Utama Bilik Seminar Mingguan Wacana Siri 1 : Wahabi

Wacana Siri 1 : Wahabi

866
0
Iklan

Wacana UiTO

 

Assalamu`alaikum semua. Segala puji bagi Allah, dan selawat kepada junjungan kita dan siapa yang mengikut jalan salaf. Syukran kepada Cikgu Rahim kerana hasil idea beliau untuk menubuhkan rangkaian bilik kuliah maya. Wa ba`du.

 

Istilah Wahhabi!

Pertama, kita kena faham istilah terlebih dahulu. Wahhabi adalah istilah yang dibenci di Saudi. Ini adalah fakta. Mereka lebih suka dinamakan muwahhidun (gerakan tauhid), salafi, dakwah Najdiah, tetapi bukan Wahhabi. Siapa yang mula menggunakan istilah Wahhabi ini masih menjadi khilaf. Banyak kajian yang mengatakan bahawa gelaran ini berasal daripada British yang mula bertapak di tanah `Arab, dan mereka menyebarkan ke tanah jajahan British di India dan timur jauh. Antara yang mula menggunakan istilah Wahhabi juga adalah Mufti Zaini Dahlan, wafat pada tahun 1886M.

Antara dua kitab beliau; Fitnah Al-Wahhabiyyah dan Durar Asaniyyah Radd `ala Al-Wahhabiyyah. Jadi, dengan gabungan antara British dan Mufti Zaini Dahlan (Mufti Makkah), maka wujudlah istilah Wahhabi. Mufti Zaini Dahlan, seorang anak jati Makkah, dilantik menjadi mufti am Makkah oleh kerajaan `Utsmaniyyah. Beliaulah ibu kepada semua guru Melayu, Indonesia, Pathani, dan India. Antara muridnya adalah Syaikh Nawawi Banten, datuk kepada Hamka, Muhammad Amrullah, pengasas Tareqat Arqam Syaikh Shuhaimi, Toku Ku Paloh, dan sebagainya. Istilah “Wahhabi” ini disebarkan oleh UK dan murid-murid Zaini Dahlan dengan pengertian gerakan yang berbahaya dan bukan ASWJ. Istilah Wahhabi di Malaysia pula merujuk kepada orang yang tidak mahu mengamalkan 19 amalan tradisi alam Melayu.

 

Definisi Wahhabi untuk 2015 berdasarkan warta negeri Selangor.

Berdasarkan warta negeri Selangor, inilah definisi Wahhabi untuk 2015; iaitu sesiapa sahaja yang mengkritik 19 amalan Melayu Selangor. Sedangkan, menurut definisi British pula, Wahhabi adalah gerakan pembaharuan di Hijaz untuk membasmi kesyirikan, tetapi di Malaysia definisi Wahhabi adalah mereka yang menentang amalan turun temurun melayu. Kenapa terjadi penyelewengan dalam maksud Wahhabi di Malaysia? Ini berpunca daripada murid-murid TG Mufti Zaini Dahlan yang merupakan orang yang mengawal aktiviti keagamaan di Nusantara. Mereka bertaqlid kepada mufti mereka yang berada dalam kem `Utsmaniyyah yang ditentang oleh Wahhabi.

 

Isu yang berlarutan selama 220 tahun

Isu Wahhabi ini berlarutan selama 220 tahun (tarikh Syaikh Muhammad wafat adalah 1792M). Isu hari ini adalah istilah Wahhabi memang telah menyimpang di Malaysia. Hijaz sekarang adalah KSA (Kingdom of Saudi Arabia), milik Dinasti Sa`ud. Dahulunya milik Turki (kerajaan `Utsmaniyyah), di bawah kerajaan proxy Kerajaan Hasyimiyyah. Hasyimiyyah Jordan adalah saki-baki kerajaan tersebut. Hijaz tidak penting kepada `Utsmaniyyah, maka `Utsmaniyyah memberikan taraf autonomi kepada kerajaan Hasyimiyyah yang sudah memerintah Makkah dan Madinah selama 700 tahun. Gelaran mereka pun Khadim Haramain Syarifain. Manakala setiap daerah Hijaz adalah milik beberapa emir. Misalnya, di Riyadh berada di bawah King Muhammad bin Sa`ud, dan di `Uyainah (tempat kelahiran Syaikh Muhammad `Abdul Wahhab, seterusnya akan disingkat menjadi SMAW) di bawah King `Utsman bin Hamid. King Sa`ud ini telah menjadi raja yang memerintah jajahan Di’riyah yang sekarang dikenali sebagai Riyadh.

Maka di Hijaz, raja yang paling berkuasa adalah kerajaan Hasyimiyyah, manakala di timur Saudi sekarang ada beberapa raja kecil, antaranya King Sa`ud di Di’riyah atau Riyadh. Pemerintah yang diiktiraf oleh kerajaan `Utsmaniyyah adalah King Hasyimiyyah. Manakala raja kecil yang lain, berbai`ah dengan King Hasyimiyyah, kecuali King Sa`ud. King Muhammad bin Sa`ud ini mempunyai cita-cita untuk menakluki Hijaz. Ini suasana di Hijaz pada tahun 1600M-1700M. Negara yang berautonomi, kuasa paling besar dimilik oleh Dinasti Hasyimiyyah. Agama di Hijaz seperti di Malaysia.

 

Kelahiran Syaikh Muhammad `Abdul Wahhab

Upacara paling utama adalah kuburi atau berpesta di kubur wali, kerana di Hijaz terdapat paling banyak kubur sahabat, tabi`in dan orang-orang shalih. Kubur yang paling keramat di Najd adalah kubur Zaid bin `Umar bin Al-Khattab yang terletak berdekatan dengan rumah Syaikh Muhammad `Abdul Wahhab. Pada tahun 1703M, maka lahirlah SMAW di pekan `Uyainah, daerah Yamamah, 50 km dari Riyadh (Riyadh terletak 1000 km dari Makkah, 1400 km dari Madinah). Ia adalah kawasan `Arab badui yang terputus hubungan dengan dunia luar untuk jangka waktu yang agak lama. Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai gembala unta dan kambing.

SMAW menghafal Al-Qur’an sejak berusia 10 tahun, dan berguru dengan ayahnya sendiri, Syaikh `Abdul Wahhab bin Sulaiman. Setelah remaja, ayahnya menghantarnya ke Makkah dan Madinah. Gurunya ramai, namun antara yang paling berpengaruh terhadapnya adalah Syaikh `Abdulah bin Salim Al-Basri, Syaikh `Abdullah bin Ibrahim Saif, Syaikh Muhammad bin Hayat Ibrahim As-Sindi, Syaikh Ismail Muhammad Al-`Ajluni Asy-Syami. Para `ulama’ yang terkenal di Makkah ini dipilih oleh ayahnya kerana bermazhab Hanbali, `aqidah salaf, dan ahli hadith serta mengkhatamkan kitab-kitab karya Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim AlJauziyyah. Kitab-kitab karya Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim inilah yang mengubah peribadi dan minda SMAW.

 

Pelaksana gerakan Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim

Jika Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim hanya menulis kitab, namun yang melaksanakan ajaran dalam kitab Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim adalah SMAW. Apabila pulang ke Yamamah atau `Uyainah, SMAW mula berdakwah, dan penduduk Yamamah melaporkan kepada emir. Beliau diusir dari kampungnya sendiri. Kemudian, beliau pergi ke `Iraq, dan di sana juga beliau diusir, lalu beliau kembali ke `Uyainah dan sekali lagi diusir. Akihrnya beliau pergi ke Di’riyah (atau Riyadh), dan di sana beliau diterima oleh King Muhammad bin Sa`ud. Ini sama seperti Nabi صلى الله عليه وسلم yang diusir dari Makkah, dan diterima di Yatsrib (nama asal Madinah).

SMAW berkahwin dengan anak King Sa`ud, dan terjadilah perjanjian antara keduaduanya untuk menakluki Hijaz; King Sa`ud bercita-cita untuk menjadi raja `Arab, manakala SMAW bercita-cita untuk menerapkan ajaran Ibn Taimiyyah. Pengikut SMAW dan King Sa`ud telah membentuk sebuah pasukan tentera yang agak besar dan mereka mula menyerang daerah-daerah yang berhampiran. Mereka kemudiannya menamakan kerajaan Islam Di’riyah. Kerajaaan ini amat mengganggu Turki. Kemudian SMAW wafat, dan King Sa`ud yang pertama juga wafat. Mereka hanya sempat membina kerajaan di Riyadh sahaja.

King Muhammad Sa`ud digantinya oleh puteranya, iaitu King `Abdul `Aziz, dan beliau mula menyerang untuk menakluki Madinah dan Makkah, dan berjaya melakukannya pada tahun 1802M. Kerajaan Hasyimiyyah ditumpaskan, dan banyak berlaku pertumpahan darah antara tentara King `Abdul `Aziz dan King Hasyimiyyah. Kerajaan Turki yang sudah lemah mengerahkan tenteranya di Mesir, di bawah panglima Ibrahim Pasha untuk datang ke Hijaz untuk memerangi King `Abdul `Aziz. Tentera Pasha datang dan mereka berjaya menumpaskan tentera King `Abdul `Aziz, dan beliau melarikan diri ke Riyadh, namun tentera Mesir mengejar beliau dan memusnahkan Riyadh. Akhirnya, King `Abdul `Aziz melarikan diri ke Bahrain.

 

Kejatuhan kerajaan ‘utsmaniyyah

Pada tahun 1818M, musnahlah Kerajaan Sa`ud. Pada tahun 1901M, ketika Kerajaan `Utsmaniyyah semakin lemah dengan gerakan Turki Muda pimpinan Ataturk, King `Abdul `Aziz dengan bantuan Bahrain, Qatar, Kuwait, dan Oman, kembali menyerang Riyadh dan berjaya menawan dan kembali menubuhkan Kerajaan Sa`ud di Riyadh. Pada tahun yang sama, Kerajaan Hasyimiyyah juga memberontak dan menubuhkan Kerajaan Hasyimiyyah yang berdaulat di Makkah dan Madinah. Adakah Brtish yang berada di Jordan, Palestine dan `Iraq, juga mempunyai bahagian dalam Kerajaan Hasyimiyyah di Riyadh dan di Makkah?

Oleh sebab UK memang menginginkan Kerajaan Turki musnah (kerana British ingin menjajah seluruh jajahan takluk `Utsmaniyyah), maka UK memang pakar dalam dasar “pecah dan perintah”, dan membangkitkan semangat nasionalisma. Apabila Hasyimiyyah merdeka, dan menjadi Khadim Haramian, King `Abdul `Aziz melancarkan peperangan untuk menawan Makah dan Madinah sekali lagi. Kali ini, tentera Sa`ud dibantu oleh tentera Wahhabi yang dinamakan sebagai tentera Ikhwan (bukan Ikhwan Muslimin). Tentera Ikhwan ini ditubuhkan oleh `ulama’-`ulama’ Wahhabi dengan mengumpulkan `Arab badui di Najd. Ketuanya ialah Sultan bin Bajad Al-`Utaibi, dengan kekuatan 60,000-70,000 orang tentera. Mereka inilah yang terkenal dengan keganasan ketika perang. Mereka membunuh kaum lelaki, dan menjadikan kaum wanita sebagai hamba sahaya.

 

Bantuan dari barat?

King `Abdul `Aziz dengan bantuan tentera Ikhwan telah berjaya menumpaskan Kerajaan Hasyimiyyah walaupun Hasyimiyyah dibantu oleh British. Peperangan ini berlaku dari tahun 1923M sehingga tahun 1932M, dengan banyak kematian dan kemusnahan harta benda. Pada tahun 1932M, Kerajaan Hasyimiyyah tumpas. Sherif Husin iaitu raja terakhir, dibawa oleh British ke Pulau Cyprus, dan kemudiannya ditabalkan di Jordan yang ketika itu dimiliki oleh British. Inilah bukti dan hujah yang kuat antara King Sa`ud dan King Hasyimiyyah; siapa sebenarnya yang ditolong oleh UK. Jawapannya adalah Sherif Husin, kerana sewaktu Makkah dikepung, pihak British telah membawa lari keluarga Sherif Husin ke Cyprus dan ke Jordan.

Tentera Ikhwan yang mara untuk menyerang Jordan ditumpaskan oleh UK. Ramai tentera Ikhwan yang terbunuh dalam peperangan Jordan. Kerajaan Hasyimiyyah masih kekal hingga kini di Jordan, terima kasih kepada UK yang memberikan Jordan kepada mereka. Jika tidak, mereka masih berada di Cyprus. Tentera Ikhwan mendatangkan masalah kepada King `Abdul `Aziz kerana mereka menganggap King `Abdul `Aziz longgar dalam penerapan fahaman SMAW. Maka, mereka memberontak, namun King `Abdul `Aziz menyerang dan membunuh hampir kesemua tentera Ikhwan dalam Peperangan Sabila, dan tamatlah riwayat tentera Ikhwan badui.

 

Rumusan:

1. Hijaz mempunya dua raja yang ingin berkuasa untuk seluruh Hijaz; King Hasyimiyyah di Makkah dan Madinah, ini merupakan kerajaan yang sah dan diberi kuasa autonomi oleh Istanbul (Turki), dan King Muhamamad Ibn Sa`ud, yang menguasai Riyadh, dan dengan bantuan tentera badui yang berfahaman ajaran SMAW, mereka melancarkan peperangan untuk menakluki Hijaz. King Sa`ud berperang untuk menjadi raja, manalaka SMAW pula ingin menerapkan ajaran syaikhul Islam Ibn Taimiyyah.

2. King Sa`ud tidak menentang `Utsmaniyyah, beliau hanya ingin menjadi raja `Arab, sama seperti King Hasyimiyyah.

3. Pihak yang lebih hampir dengan pihak British adalah Kerajaan Hasyimiyyah.

4. SMAW menggunakan kekerasan untuk menyebarkan dakwah tauhid, bekerjasama dengan King Sa`ud menyebabkan dakwah beliau menjadi dakwah militan. Itu adalah sejarah Sa`udi dari tahun 1703M hingga 1932M.

  • 1703M: kelahiran SMAW, 1792M: wafat.
  • Menubuhkan kerajaan Di’riyah bersama King Muhammad bin Sa`ud
  • 1803M: King `Abdul `Aziz As-Sa`ud menawan Makkah dan Madinah
  • 1813M: Ibrahim Pasha menawan semula Makkah dan Madinah
  • 1818M: Kerajaan Riyadh tumpas, dan King `Abdul `Aziz melarikan diri ke Bahrain 8
  • 1901M: King `Abdul `Aziz kembali, dan menawan semula Riyadh
  • 1910M: Sherif Husin merdeka dari Turki
  • 1923M: King Sa`ud menyerang Makkah dan Madinah
  • 1924M: `Utsmaniyyah dibubarkan oleh Kemal Atarurk
  • 1929M: Tentera Ikhwan dimusnahkan oleh King Sa`ud
  • 1932M: Sherif Husin menyerah kalah, dan beliau dilarikan oleh UK ke Jordan
  • 1932M: King `Abdul `Aziz menamakan Daulah Arab Sa`udi atau KSA
  • 1933M: KH Sirajuddin Abbas melarikan diri, pulang ke Indonesoia selepas bersembunyi di Attache Belanda di Jeddah selama 3 tahun

 

Salah faham wahabi!

KH Sirajuddin Abbas menulis kitab “I’tiqad ASWJ” pada tahun 1965M, dan dalam kitab tersebut, KH mengatakan bahawa Wahhabi, Ibn Taimiyyah, dan Ibn Al-Qayyim bukan ahli sunnah tetapi Mujassimah. Kitab ini digunakan di seluruh pesantren (pondok), sehingga dicetak oleh Pustaka Aman Press pada tahun 1972M, dan menjadi kitab utama di pondok Malaysia, Brunei, dan Thailand. Maka, salah faham Wahhabi dicetuskan secara besar-besaran oleh KH Sirajudin Abbas.

Kerajaan Hasyimiyyah adalah kerajaan yang memberikan perlindungan dan penempatan kepada pelajar Nusantara, manhaj pula sama, bermazhab Asy-Syafi`i, mengamalkan tareqat. Maka, orang Nusantara amat menyintai Kerajaan Hasyimiyyah. Apabila berlaku peralihan kuasa kepada Saudiyyah, maka `ulama’-`ulama’ Nusantara mula bangkit dan membela Kerajaan Hasyimiyyah, dan merekalah yang mengobar-ngobarkan sentimen anti-Sa`ud dan Wahhabiyyah.

Kerajaan Sa`udiyyah dan Wahhabiyyah yang memerintah Hijaz membawa ajaran Ibn Taimiyyah, anti-tareqat, dan sunnah yang tulen. Maka, Nusantara yang membawa manhaj lama Kerajaan Hasyimiyyah, menentang keras gabungan Sa`udiah dan Wahhabiyyah. Maka Wahhabi yang sudah berusia 220 tahun adalah suatu kisah dendam kesumat, sama seperti Syi`ah Iran yang masih membawa sentimen Karbala. Maka orang Melayu Nusantara pula masih teringat kenangan lama bersama Kerajaan Hasyimiyyah, zaman membaca Yasin dan tahlil di Ka`bah, dan zaman memuja kubur di Baqi’ dan Maala. Kuburan itu semuanya telah diratakan oleh kerajaan Sa`ud. Semuanya kerana dengki:

حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

“Kerana dengki dari dalam diri mereka sesudah nyata kepada mereka kebenaran…” (Al-Baqarah, ayat 109).

Komen dan Soalan