas dan sesuai bagi penuntut ilmu yang baru hendak berjinak dengan hadith. Allah Maha Mengetahui.

 

S12: Apa beza hadith yang diriwayatkan secara tahdith dan diriwayatkan secara ‘an’anah?. Yang mana lebih kuat?

Secara umumnya sighah tahdith menunjukkan isnad itu bersambung, manakala ‘an’anah menunjukkan ia tidak bersambung, ini secara umum saja dan bukan satu kemestian. Banyak di sana hadith-hadith dengan sighah tahdith tapi putus, dan ‘an’anah yang bersambung. Akan dibincangkan dalam kelas-kelas mendatang dengan lanjut insyaAllah. Allah Maha Mengetahui.

 

S13: perbezaan akhbarana dgn haddasana?

Apabila seseorang rawi itu mendengar hadith dalam majlis sama’ gurunya secara berkumpulan dan terdapat tukang baca hadith, maka apabila dia ingin meriwayat hadith itu dari gurunya tersebut dia menyebut “akhbarana”.

Manakala apabila seseorang rawi itu mendengar hadith dalam majlis sama’ gurunya secara berkumpulan dan gurunya membacakan hadith itu sendiri, maka apabila dia ingin meriwayatkan hadith itu dari gurunya tersebut dia menyebut “haddathana”.

Demikian jelas guru saya al-Syaikh Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary. Hal ini juga boleh dilihat dalam al-‘Ilal karya al-Tirmizi. Allah Maha Mengetahui.

 

S14: Adakah muhaddith mutaakhkhirin ditolak terus disebabkan mereka dikatakan sudah jauh dari golongan salaf serta bermudah-mudah dalam pemberian status hadith? Bagaimana untuk mengguna dan memanfaatkan pendapat mereka?

Subhanallah! Ini soalan yang pelik, gharib, ajib. Tidak pernah saya mendengar seorangpun ulama menyatakan para ahli hadith mutaakhkhirin ditolak terus disebabkan mereka jauh dari zaman Salaf, begitu juga dakwaan mutlak umum bahawa mereka bermudah-mudah menilai status hadith kerana mereka mutaakhkhirin, dakwaan pelik, ajib. Tidaklah yang berkata sedemikian melainkan mereka yang jahil, bercakap sesuatu perkara tanpa mempunyai ilmu dalamnya, menyangka diri tahu tapi sebenarnya tin kosong.

Bagaimana dengan Ibn Rajab al-Hanbali? Juga Ibn ‘Abdul Hadi? juga al-Daraquthni? Ya tahun 300H adalah had pemisah antara mutaqaddimin dan mutaakhkhirin, akan tetapi dimasukkan juga bersama mereka al-Daraquthni yang wafat pada 385H kerana beliau berada atas manhaj mutaqaddimin, para ulama tidak menghadkan ia kepada tahun yang tertentu, yang penting ialah manhaj, Ibn Rajab yang wafat pada 795H adalah dalam kalangan mtaakhkhir dari segi tarikh akan tetapi dari segi manhaj beliau berada atas manhaj mutaqaddimin dan begitu juga Ibn ‘Abdul Hadi.

Yang biasa disebut oleh para ulama ialah para muhaddithin mutaakhkhirin kebanyakannya berdiri atas manhaj fuqaha dan mutakallimin dalam penilaian status hadith. Bahkan berkata guru saya al-Muhaddith Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary, perbezaan manhaj mutaqaddimin dan mutaakhkhirin ini adalah hakikatnya perbezaan “manhaj ahli hadith” dan “manhaj para fuqaha’ dan mutakallimin” yang menyelinap masuk dalam ilmu hadith.

Menyelinapnya fahaman luar ini bukan hanya berlaku dalam hadith tetapi juga berlaku dalam semua ilmu lainnya, misalnya dalam aqidah, fahaman ‘Asyaerah adalah fahaman luar yang menyelinap masuk dari mutakallimin ke dalam aqidah. Dalam hadith misalnya bab Ziyadah al-Thiqah, sebahagian ahli hadith mutaakhkhirin menerimanya secara mutlak, ini bukanlah manhaj ahli hadith tetapi ia adalah manhaj fuqaha dan mutakallimin, begitu juga bab Tafarrud seorang thiqah, sebahagian menerimanya secara mutlak sedangkan itu bukanlah manhaj ahli hadith tetapi manhaj mutakallimin, penguatan hadith Dha’if dengan Shawahid dan Mutaba’at sehingga hadith yang Munkar juga boleh menjadi Sahih, ini bukan manhaj ahli hadith, penerimaan atau penolakan riwayat perawi thiqah yang mudallis dengan melihat jika sighah tahdith maka diterima dan jika ‘an’anah ditolak, ini manhaj fuqaha’ dan mutakallimin bukan ahli hadith! Dan lain-lain perkara.

Maka wajib berpegang atas manhaj asal salafussoleh disebut juga mutaqaddimin, iaitu manhaj ahli hadith yang tidak dicemari konsep fuqaha’ dan mutakallimin, baik dalam hadith atau aqidah dan sebagainya. Allah Maha Mengetahui.

 

S15: Al Hakim, At Tirmidzi, Ibnu Hibban, Ibnu Khuzaimah antara huffaz salaf yg dikaitkan dgn tasahul dalam penilaian hadis. Bagaimana kita berinteraksi dengan dakwaan ini, sejauh mana kebenarannya?

Al-Hakim bukanlah huffaz Salaf, sebaliknya beliau adalah Khalaf, beliau sememangnya tasahul dalam mensahihkan hadith dalam kitab beliau al-Mustadrak, berbeza dengan kitabnya Ma’rifat Ulum al-Hadith.

Dianjurkan menela’ah buku Mustadrak Abi Ishaq al-Huweini ‘ala Abi ‘Abdillah al-Hakim al-Naisaburi, ia adalah buku kritikan ilmiah guru saya al-Syaikh Abi Ishaq al-Huweini atas penilaian-penilaian al-Imam. Al-Tirmizi didakwa tasahul oleh mereka yang tidak memahami manhaj beliau dalam Jami’nya, mereka menyatakan beliau mudah menilai Hasan sesuatu hadith yang Dha’if, sedangkan istilah Hasan dalam kitabnya bermaksud Dha’if, ia istilah khusus al-Tirmizi dalam Jami’nya al-Mukhtasar. Ibn Hibban dan gurunya Ibn Khuzaimah didakwa tasahul kerana memasukkan tidak sedikit hadith-hadith Dha’if dalam kitab al-Sahih mereka, sedangkan hadith-hadith itu telah sedia dinyatakan Dha’if oleh mereka secara isyarat, mereka yang tidak memahami isyarat ini akan menganggap ia Sahih kerana wujud dalam kitab mereka. Inilah pentingnya seseorang penuntut ilmu belajar dan memahami manhaj huffaz daam kitab mereka, agar tidak salah faham. Sudahlah salah faham, kemudian berlagak pandai pula, dituduhnya para huffaz sebagai tasahul. Allah Maha Mengetahui.

 

S16: Adakah Hadith sahih berkenaan larangan campur makan makanan laut dengan meminum susu dan sbagainya?

Tiada. Dianjurkan membaca risalah saya bertajuk “Penjelasan Status Hadith Diet Rasulullah”. Allah Maha Mengetahui

 

S17: Hadith mengenai menyentuh kemaluan boleh membatalkan wudhu. Lagi satu hadith mengatakan wudhu tidak batal sekiranya menyentuh kemaluan. Bagaimana berinteraksi dengan kedua hadith ini?

Apabila dilihat terdapat percanggahan antara hadith, maka perkara pertama yang harus dipastikan ialah kesahihan keduanya, sekiranya salah satu Dha’if maka yang dipegang ialah yang Sahih dan ditinggalkan yang Dha’if.

Sekiranya kedua-dua adalah Sahih maka langkah seterusnya ialah menjama’ (menggabungkan) kedua-
kedua hadith itu agar hilang percanggahan.

Dalam kes ini, digabungkan kedua-kedua hadith menjadi “tidak batal wudhu’ apabila menyentuh kemaluan, dan suruhan memperbaharui wudhu’ selepas menyentuh kemaluan bukanlah wajib namun hanya anjuran”. Allah Maha Mengetahui.

 

S18: Sejauh mana sesuatu hadith Da’if boleh diamalkan fiqhnya?

Dalam bab selain fadhail amal, sesuatu hadith Dha’if boleh diamalkan fiqhnya apabila terdapat dalil-dalil lain semisal ayat al-Qur’an atau amalan Sahabi, contohnya kelonggaran berwudhu’ dengan menyapu stokin menggantikan khuf, tiada hadith marfu’ Sahih namun wujud amalan Sahabi yang Sahih. Manakala dalam bab fadhail amal perlulah menepati syarat-syarat yang digariskan ulama’, dianjurkan membaca risalah saya “fadhail amal yang bid’ah” untuk memahami hakikat fadhail amal.

 

S19: Soalan saya : Apakah maksud sebenar ‘hadis hasan’ disisi Imam Tirmizi?

Istilah Hasan di sisi al-Tirmizi dalam buku Jami’nya al-Mukhtasar secara khusus bermaksud Dhaif, demikian jelas ramai ulama’ hadith semisal guru-guru saya al-Syaikh Dr. Basyar ‘Awwad Ma’rouf dan saya telah bertanya lebih dari 3 kali kepadanya akan hal ini, juga al-Syaikh Dr. ‘Abdul Qadir Mustafa al-Muhammadi, serta al-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz al-Tharifi, juga al-Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Sa’d, serta al-Syaikh ‘Amru ‘Abdul Mun’im Salim dan lainnya. Untuk lanjut dianjurkan membaca buku saya “Pengenalan kepada sunan al-Tirmizi dan manhajnya”, percuma edisi PDF di Ansarul-Hadis. Bagi yang mampu memahami bahasa arab, saya anjurkan membaca tesis PhD bertajuk “al-Syaz wa al-Munkar wa Ziyadah al-Thiqah Muwazanah Baina al-Mutaqaddimin wa al-Mutaakhkhirin” karya guru saya al-Syaikh Dr. ‘Abdul Qadir al-Muhammadi yang diselia oleh guru saya al-Syaikh Dr. Basyar ‘Awwad Ma’rouf.

Dijelaskan dengan begitu rinci bahawa Hasan di sisi al-Tirmizi adalah Dhaif, bahkan ta’rif yang dibuat al-Tirmizi itu sendiri jelas memberitahu bahawa Hasan di sisinya adalah Dha’if. Juga dianjurkan membaca buku Sifatu Hajjatin Nabi karya guru saya al-Syaikh al-Tharifi, di sana juga di jelaskan bahawa Hasan di sisi al-Tirmizi bermaksud Dha’if. Keduanya telah ada edisi PDF. Allah Maha Mengetahui. Muat turun secara percuma dari laman Ansarul Hadis. Klik sini.

 

S20: Dr Fathi, semoga Allah merahmati kamu.Mana ulama’ mutaqaddimin yg kata hasan di sisi al-tirmizi dha’if?

Al-Imam al-Tirmizi sendiri. Pembuktian lanjut dianjurkan membaca buku-buku yang telah saya sebutkan dalam jawapan soalan 19. Allah Maha Mengetahui.

 

Komen dan Soalan